Boleh dikatakan 66% ibu bapa pernah mengalami ‘Parental Burnout’ dan 2/3 daripada jumlah ini adalah para Ibu.
‘Parental burnout’ tidak sama seperti ‘burnout’ yang dialami di tempat kerja. Jika kita mengalami ‘occupational burnout’ kita boleh ambil cuti tanpa gaji, ‘sabbatical’ ataupun letak jawatan, cari kerja di tempat lain.
Dengan ‘parental burnout’ kita tidak ada pilihan, kita tidak dapat melarikan diri dari tekanan dan kelesuan sebagai seorang Ibu ataupun ayah. Kita perlu terus ‘bekerja’ dan memikul tanggungjawab yang sama, di tempat yang sama dengan orang yang sama di sekeliling kita. Bayangkan.
Individu yang mengalami ‘parental burnout’ merasa sangat letih dan lesu dari segi fizikal, emosi dan mental.
Dia merasa ‘fed-up’. Dia merasa ragu akan keupayaan diri sendiri untuk memikul tanggungjawsab sebagai seorang ibu ataupun ayah, maka dengan itu ingin menjauhkan diri dari si anak.
Ada yang sampai ke tahap terdetik bahawa adalah lebih baik sekiranya anak itu tiada kerana dia tidak menyusahkan anak dan tidak membebankan dirinya sendiri. Keseronokan sebagai seorang ibu atau ayah semakin terhakis. Dia mula rasa gelisah, rasa bersalah, rasa malu, rasa marah. Bercampur baur semuanya.
Dia sendiri tidak suka berada dalam keadaan burnout ini dan tidak memilih untuk merasa atau berfikir begitu.
TETAPI
Ramai ibu bapa yang mengalami burnout ini memilih untuk simpan sendiri tekanan, kesukaran dan derita yang dialami kerana mulut manusia ini terlalu cepat menghukum, terlalu cepat menilai berdasarkan acuan sendiri.
“Keadaan kamu tidaklah seteruk mana. Ada yang lebih teruk.”
“Mak-mak kita dulu anak 10 relek saja, orang sekarang anak baru sorang dah stress.”
“Syukurlah ada anak, ramai orang yang bertahun-tahun kahwin tak ada anak tau!”
Macam-macam lagi dinilainya tanpa empati. Lebih baik diam dan simpan sahaja. Biarlah ditanggung sendiri daripada diluahkan.
“Atau mungkinkah aku sememangnya tidak layak menjadi seorang ibu.”
Individu yang mengalami ‘parental burnout’ ini bukanlah manusia yang tidak bersyukur mempunyai anak ataupun manusia yang jauh dari Tuhan. Tidak sama sekali. Mereka sudah sampai ke tahap tidak mampu lagi menanggung tekanan kerana kekuatan dan ketabahan yang ada sudah semakin susut.
Sedikit kekuatan yang tinggal itu tidak seimbang dengan tekanan yang semakin menggunung.
Jadilah pendengar yang baik sekiranya ada ibu atau ayah yang meluahkan perasaan tentang tekanan atau burnout yang dihadapi.
Empati!
Empati!
Empati!
Walaupun anda tergolong di antara 30% yang tidak pernah mengalami ‘burnout’ itu, teruskan menjadi pendengar yang baik kerana dengan hanya mendengar anda boleh membantu si ibu mengeluarkan apa yang membelenggu.
Anda boleh membantu si anak juga kerana ibu atau ayah yang mengalami ‘burnout’ yang kronik BOLEH mengabaikan anak dan boleh menjadi kasar dan punitif.
Anak-anak yang dilayan sebegini oleh ibu atau ayah yang mengalami ‘burnout’ menjadi lebih sukar untuk dikawal, hiperaktif dan agresif.
Anak-anak ini kemudiannya terus dihukum disebabkan oleh perangai mereka yang sukar dikawal, maka jadilah ia kitaran negatif yang tiada kesudahan, baik bagi ibu dan ayah yang mengalami ‘burnout’ ataupun anak itu.
Ramai yang tidak faham dan ramai yang tidak cuba memahami. Cari orang yang boleh memahami untuk bercerita ataupun orang yang melalui perkara yang sama. Cari grup yang menyokong dan bukannya menghubungi entah sesiapa.
Jangan bergantung pada media sosial untuk meluahkan kerana terlalu ramai yang tiada empati atau hanya akan meninggalkan emoji ketawa.
YANG PALING PENTING, suami dan isteri saling bantu membantu dalam memikul tanggungjawab.
Lebih parah, ‘burnout’ yang tidak ditangani boleh menjadi antara punca kepada masalah mental yang lebih serius seperti kemurungan dan kecelaruan. Dapatkan bantuan profesional ya.
Gambar Hiasan: Google
Kredit: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
Ketahui fungsi carseat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up! Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!