Jika tak mahu menyesal, jangan jadikan umur anak sebagai alasan tak menghukum kesalahan anak. Biasanya kanak-kanak (dalam lingkungan umur tiga hingga tujuh tahun) tidak boleh terlalu dimanjakan dan perlu dididik mengenai budi bahasa kerana apa yang dipelajari sewaktu kecil membentuk diri menjadi individu dewasa yang berhemah.
Begitupun, untuk membentuk anak mengenai budi bahasa bukan boleh dilakukan dalam masa singkat, sebaliknya ia adalah suatu proses yang berterusan.
Berikut beberapa panduan oleh pakar psikologi kanak-kanak mengenai bagaimana untuk membentuk budi bahasa dalam diri si kecil berdasarkan ceritapapamama.blogspot.my
Ucapan meminta maaf
Tunjukkan situasi si kecil harus mengucapkan kata-kata maaf. Anda sendiri perlu menjadi contoh kepada si kecil. Jadikan ungkapan meminta maaf sebagai suatu perkara biasa dalam kehidupan seharian.
Jika anda sendiri melakukan kesilapan pada si kecil, usah malu untuk meminta maaf daripada anak sendiri. Dengan cara ini dia secara tidak langsung akan belajar dan memahami bahawa meminta maaf bukanlah perkara yang memalukan. Ini boleh membuatkan anak anda lebih disenangi dalam pergaulannya dengan rakan sebaya.
Tunjuk rasa hormat kepada insan lebih dewasa
Didik anak untuk menghormati orang yang lebih tua daripada mereka seperti kakak, abang, datuk, nenek dan jiran tetangga.
Si kecil juga perlu dididik supaya tidak meninggikan suara atau menjawab ¬dengan perkataan yang kurang elok apabila berinteraksi ¬dengan orang lebih dewasa. Sebaiknya, tunjukkan contoh yang baik untuk mereka ikuti.
Segera tegur apabila anak melakukan kesalahan
Apabila anak melakukan kesilapan, jangan teragak-agak untuk menegur dan menerangkan kesalahannya. Pada masa sama, tunjukkan cara yang betul supaya dia tidak mengulangi kesilapannya. Jika anak bercakap sesuatu yang boleh membuatkan orang lain malu atau terasa, segera suruh anak supaya meminta maaf.
Bagaimanapun, oleh kerana kanak-kanak sekarang bijak, anda perlu pandai memilih waktu dan perkataan untuk menegur mereka. Jika dia melakukan kesilapan ketika bersama kawan-kawannya, mungkin ada baiknya anda tangguhkan dulu untuk menegur kesilapan si anak kerana teguran yang dibuat secara terbuka boleh membuatkan dia malu. Anda boleh menerangkan kesilapannya ketika duduk berdua bersama anak.
Minta kebenaran
Memang diakui pada mulanya agak sukar untuk melatih kanak-kanak meminta kebenaran bagi mendapatkan sesuatu. Ini kerana mereka lebih cenderung merampas barang permainan rakan sebaya atau daripada adik-beradik lain.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk sentiasa menasihatkan anak mereka. Katakan kepadanya dengan lembut bahawa perbuatan itu adalah salah dan perlu meminta kebenaran jika mahu mendapatkan sesuatu yang bukan milik mereka.
Didik anak guna perkataan sopan
Jadikan perkataan ‘tolong’ dan ‘terima kasih’ sebagai ungkapan yang wajib dalam keluarga anda. Jika anak anda terlupa untuk mengucapkan terima kasih, anda perlu ingatkan. Selain itu, didik anak supaya menggunakan perkataan sopan ketika berbual de-ngan orang yang lebih dewasa. Dalam hal ini, kanak-kanak perlu diingatkan bahawa mereka tidak boleh bergurau dengan perkataan yang tidak elok.
Berkongsi permainan
Berikan kata-kata pujian apabila si kecil anda sedia berkongsi barang permainannya dengan orang lain. Katakan kepadanya sikap suka berkongsi barang membuatkan dirinya lebih disayangi dan disukai ramai.
Memberi pujian
Pujian adalah kata-kata yang menakjubkan buat si kecil. Sentiasa berikan pujian apabila anak anda menunjukkan sikap yang baik. Pujian yang diterima sedikit sebanyak membantu per-kembangan emosi dalam diri mereka.
Intonasi suara
Si kecil perlu diberitahu bahawa tidak semua tempat bebas untuk bersuara atau melakukan apa yang disukai. Di tempat awam contohnya, didik mereka supaya bercakap dengan perlahan dan tidak mengganggu orang lain. Beritahu anak tempat yang dia boleh bersuara kuat dan di mana dia perlu memperlahankan suaranya.
Salam
Didik anak untuk berjabat tangan menghulurkan salam apabila berjumpa dengan orang yang lebih tua daripadanya. Ia mampu melahirkan perasaan hormat dalam diri kanak-kanak terhadap orang lebih dewasa.
Sopan di meja makan
Kanak-kanak paling susah untuk duduk diam apabila berada di meja makan. Jika di rumah sendiri ia mungkin boleh dimaafkan tetapi apabila berada di luar, sedikit sebanyak boleh mendatangkan suasana yang kurang selesa.
Sebaiknya, didik mereka sejak kecil supaya makan dengan tertib dan tidak berebut-rebut antara satu sama lain. Mereka juga perlu diajar supaya makan dengan sopan tanpa menyepahkan makanan atau minuman.