Kes bayi tersedak susu sampai meninggal sudah kerap didengari. Biasanya ia berlaku ketika bayi berada di bawah penjagaan pengasuh atau di taska.
Kesedihan ahli keluarga yang terpaksa menanggung kehilangan anak tersayang pastinya sukar digambarkan dengan kata-kata. Walaupun ia satu kemalangan namun hanya yang pernah melaluinya sahaja tahu betapa pedih dan sakitnya melalui ujian tersebut.
Sebenarnya ibu bapa, pengasuh dan pihak taska perlu tahu apa langkah yang patut mereka buat sekiranya bayi disyaki mengalami masalah tersedak susu.
Sekurang-kurangnya bila tahu langkah keselamatan dan rawatan kecemasan ia dapat mengurangkan risiko kematian bayi.
Perkongsian daripada jururawat Bel Nawhen mengenai rawatan kecemasan sekiranya berhadapan masalah bayi atau kanak-kanak tercekik sama ada tersedak susu atau objek lain diharap bermanfaat kepada semua.
Tercekik Dan Rawatan Kecemasan.
Baru sahaja cerita seorang bayi meninggal di taska kerana tercekik susu. Keadaan itu disedari agak terlewat oleh petugas disana.
Sebenarnya, tercekik merupakan salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan dikalangan kanak-kanak.
Kematian berlaku disebabkan saluran pernafasan menjadi sempit tersekat separuh atau sepenuhnya dan menyebabkan kekurangan (menghalang) oksigen memasuki paru-paru dan seterusnya ke otak.
Apa-apa jenis objek boleh menjadi sebab kepada tercekik tidak kira duit syiling, manik, tulang ikan/ayam, buah pinang, gigi palsu, mainan kanak-kanak dll.
Mereka yang tercekik boleh dilihat melalui tanda;
• Sesak nafas secara tiba-tiba dan bunyi nafas seolah bersiul (ada kesekatan berlaku).
• Spontan menggenggam kerongkong.
• Kawasan bibir kebiruan tanda kekurangan oksigen.
• Mereka kelihatan cuba bernafas dengan cepat.
• Pengsan
• Berhenti bernafas.
• Tersedak tiba-tiba.
• Batuk dan cuba batuk lebih kuat.
Jika anak/mangsa tercekik;.
√Kenalkan diri dan tanya jika perlukan bantuan.
√ Minta mangsa untuk batuk dengan kuat.
Kalau tak keluar, cuba tepuk belakang mangsa.
√ Minta bantuan jika keadaan tidak terkawal.
√ Buka mulut anak atau minta mangsa membuka mulut bagi melihat lokasi objek yang menyekat.
– Jika objek JELAS kelihatan, keluarkan dengan menggunakan jari kelingking, jika tidak, JANGAN jolok jari ke dalam tekak (dibimbangi akan menyebabkan objek lebih tersekat dan membawa kemudaratan).
√ Tepuk belakang mangsa (antara tulang belikat) dengan menggunakan tapak tangan dan kepala mangsa menunduk kebawah.
** JANGAN mendongakkan kepala mangsa.
Jika tercekik tidak dapat diberikan bantuan segera, beberapa komplikasi boleh berlaku antaranya radang di paru-paru, kerosakan otak kerana kekurangan oksigen ke otak dan kematian.
Boleh juga gunakan kaedah Heimlich Maneuver seperti gambar disediakan. Boleh juga search di youtube tentang kaedah Heimlich Maneuver yang betul.
Kanak-kanak, sering ingin mencuba beberapa perkara baru. Bagi mengelakkan kejadian tercekik kerana mereka rajin mengutip dan memasukkan objek kedalam mulut;
• Sediakan makanan dalam saiz kunyahan. Asingkan tulang dan isi bagi ikan dan ayam.
• Jangan beri anak masa makan dan bermain SERENTAK. Dibimbangi akan menyebabkan mereka menyuap mainan ke dalam mulut kerana menyangkakan ia juga boleh dimakan.
• Pastikan kawasan gapaian anak-anak seperti meja, lantai, mini almari serta kawasan bermain mereka bebas dari objek kecil, berwarna warni seperti manik, duit syiling, guli dll.
• Elakkan makanan yang boleh menyebabkan anak-anak yang belum pandai mengunyah dari tercekik seperti kacang, buahan berbiji seperti mata kucing/rambutan dan gula-gula.
• Beri mainan yang bersesuaian dengan umur kanak-kanak bukannya objek kecil yang menarik perhatiannya untuk dimasukkan ke mulut.
1. JANGAN beri anak minum susu secara langsung dengan menyendal sebarang objek dibawah botol susu. Saiz puting yang tidak serasi boleh menyebab susu keluar lebih banyak dan bayi tidak dapat menelan sempurna hingga menyebabkan anak tercekik susu.
2. TINGGIKAN kepala bayi sedikit sewaktu menyusukan bayi untuk memberi keselesaan kepada bayi selain memberikan bukaan ruang di dada lebih luas.
3. BELI PUTING mengikut saiz bayi dan pastikan tidak terlalu besar hingga membuatkan susu keluar terlalu cepat.
Notakaki;
Tercekik merupakan kes kecemasan. Ia bukan kes biasa-biasa yang mana boleh lewat dirawat.