Jururawat Terpotong Jari Kelingking Bayi 8 Bulan Ketika Membuka Alat Tiub Di Tangan

Share

Bayi berusia lapan bulan terpaksa menanggung kesakitan apabila jururawat Hospital Muhammadiyah Palembang di Sumatera Selatan terpotong jari kelingkingnya ketika membuka alat di tangan bayi berkenaan.

Lapor Kompas.com, insiden malang itu berlaku Jumaat lalu ketika jururawat sedang mencabut tiub yang dilekatkan pada tangan kecil bayi itu selepas dirawat akibat demam.

Bapa bayi itu, Suparman berkata, pada awalnya mereka sekeluarga memberi amaran supaya membuka sahaja balutan pada tangan yang diletakkan tiub berkenaan tetapi tidak didengari.

Jururawat itu sebaliknya mengambil gunting besar untuk mengeluarkan tiub itu menyebabkan jari kelingking kiri bayinya terpotong hingga terputus.

Suparman membuat laporan kepada pihak polis selepas jururawat berkenaan enggan berjumpa keluarganya namun pihak hospital sanggup bertanggungjawab dan anaknya dibedah serta dibawa ke bilik lain.

Timbalan Pengarah hospital berkenaan, Muksin mengakui jururawat itu melakukan kecuaian dan perkara itu tidak disengajakan.

“Ya, memang benar, kejadian itu dilakukan oleh jururawat kami. Dia disyaki cuai dan tidak sengaja menyebabkan gunting terkena jari bayi dan terputus sedikit.

“Selepas mengetahui kejadian itu kami segera bertindak balas dengan menjalankan pembedahan yang mengambil masa kira-kira 1.5 jam.

“Pada mulanya pesakit berada di kelas 3 tetapi kerana kecuaian pekerja kami, mereka terus dipindahkan ke bilik VIP selepas pembedahan selesai dan semua perkhidmatan serta kos rawatan itu diberikan secara percuma,” katanya.

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa