Beberapa hari saja lagi Ramadan akan menjengah. Apabila menyebut tentang bulan puasa, pasti bayaran zakat sinonim dengannya. Bayaran zakat dikira mengikut jumlah kepala di dalam keluarga (jika dibayar oleh ketua keluarga) dan mengikut harga beras.
Pun begitu, ada segelintir masyarakat yang makan jenis lain seperti beras basmathi atau quinoa. Quinoa merupakan pilihan yang lebih sihat serta mempunyai kandungan fiber yang lebih tinggi serta bebas gluten. Maka dengan itu, harganya lebih mahal dari beras biasa.
Mengikut bebenang yang dikongsikan oleh Ustaz Faisal Rahim, sekiranya seseorang itu mengamalkan quinoa di dalam diet hariannya, maka kadar zakat fitrahnya juga berbeza. Bebenang ini dikongsikan oleh Noryussyairah Yussof di laman Facebook beliau.
Ikuti penjelasan ini:
Baiklah, siapa sini beragama Islam tapi makan beras selain beras putih biasa? (contoh beras lain : Beras Basmathi, Quinoa, dll. Senang cerita beras mahal.)
Korang tau tak, korang yang guna beras mahal ni kadar zakat korang tak boleh sama dengan kadar zakat orang yang makan beras biasa. Kadr zakat untuk pengguna beras mahal ni tinggi sikit. Baca thread bawah ni untuk tau lebih lanjut pasal ni. Nanti refer dengan bahagian Zakat negeri masing-masing ok.
Untuk Ira, Ira memang baru tahu pasal ni. Means last year kami terkurang bayar zakat sebab kami guna beras mahal dekat rumah sewa. So, kami kena ganti balik yang terkurang tu. Semoga bermanfaat untuk korang semua ok! 😊
Menurut Ustaz Faisal, quinoa bukanlah pilihan untuk orang biasa kerana harganya yang mahal. Anggaran harganya untuk berat 400gm adalah lebih kurang seperti harga 10kg beras biasa.
Sekiranya quinoa dimakan sesekali, ia tidak menjadi makanan asasi. Hanya mereka yang makan quinoa setiap hari sehingga menggantikan beras, perlu membayar kadar zakat fitrah yang lebih.
Sama seperti mereka yang mengamalkan beras basmathi atau beras perang. Jika dimakan sesekali dan tidak menjadi kebiasaan, bayaran zakat fitrah mengikut harga beras biasa. Tambah Ustaz Faisal lagi, kebanyakan negeri di Malaysia sudah membuat perbezaan kadar zakat fitrah mengikut beras yang dimakan.
Kata Ustaz Faisal lagi, bayaran zakat fitrah ini hanya berbeza untuk seorang sahaja. Seperti contoh, pasangan yang memakan beras perang. Hanya seorang yang perlu bayar RM21.00 manakal seorang lagi harga biasa iaitu RM7. Jumlahnya RM28.00. Amil tidak akan bertanya jenis beras yang dimakan, si pembayar harus memaklumkan kepadanya.
Jelas ustaz lagi, pengambilan beras dalam kalangan masyarakat ada masanya di atas sebab tertentu. Sekiranya jenis-jenis beras ini dimakan dalam tempoh tertentu, maka ia tidak dikira sebagai makanan asas dan hanya perlu bayar zakat mengikut kadar beras biasa.
Info tambahan:
Hukumnya sunat untuk membayar zakat fitrah mengikut beras yang dimakan. Sebagai contoh, Lembaga Zakat Negeri Selangor telah menetapkan untuk membayar zakat mengikut harga beras yang dimakan. Manakala di negeri Sarawak pula, mereka mengikut majoriti beras yang digunakan penduduknya dan bukan mengikut minoriti.
Justeru, jelaslah penetapan zakat fitrah tidak hanya mengikuti jenis makanan yang dimakan oleh pembayar zakat secara individu sebaliknya berdasarkan jenis purata beras yang dimakan penduduk sesebuah negeri. Wallahua’lam.
Untuk maklumat lanjut berkaitan hal ini, sila layari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.