Kehamilan

Kaki Bengkak Ketika Hamil, Ini Langkah Yang Mama Boleh Lakukan

Share

Masalah kaki bengkak ketika hamil antara yang sering dialami ramai ibu-ibu mengandung. Apabila kaki mula membengkak, mulalah ibu-ibu rasa tidak selesa. Kaki jadi berat dan susah hendak bergerak.

Awas ya mama, gejala kaki bengkak ini perlu dipantau. Bimbang terbentuknya darah beku yang boleh ke paru-paru.

RAHIM MEMBESAR & MENEKAN ORGAN SEKELILING

Semasa hamil, terutamanya semasa bayi sudah agak besar, rahim yang besar akan menekan organ-organ disekitarnya termasuk saluran darah besar yang dipanggil vena cava.

Salur darah besar ini datang dari salur darah daripada kaki dan terus ke jantung. Jadi, darah yang membawa oksigen ke kaki itu akan kembali ke jantung melalui vena dari kaki, seterusnya akan melalui vena cava dan sampai ke jantung.

WATER RETENTION MENJADI PENYEBAB

Apabila vena cava dihimpit oleh rahim yang sedang membesar ketika hamil, pengaliran darah dari kaki akan menjadi perlahan. Bila aliran darah perlahan, tekanan dalam saluran darah tadi akan meningkat dan menyebabkan air tiris keluar dari salur darah ke tisu disekitarnya. Air ini lah yang menyebabkan kaki bengkak. Keadaan ini dipanggil water retention.

Jadi, sekiranya ibu-ibu hendak mengurangkan kaki bengkak perlu selalu tinggikan kaki supaya graviti membantu dalam pengaliran darah dari kaki ke jantung.

JADI SENTIASA PERIKSA BENGKAK KAKI ANDA, KALAU SEBELAH LEBIH BENGKAK DARI BIASA DAN SAKIT, DAPATKAN PEMERIKSAAN DOKTOR DENGAN SEGERA.

SEBELAH KAKI SAHAJA BENGKAK, IA MUNGKIN DEEP VEIN THROMBOSIS

Tapi jika sekiranya satu belah sahaja kaki yang bengkak, dan disertai rasa sakit, itu mungkin tanda yang bahaya. Ia mungkin disebabkan oleh Deep Vein Thrombosis (DVT).

Perlu difahami yang kehamilan akan meningkatkan risiko berlakunya DVT. DVT ini dengan maksud mudahnya ialah darah beku yang tersumbat pada salur darah.

Apabila salur darah tersumbat, darah tidak boleh nak melalui ikut salur darah tersebut dan menyebabkan terjadinya tekanan dalam salur darah tersebut akan meningkat dan kaki akan jadi bengkak. Tapi itu belum betul-betul bahaya lagi.

DARAH BEKU PECAH & MENYEBABKAN PARU-PARU TERSUMBAT

Yang lebih bahaya ialah apabila, darah beku (thrombus) tadi pecah dan ia terus naik ke jantung dan ke paru-paru. Thrombus yang pecah dan mengalir dipanggil embolus.

Embolus tersebut boleh menyebabkan saluran dalam paru-paru tersumbat. Ini kerana saluran darah dalam paru-paru jauh lebih kecil dari saluran darah di kaki.

Jadi thrombus yang pecah kepada serpihan kecil tadi boleh tersumbat di paru-paru menyebabkan berlakunya Pulmonary Embolism (PE). PE boleh membawa maut, ia sangat bahaya.

SIMPTOM PULMONARY EMBOLISM

Simptom apabila PE berlaku adalah seperti sakit dada, sesak nafas, batuk dan pengsan.

Jadi sentiasa periksa bengkak kaki anda, kalau sebelah lebih bengkak dari biasa dan sakit, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Berikut dikongsikan langkah yang boleh mama lakukan untuk mengatasi masalah kaki bengkak:

1. Pakai stoking ibu hamil

Cuba pakai stoking ibu hamil untuk mengurangkan simptom bengkak kaki. Stoking ini dapat memastikan tekanan pada kawasan kaki kekal normal. Ia juga dapat membantu menolak semula cecair lebihan kembali ke dalam salur darah. Elakkan memakai stoking yang ketat atau mempunyai getah pada bahagian atas. Ini boleh meningkatkan risiko darah beku.

Kredit foto: Freepik

2. Rehat secukupnya untuk elak kaki bengkak ketika hamil

Ibu hamil perlulah berehat dengan secukupnya. Pengaliran darah ke seluruh tubuh badan akan menjadi semakin lancar jika ibu mendapatkan rehat yang cukup. Ketika anda menonton televisyen, membaca atau sedang duduk, cuba tukar posisi badan dan lunjurkkan kaki ke depan dan ke atas, lebih tinggi daripada dada. Posisi ini akan mengurangkan tekanan pada kawasan vena dan mengurangkan kaki bengkak ketika hamil.

Kredit foto: Pexels

3. Basahkan kaki 

Rendamkan kaki yang sembap di dalam air sejuk selama 20 minit untuk mengurangkan bengkak. Cara ini juga dapat membantu mama mengurangkan rasa hangat disebabkan cuaca yang panas. Pastikan suhu air tidak terlalu sejuk. Suhu yang terlalu rendah boleh menyebabkan salur darah kecil mengecut dan mengurangkan peredaran darah. Boleh amalkan seminggu sekali.

4. Beli kasut yang muat

Kasut yang ketat bukan sahaja tidak menyelesakan, ia juga akan menyebabkan mama mengalami kesakitan yang lebih teruk. Masalah ini boleh berlarutan selepas kelahiran. Tidak rugi jika mama berbelanja lebih untuk sepasang kasut yang selesa. Pilih kasut yang rata dan boleh disarung dengan mudah.

5. Jumpa pakar jika masalah kaki sembab ketika hamil semakin serius

Masalah kaki sembab ketika hamil juga boleh diselesaikan oleh pakar. Mungkin mama tidak sedar kesakitan pada tapak kaki mungkin berlaku disebabkan perkara lain seperti kuku cengkam.

Pakar akan bantu selesaikan masalah kuku cengkam ini supaya ibu boleh berdiri dengan lebih selesa. Jangan biarkan kesakitan melarat. Jika tidak, anda akan alami masalah yang lebih besar, terutamanya ketika kehamilan menginjak ke trimester ke-3.

Urutan atau refleksologi pada kawasan kaki dan tangan juga mungkin dapat membantu melegakan kesakitan yang dialami.

Sumber: Poliklinik Az-Zaara dan Hellodoctor.com

Published by
Has