Kalau Ada Tompokan Hitam Pada Kulit Anak, Dia Berisiko Dapat Diabetis Jenis 2

Share

Acanthosis Nigrican adalah penyakit pigmentasi kulit yang agak biasa berlaku di kawasan yang gelap, dan perubahan warna di bahagian pelipat kulit. Kulit yang terjejas boleh menjadi tebal. Biasanya, acanthosis nigrican berlaku di ketiak, pangkal paha dan leher.

Perubahan kulit dalam acanthosis nigrican biasanya berlaku pada orang yang gemuk atau mengalami diabetes. Kanak-kanak yang mengalami keadaan ini berisiko tinggi untuk mendapat diabetes jenis 2. Jarang sekali, acanthosis nigrican boleh menjadi tanda amaran bagi ketumbuhan kanser pada organ dalaman, seperti perut atau hati.

Selain itu, acanthosis nigrican mungkin merupakan tanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius, seperti prediabetes. Rawatan yang paling berkesan adalah dengan memberi tumpuan kepada mencari dan menyelesaikan punca keadaan perubatan tersebut berlaku. Tompokan kulit ini cenderung untuk hilang jika berjaya merawat puncanya.

SIMPTOM-SIMPTOM

Simptom umum dari acanthosis nigricans adalah perubahan warna kulit. Ia biasanya berlaku secara perlahan-lahan. Tompokan ini mungkin mempunyai bau, gatal dan muncul di pelipat kulit, ketiak, celah kelangkang, belakang leher, siku, lutut, bibir, tapak tangan dan tapak kaki.

PUNCA-PUNCA

1. Rintangan insulin
Kebanyakan orang yang mempunyai acanthosis nigrican juga mempunyai rintangan terhadap insulin. Insulin adalah hormon yang dirembes oleh pankreas yang membolehkan badan anda menghasilkan gula. Rintangan insulin adalah punca yang menyebabkan diabetes jenis 2.

2. Gangguan hormon
Acanthosis Nigricans sering berlaku pada orang yang mempunyai penyakit seperti sista ovari, tiroid yang tidak aktif atau masalah dengan kelenjar adrenal.

3. Dadah dan suplemen tertentu
Niacin berdos tinggi, pil perancang, hormon pertumbuhan manusia, ubat tiroid, suplemen tambahan untuk bina badan, prednison dan kortikosteroid boleh menyebabkan acanthosis nigrican.

4. Kanser
Acanthosis Nigricans kadang-kadang berlaku bersama limfoma atau apabila tumor kanser mula tumbuh di dalam organ dalaman, seperti perut, kolon atau hati.

Acanthosis Nigricans biasanya dikesan semasa ujian kulit. Biopsi kecil daripada kulit akan diuji, untuk menolak kemungkinan penyebab lain. Sekiranya penyebab acanthosis nigrican tidak jelas, doktor mungkin mencadangkan ujian darah, X-ray, ujian glukosa dalam darah atau ujian insulin. Doktor juga boleh menyemak ubat-ubatan anda untuk mengetahui sama ada ia merupakan faktor penyumbang.

 

FAKTOR-FAKTOR RISIKO

1. Obesiti. Semakin meningkat berat badan anda, semakin tinggi risiko acanthosis nigricans.

2. Keturunan. Kajian menunjukkan bahawa di Amerika Syarikat, acanthosis nigricans lebih kerap berlaku dalam kalangan Orang Asli Amerika.

3. Sejarah keluarga. Sesetengah jenis acanthosis nigrican adalah disebabkan oleh faktor keturunan.

BAGAIMANA ACANTHOSIS NIGRICANS DIRAWAT?

Tiada rawatan khusus untuk acanthosis nigricans. Rawatan terhadap puncanya boleh memulihkan warna dan tekstur di kawasan kulit yang terjejas. Dalam banyak keadaan, merawat masalah akar dapat membantu menghilangkan perubahan warna. Antara contohnya termasuklah:

1. Turunkan berat badan. Jika acanthosis nigrican adalah disebabkan oleh obesiti, penurunan berat badan boleh membantu.

2. Menghentikan pengambilan ubat-ubatan atau suplemen. Jika keadaan anda dilihat seolah-olah berkaitan dengan ubat atau suplemen yang anda gunakan, doktor anda mungkin menyarankan agar anda berhenti menggunakan bahan itu.

3. Menjalani pembedahan. Jika acanthosis nigricans dicetuskan oleh tumor kanser, pembedahan membuang tumor selalunya akan mengembalikan warna kulit.

Jika bimbang dengan penampilan kulit atau jika luka menjadi tidak selesa dan mula berbau, doktor anda mungkin akan mencadangkan sabun antibakteria, yang digunakan dengan lembut kerana penggosokan boleh memburukkan lagi keadaan kulit. Selain itu, boleh gunakan ubat antibiotik topical, ubat jerawat oral dan juga terapi laser untuk mengurangkan ketebalan kulit.

Gaya hidup dan pengubatan sampingan yang dapat membantu menangani acanthosis nigrican ialah mengekalkan gaya hidup sihat, kurangkan berat badan, mengawal diet anda dan mengelakkan dari ubat-ubatan yang cenderung menyebabkan atau memburukkan keadaan.

#HealthDrZubaidi

Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa