“Mama, ada orang sentuh adik”, “ish apa adik ni”.. si anak terus terdiam, mula takut nak mencerita pada si ibu. Penderaan seksual bukan sesuatu yang boleh dibiarkan. Ibu atau ayah yang mengetahui tentang masalah si anak ini harus melakukan sesuatu!
Anak-anak juga harus di ajar tentang sentuhan selamat dan juga sentuhan tidak selamat agar mereka dapat membezakan baik dan buruk. Banyak kes yang melibatkan penderaan seksual yang berlaku. Jadi ibu ayah WAJIB ambil peduli. Ikuti artikel ini.
PENDERAAN SEKSUAL KANAK KANAK 👫
Beberapa hari yang lepas adalah kali pertama saya mengendalikan kes Penderaan Seksual Kanak-Kanak sejak saya meninggalkan hospital kerajaan untuk ke sektor swasta. Sebagai seorang doktor, adalah tanggungjawab saya untuk melaporkan kes sebegini yang datang ke klinik saya, ke pihak yang berkuasa iaitu kepada pihak polis dan juga JKM.
Saya tahu, mesti ada sebab mengapa pesakit itu di’pilih’ untuk datang berjumpa saya dan saya hari ini mengambil keputusan untuk SHARE mengenai topik yang agak sensitif ini, tetapi penting untuk diketahui oleh kita semua- sebagai seorang ibu, bapa, kakak, pakcik, makcik, kawan ataupun jiran. Mungkin ada yang TIDAK TAHU apa yang perlu dilakukan ataupun TIDAK SEDAR kepentingan untuk melaporkan satu kes penderaan itu.
Inilah beberapa point penting saya mahu kongsikan berdasarkan kes baru-baru ini.
⚠️ Kita perlu mengambil SERIUS apa yang diberitahu oleh seseorang kanak-kanak.
Apabila seseorang kanak-kanak itu memberitahu sesuatu kepada anda yang menjerumus kepada satu penderaan, janganlah memperlekehkan atau buat-buat tidak tahu. Bukan senang untuk seseorang kanak-kanak itu untuk mempunyai keberanian dan kepercayaan untuk memberitahu insiden itu kepada anda.
Dia mungkin tidak akan memberitahu anda lagi sekiranya anda buat tidak tahu sahaja, dan perkara yang sama mungkin akan berlaku berulang-ulang lagi.
⚠️ Tolong LAKUKAN sesuatu apabila anda sudah mengetahui mengenai insiden itu.
Majoriti semestinya yang akan terkejut apabila mendengar sesuatu yang tidak menyenangkan. Benar, perkara yang paling mudah untuk dilakukan adalah untuk buat tidak tahu saja.
Tapi ingatlah, jangan berdiam diri dan tolonglah laporkan perkara itu kepada pihak yang berkenaan iaitu sama ada ke Pejabat Kebajikan Masyarakat, menelefon Talian Kasih: 15999, membuat laporan polis ataupun bawa saja kanak-kanak itu ke hospital.
Sekiranya perkara yang sama masih berulang lagi, adakah anda mampu untuk menanggung kesalahan itu? Adalah menjadi TANGGUNGJAWAB kita untuk membuat laporan sekiranya kita mengesyaki kanak-kanak itu didera, berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001.
⚠️ Pesalah selalunya adalah di kalangan AHLI KELUARGA atau kenalan RAPAT sendiri.
Contohnya seperti ibubapa, atuk, adik beradik, sepupu, bapa/ibu saudara, jiran dan juga guru. Golongan yang RAPAT dengan kanak-kanak itu boleh mengambil kesempatan dengan hubungan rapat dan kepercayaan yang mereka ada dengan kanak-kanak itu. Jadi janganlah terkejut sekiranya anda dengar mengenai kejadian sedemikian.
⚠️ Ajarlah anak, anak saudara atau anak murid anda mengenai SENTUHAN SELAMAT dan TIDAK SELAMAT ataupun ‘SAFE TOUCH/UNSAFE TOUCH’.
– Alhamdulillah topik ini telah dimasukkan dalam buku teks PJPK kanak-kanak sekolah rendah, tetapi topik ini boleh diajar kepada kanak-kanak seawal usia 4 tahun lagi. Saya sertakan link di sini sekiranya anda rasa tidak selesa untuk bercerita kepada anak anda. Boleh tunjuk sahaja video ini.
BM: https://youtu.be/IFn3mkD0tJs
English: https://youtu.be/zNTUMNKSNwk
⚠️ Ingatlah bahawa walaupun keputusan pemeriksaan adalah normal, ini tidak bermakna kanak-kanak itu tidak didera secara seksual.
– Selepas sesuatu insiden yang berlaku, lebih-lebih lagi sekiranya ianya berterusan, ia akan memberi impak yang lebih teruk kepada kanak-kanak itu dari segi EMOSI dan MENTAL. Ia juga akan memberi kesan jangka panjang seperti kemurungan dan rasa rendah diri. Kanak-kanak itu juga memerlukan kaunseling dan juga penilaian daripada pakar psikiatri kanak-kanak.
Semoga Allah melindungi anak-anak kita semua daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Pantaulah aktiviti anak-anak anda, lebih-lebih lagi dengan penggunaan gajet yang berlebihan di waktu PKP ini.😢
Kongsikanlah post ini kepada ahli keluarga atau kawan-kawan yang anda rasa boleh mendapat manfaat daripadanya.
Anda juga boleh comment atau PM saya sekiranya anda mahu meminta nasihat ataupun ingin mengetahui lebih lanjut mengenai topik ini. Identiti anda akan dirahsiakan.
#childprotection
#childabuse
#penderaankanakkanak
#penderaanseksual
#NAI
#aktakanakkanak
#fightchildabuse
Followers Pa&Ma yang nak dapatkan barangan permainan anak dengan harga murah boleh klik di SINI