Hai min, anak i dah masuk 14 bulan tapi masih belum nampak tanda-tanda nak berjalan. Sepatutnya umur berapa dia dah boleh berjalan? Ada orang cakap anak lelaki ni lambat sikit. Betul ke?
Sofea, bukit bandar
Jawapan daripada Doktor
Kebanyakan kanak-kanak sudah mampu berjalan pada umur setahun. Secara umum 85% kanak-kanak mula berjalan tanpa berpegang sekitar umur antara 10-14 bulan. Sekiranya anak anda belum mampu berjalan semasa umurnya mencecah 18 bulan, beliau boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang lewat berjalan.
Perkembangan Awal Kanak-kanak
Kemampuan berjalan adalah suatu tahap perkembangan yang sangat penting bagi seseorang kanak-kanak. Selain itu terdapat tahap-tahap perkembangan otot kasar (gross motor) lain yang boleh diperhatikan di peringkat lebih awal.
Berikut ialah kemampuan otot kasar serta umur yang mana seseorang bayi sepatutnya mencapai perkembangan tersebut:
Kawalan kepala – umur 3 bulan
Kaki memijak – umur 4 bulan
Meniarap – umur 6 bulan
Duduk tanpa bantuan – umur 9 bulan
Berdiri tanpa sokongan – umur 12 bulan
Apakah punca yang menyebabkan seseorang kanak-kanak itu lewat berjalan?
Sekiranya seseorang bayi didapati lewat berjalan, salah satu daripada faktor-faktor berikut mungkin boleh berperanan:
Faktor keluarga atau keturunan: Sekiranya ibu atau bapa kanak-kanak tersebut sendiri mengalami masalah lewat berjalan semasa mereka kecil, anak mereka mungkin menghadapi masalah yang sama disebabkan faktor keturunan. Walau bagaimanapun sekiranya ibu atau bapa mampu berjalan semasa berumur 2 tahun serta tiada masalah perubatan yang lain, kemungkinan besar tiada apa yang perlu dirisaukan tentang anak mereka.
Kelahiran pra matang: Secara umumnya bayi yang dilahirkan pra matang atau ‘premature’ akan mengalami sedikit kelewatan perkembangan secara keseluruhan, termasuk lewat berjalan. Jadi kelewatan sekitar 2-3 bulan mungkin tidak menjadi masalah, bergantung kepada tahap bayi tidak matang tersebut semasa lahir.
Cerebral palsy: Kanak-kanak yang menghadapi masalah cerebral palsy biasanya boleh dikesan di peringkat awal, terutama sekiranya mereka mempunyai risiko-risiko berkaitan seperti lemas semasa kelahiran atau kelahiran kurang matang. Walau bagaimanapun ada kanak-kanak cerebral palsy hanya dikesan apabila mereka diperiksa oleh doktor kerana lewat berjalan.
Kanak-kanak cerebral palsy umumnya mengalami kekejangan otot serta kesukaran menggerakkan anggota badan dengan baik. Contohnya, mereka sukar duduk bersila tetapi memilih untuk duduk dengan kaki dilipat ke belakang (posisi ‘W’), atau mereka tidak merangkak secara normal tetapi lebih kepada mengheret kaki.
Lewat perkembangan secara umum (global): Ini bermaksud masalah lewat berjalan kanak-kanak tersebut adalah sebahagian daripada lewat perkembangan dalam aspek lain seperti bercakap, komunikasi, sosial, kemahiran tangan dan kognitif (berfikir).
Terdapat banyak punca-punca lewat perkembangan global. Antaranya ialah masalah sindrom seperti Down syndrome, kecederaan otak disebabkan lemas atau jangkitan kuman, atau pelbagai penyakit kronik yang lain.
Masalah otot: Ini termasuk penyakit-penyakit yang dikenali sebagai muscular dystrophy, spinal muscular atrophy dan congenital myopathy. Penyakit-penyakit ini menyebabkan banyak otot-otot badan menjadi lemah.
Tanda-tanda awal mungkin boleh dikesan semasa peringkat bayi dan kanak-kanak lagi. Antaranya ialah bayi terasa lembik semasa digerakkan, kawalan kepala yang lemah dan kurang kekuatan pergerakan kaki dan tangan. Oleh itu mereka biasanya lewat berjalan, bahkan ada yang langsung tidak mampu berjalan atau berdiri.
Bilakah anak saya perlu dibawa untuk pemeriksaan sekiranya disyaki lewat berjalan?
Kebiasaannya kanak-kanak di Malaysia akan diperiksa pada umur setahun semasa ketika pengambilan suntikan imunisasi. Sekiranya anak anda masih tidak mampu berdiri semasa berumur setahun atau mengalami masalah perkembangan lain, anak anda mungkin akan dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Secara umumnya, kanak-kanak yang tidak mampu berdiri semasa berumur setahun dan tidak berjalan semasa berumur 18 bulan perlu diperiksa oleh doktor. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar kanak-kanak. Walau bagaimanapun itu tidak semestinya bermakna kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan.
Geram sampai tahap kesabaran tak boleh nak dikawal boleh berlaku bila anak buat perangai. Tambahan pula dengan kepenatan selepas seharian bekerja antara salah satu punca ibu bapa tak boleh nak kawal kemarahan sehinga terpaksa naik tangan.
Sampai bila nak berterusan? Di sini pentingnya ibu bapa mencari penyelesaian di sebalik masalah ini. Berdasarkan perkongsian Dr Rozanizam Zakaria persoalan kenapa anak kecil buat perangai bukan disebabkan sikap anak itu sahaja tetapi melibatkan ibu bapa dan persekitaran.
Ads
Berikut antara persoalan dan penyelesaian yang boleh dijadikan panduan
Salam doktor, anak saya umur 2 tahun selalu buat perangai, mengamuk, tak nak dengar kata, kacau adik. Kalau saya marah dia menjerit. Kadang-kadang tak dapat control sampai terpaksa naik tangan. Macam mana nak handle? – Puan M –
Ads
Sebelum kita pecah kepala fikir ‘magic solution’ kepada ‘masalah dunia’ ini, let’s consider this. Kerana dalam banyak keadaan, bagi saya persoalan yang lebih tepat bukan bagaimana, tetapi mengapa.
Ads
INGINKAN PERHATIAN – kanak-kanak perlu bersaing untuk mendapat perhatian dari ibu bapa dengan anak-anak lain, kerjaya, urusan rumahtangga, gajet dan internet dan pelbagai lagi distraction yang menyebabkan kanak-kanak rasa tidak mendapat perhatian yang diingini. Adakalanya tingkah laku yang tidak disenangi itulah satu-satunya cara untuk mereka mendapat perhatian yang diinginkan.
CEMBURU DAN PERSAINGAN – Kanak-kanak pada usia 2-4 tahun mula belajar tentang konsep ‘my way, my things, myself’ dan kehadiran orang lain seperti adik beradik dan kawan-kawan adakalanya menguji ‘territory’ ini.
PERASAAN KECEWA – ‘frustration’ adalah emosi yang tercipta bila mereka tidak dapat memenuhi keinginan mereka sendiri disebabkan ketidakmampuan mereka. Contohnya tak dapat ambil barang yang diingini, tak berjumpa dengan mainan yang dicari, tak dapat menonton cerita yang diingini.
PERASAAN TAKUT/GELISAH BIMBANG DITINGGALKAN ATAU BERJAUHAN DARI TEMPAT BERGANTUNG – Reaksi ini adalah tindak balas normal terhadap ketidak pastian mereka atau apa yang mereka pelajari dari pengalaman sebelumnya. Mereka tidak memiliki kematangan komunikasi untuk meluahkan perasaan mereka melainkan dengan tingkahlaku.
REAKSI NORMAL TERHADAP KESAKITAN, KELETIHAN DAN GANGGUAN EMOSI – Seperti mana orang dewasa, mereka juga mengalami situasi sebegini. Cumanya, mereka lebih kerap meluahkannya dengan tingkah laku (Orang dewasa pun ada juga berperangai sebegini)
KEHENDAK IBUBAPA YANG SUKAR DIPENUHI – Jangan expect kanak-kanak untuk berperilaku sempurna seperti dewasa pada setiap ketika (dewasa pun tak mampu penuhi expectation ini). Adakalanya ibubapa perlu terima hakikat sesetengah tingkahlaku adalah simply kerana mereka masih kanak-kanak.
DRAMA IBU BAPA – Stress boleh berjangkit! Bila ibubapa tidak mengurus emosi dengan baik, tekanan dan bebanan yang mereka hadapi singgah pada anak-anak. Drama mereka disambung oleh anak-anak dengan watak dan jalan cerita yang berbeza.
Banyak tenaga, suara, masa dan emosi dapat dijimatkan bila kita dapat kenal pasti punca dan selesaikannya dari puncanya dengan lebih rasional. Dalam hiruk pikuk cabaran mendidik anak-anak, ada ketika kita perlu mengambil beberapa langkah kebelakang dan berfikir…”kenapa agaknya anak bertuah ini jadi sebegini?” Mungkin jawapannya ada pada kita..
Sekarang musim Influenza A menyerang. Jika kita orang yang sihat, tiada masalah kesihatan, kebiasaannya tidak apa-apa. Tetapi bagi mereka yang ada masalah kesihatan seperti asma, orang tua atau kanak-kanak kecil, ia boleh mendatangkan bahaya
Menurut Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah dalam Facebook Medical Mythbusters Malaysia, Influenza terbahagi 3, influenza A adalah yang lebih kuat berbanding influenza B dan C.
Virus ini berubah bentuk setiap tahun, maka digalakkan mengambil vaksin Influenza setahun sekali sebelum musimnya iaitu musim sejuk dan hujan.
Antara simptom-simptom Influenza A adalah:
– demam dan menggigil
– demam tinggi yang tidak surut walaupun dengan paracetamol
– sakit kepala dan otot
– sakit tekak dan batuk
– selsema
Kanak-kanak kadangkala mengalami sakit perut, loya dan muntah.
Sila dapatkan rawatan di hospital jika ada simptom
– SESAK NAFAS
– NAFAS LAJU
– DEMAM TINGGI YANG BERPANJANGAN
– KULIT KELIHATAN KEBIRU-BIRUAN
– KANAK-KANAK TIDAK MAHU MAKAN ATAU MINUM
– BAYI DEHIDRASI KERANA KURANG MINUM (LAMPIN KERING, MENANGIS TIADA AIR MATA)
Bagi orang dewasa pula, simptom yang menunjukkan rawatan kecemasan diperlukan segera adalah
– SAKIT DADA
– SESAK NAFAS
– KEBINGUNGAN
– MUNTAH-MUNTAH YANG BERPANJANGAN
– SELSEMA BERKURANG TETAPI DEMAM DAN BATUK DATANG SEMULA
Rawatan bagi Influenza A adalah
– rehat di rumah
– kekalkan hidrasi badan dengan minum dengan kerap
– makan jika rasa ada selera, sebaiknya makanan yang berkhasiat dan tidak terlalu berat
– ambil ubat tahan sakit yang dinasihatkan doktor
Bagaimanakah cara mengelakkan virus Influenza A merebak?
– kuarantinkan diri di rumah hingga semua simptom sembuh . Jangan ke luar ke tempat awam bagi mengelakkan virus tersebar . JANGAN MENGHANTAR ANAK-ANAK YANG SAKIT KE SEKOLAH, TASKA, TADIKA, NURSERY DAN SEBAGAINYA. KUARANTIN DI RUMAH.
– tutup mulut ketika bersin dan batuk
– cuci tangan dengan kerap
– jika anda petugas kesihatan, pastikan anda menukar pakaian sebelum memegang anak-anak kecil anda apabila pulang dari hospital
– galakkan anak-anak yang sudah bersekolah untuk terus mandi dan menukar pakaian apabila pulang dari sekolah , terutamanya jika ada anak yang lebih kecil di rumah
Komplikasi Influenza A seperti jangkitan paru-paru (pneumonia) boleh berlaku kepada golongan berisiko tinggi seperti
– bayi
– kanak-kanak kecil
– warga emas
– wanita hamil
– pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit jantung .
“Apa ni lubang-lubang kat depan telinga anak saya ni, doktor? Setiap dua tiga bulan aje mesti bengkak, merah, sakit.. risau saya.”
Jangan risau!
Ia bukan tanda-tanda kanser atau ketumbuhan yang perlu ibu bapa bimbangkan.
Menurut Doktor Telinga, Hidung Dan Tekak, Dr Ezairy M.Sallih, preauricular sinus atau cyst merupakan salah satu ‘congenital anomaly’ yang berlaku semenjak lahir ketika pembentukan embrio lagi. Kajian menunjukkan hampir 1% bayi lahir mengalami masalah ini, dan populasi di Afrika lebih ramai berbanding di Asia.
Jadi, kenapa ia boleh membengkak, merah dan sakit?
Akibat adanya cyst, sinus atau kantung… apabila berlakunya jangkitan di situ, ia akan menyebabkan berlakunya gejala seperti kemerahan, sakit dan pengumpulan nanah boleh berlaku!
Jika ini terjadi, ubat antibiotik perlu diberi bagi menghentikan jangkitan dan pembedahan kecil mengeluarkan nanah perlu dilakukan.
Adakah ia akan selesai?
Tidak. Pembedahan untuk membuang keseluruhan sinus dan kantung tersebut perlu dilakukan sebaik sahaja jangkitan tiada bagi memastikan tiada lagi serangan berulang.
Okey, lepas ni boleh check kat anak-anak. Ada tak lubang seperti ini pada telinga mereka?
Semakin ramai pasangan berkahwin kini cenderung memilih gaya hidup 'childfree', iaitu tidak mahu mempunyai anak. Trend ini dilihat membimbangkan.Walaupun keputusan ini dilihat sebagai hak...