Apabila anak sakit, ibu ayah mesti risau. Tapi jangan sekali-kali terlepas pandang 3 tanda-tanda ini, tindakan awal anda membawa mereka ke hospital mampu menyelamatkan nyawa.
Anak kecil terdedah kepada pelbagai jangkitan. Sememtelah antibodi yang masih belum kuat. Dr Sakinah Sulong, Pakar Perubatan Keluarga berkongsi mengenai pengalaman dan tip beliau setelah berhadapan dengan kes-kes kematian kanak-kanak yang disebabkan oleh kelambatan menerima rawatan. Sekiranya rawatan diberikan dari awal, kemungkinan besar nyawa si kecil dapat diselamatkan.
Berikut ialah perkongsian beliau;
Sebagai Pakar Perubatan Keluarga, salah satu tugas saya ialah menghadiri Mesyuarat Kematian Kanak-kanak bawah 5 tahun.
Selalu kami akan meneliti apa kronologi yang membawa kepada kematian anak-anak ini dan memutuskan sama ada kematian itu sepatutnya boleh dicegah mahupun tidak.
IBU BAPA PERLU TAHU SIMPTOM BAHAYA PADA ANAK SAKIT
Ada beberapa kes yang saya dapati, di mana anak-anak ini dibawa lambat ke klinik/hospital. Bukan untuk menyalahkan ibubapa tapi tak ramai ibubapa yang tahu apa tanda-tanda bahaya yang perlu diperhatikan bila anak-anak sakit.
Majoriti anak-anak bawah umur 5 tahun akan mengalami jangkitan kuman, secara puratanya 6 kali setahun. Selalunya dalam bentuk batuk, selsema.
Ini kerana sistem imun anak-anak masih dalam perkembangan dan anak-anak juga banyak terdedah dengan individu yang menjadi pembawa kuman, contohnya di taska atau sekolah harian.
KEBANYAKAN JANGKITAN BOLEH SEMBUH SENDIRI TANPA ANTIBIOTIK
Kebanyakan jangkitan ini disebabkan oleh virus dan mampu sembuh sendiri tanpa perlukan antibiotik. Disebabkan itu saya akan nasihatkan untuk beri panadol mengikut jam dalam dos yang diperlukan bagi kes-kes ringan sebegini. Biasanya demam virus biasa mengambil masa selama 4-5 hari untuk kebah dan tidak sepatutnya berlarutan melebihi seminggu.
HARI INI MUNGKIN STABIL ESOK MUNGKIN BOLEH JADI SEBALIKNYA
Tapi keadaan anak-anak ini mampu berubah.
Hari ni mungkin masa dia dibawa jumpa Dr, keadaan dia masih stabil, tapi keadaan ini boleh bertukar. Dan jangan pula sangka Dr yang bagus akn beri banyak jenis ubat. Yang penting, Dr bertanggungjawab memeriksa dan menilai samada keadaan anak ini masih stabil atau perlu rujukan/kemasukan ke hospital.
Itu lebih penting.
3 TANDA PADA ANAK YANG IBU AYAH PERLU SEGERA BAWA KE HOSPITAL
Apa tanda-tanda bahaya yang memerlukan anak ini dibawa berjumpa doktor secepat mungkin?
#1. GERAKAN SEPERTI SAWAN
Ada gerakan seperti sawan iaitu tangan/kaki tersentak, mata pandang atas, mulut berbuih.
#2. TIDAK AKTIF & KURANG RESPONS
Anak tidak aktif, tidak mahu bermain dan tidak respond pada penjaga.
#3. TIDAK MAKAN & MINUM. BILA PERIKSA TIADA KENCING & LAMPIN KERING
Anak tidak boleh minum atau makan apa-apa pun, hingga pampers pun kering tak basah dengan kencing. Anak-anak normal biasanya perlu tukar pampers 2-3 kali sehari, sekurang-kurangnya.
TERUSKAN PANTAU ANAK WALAU PUN SUDAH DIRAWAT/ DIBERIKAN UBAT
Jangan fikir sebab anak sudah dibawa berjumpa Dr minggu lepas, anda merasakan anak sudah OK dengan ubat yang diberi.
JANGAN AMBIL MUDAH & BERLENGAH
Bila ada tanda bahaya jangan ambil mudah dan berlengah. Dan jangan bawa kepada bomoh dengan anggapan kena sampuk, tu saya rasa macam mak bapak yang saya nak hempuk!
Sumber: Sakinah Sulong
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI