Masalah bayi batuk berkahak membuatkan ibu ayah susah hati dan bimbang. Apatah lagi kalau terkena pada bayi yang baru 20 hari lahir. Agaknya macam mana cara nak hilangkan kahak yang membuatkan si kecil batuk-batuk? Kasihan melihat dia tercungap-cungap batuk.

Bagi ibu bapa yang mempunyai bayi sedang menghadapi masalah batuk berkahak, baca penjelasan daripada Dr. Wan Khairina Wan Mohd Nowalid, Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pantai Ampang.

Bayi sering menghasilkan bunyi pernafasan yang berbagai-bagai. Sebahagian bunyi tersebut tidak diiringi tanda-tanda amaran, manakala sebahagian lagi mungkin memerlukan nasihat perubatan. Saluran pernafasan bermula dari hidung hingga ke bronkiol terminal di mana udara akan tiba ke unit-unit alveoli tempat pertukaran oksigen dan karbon dioksida.

Saluran pernafasan dilapisi oleh sel epithilia yang merembeskan mucus (lendir) serta jejari halus (silia) yang beralun untuk memerangkap habuk/bendasing yang melalui saluran pernafasan.

Selain itu terdapat juga reseptor yang berhubung dengan saraf yang menghasilkan reflex batuk apabila terdapat stimulasi yang mengganggu saluran pernafasan.

Kombinasi beberapa struktur di atas membentuk mekanisma penghalang daripada gangguan kepada fungsi pernafasan yang normal. Sebagai contoh, mukus memerangkap habuk dan silia membantu menggerakkan mukus serta reflex batuk bertujuan menolak mukus dan habuk keluar dari saluran pernafasan.

Bayi boleh menghasilkan pelbagai bunyi yang berbeza bergantung kepada punca dan bahagian yang mengalami gangguan kepada arus udara.

Berikut adalah proses bagaimana kahak terhasil:

Kalau Bayi Batuk Berkahak, Doktor Pesan Periksa 5 Faktor Ini!

1. Bunyi kahak mungkin terhasil disebabkan kehadiran mukus di bahagian saluran pernafasan atas seperti di dalam hidung, di belakang hidung ,tekak, atau larynx iaitu bahagian sebelum memasuki trakea.

2. Bunyi kahak mungkin juga terhasil di saluran pernafasan bawah iaitu dari trakea ke terminal bronkiol sehingga alveoli.

3. Mukus yang berlebihan mungkin terhasil disebabkan berbagai faktor luaran seperti jangkitan kuman, habuk, bahan kimia, suhu/cuaca persekitaran. Faktor dalaman seperti regurgitasi susu/jus asid dari perut juga boleh mempengaruhi penghasilan mukus.

4. Mukus yang pekat atau kering terutamanya di bahagian hidung bayi mungkin menghalang pernafasan kerana bayi tidak boleh bernafas melalui mulut. Doktor mungkin akan menasihatkan penggunaan saline drop atau spray dan sekiranya perlu boleh disedut menggunakan penyedut hidung (nasal aspirator).

5. Bunyi berkahak dan disertai dengan batuk yang kerap serta nafas yang tercungap-cungap menandakan bayi anda mungkin mengalami kesukaran untuk bernafas. Bayi perlu dibawa berjumpa doktor untuk mengenalpasti masalah serta rawatan.

Perlu diingatkan bahawa bunyi pernafasan bukan sahaja disebabkan kahak; oleh sebab struktur pernafasan adalah kompleks, bunyi boleh disebabkan oleh halangan arus udara yang boleh terjadi di sepanjang laluan saluran pernafasan.

Oleh itu sekiranya anda tidak pasti, terutamanya bayi menghadapi masalah pernafasan, penyususan, gangguan tidur atau kurang berat badan, anda dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI