Kemahiran komunikasi bayi penting kerana apa yang bayi belajar dari lahir hingga satu tahun akan menentukan kejayaan dari segi perkembangan membaca, menulis dan kemahiran sosial mereka. Ibu bapa boleh mula untuk menggalakkan bayi berkomunikasi sejak saat mereka dilahirkan di dunia.
Jangan menganggap bayi yang masih belum boleh bercakap tidak boleh berkomunikasi dengan anda.
Bagaimana cara bayi saya berkomunikasi?
Bayi berkomunikasi melalui tangisan, jeritan, membuat bunyi ‘coos’, ekspresi wajah, dan bahasa tubuh mereka sebelum mereka mengeluarkan perkataan pertama. Sejak lahir, bayi sudah mula mempunyai dua set kemahiran komunikasi iaitu kemahiran reseptif dan kemahiran ekspresif.
Kemahiran reseptif adalah keupayaan untuk menerima dan memahami mesej dari orang lain. Bayi menunjukkan kemahiran ini dengan memalingkan kepala mereka ke arah suara anda dan memberi respon kepada arahan mudah.
Kemahiran ekspresif adalah keupayaan untuk menyampaikan mesej kepada orang lain melalui bunyi, ucapan, tanda, atau tulisan. Menangis, membebel ‘babbles’, dan menggunakan bahasa badan adalah contoh kemahiran ekspresif awal bayi anda.
Bagaimanakah saya boleh menggalakkan perkembangan komunikasi bayi saya?
Anda boleh menggalakkan perkembangan komunikasi bayi anda dengan tersenyum, bercakap, bermain dan membaca dengan mereka. Aktiviti tersebut akan membantu mereka mengembangkan kemahiran komunikasi yang diperlukan untuk membina atau menjalinkan hubungan yang bermakna dan berjaya di sekolah.
Apa yang perlu saya pilih? Bercakap dalam satu bahasa atau ajar anak saya banyak bahasa?
Kajian menunjukkan bahawa lebih daripada 50% orang di dunia bercakap dalam dua bahasa atau lebih. Sebagai Terapis Pertuturan-Bahasa, saya tidak mempunyai masalah jika anda mahu mengajar anak anda lebih dari satu bahasa.
Perkara yang paling penting untuk saya ialah konsistensi dan cara bagaimana anda mengajar anak anda. Saya amat bersetuju bahawa setiap kanak-kanak mempunyai tahap penguasaan bahasa dan gaya pembelajaran yang berbeza. Ibu bapa juga adalah orang yang paling mengenali dan memahami anak-anak walaupun mereka selalu ragu-ragu dengan kemampuan mereka sendiri.
Apabila saya menyentuh mengenai konsistensi, saya merujuk kepada penggunaan kosa kata atau ‘vocab’ tertentu. Contohnya, jika anak-anak anda tidak tahu apa itu “cawan”, anda akan mengajar mereka dengan memperkenalkan item tersebut, menerangkan fungsi dan penggunaannya semasa bermain dan melalui aktiviti harian. Sesetengah ibu bapa, mereka akan mempunyai harapan yang tinggi bahawa anak akan memahami perkataan apabila mereka hanya memperkenalkan item yang ingin diajar sekali sahaja. Sekiranya anda mempunyai niat untuk mengajar anak-anak anda lebih dari satu bahasa, anda perlu memastikan bahawa anak anda dapat memadankan kata dengan objek atau tindakan terlebih dahulu dalam bahasa pertama yang anda kenalkan kepada anak anda. Saya mengambil contoh yang sama “cawan” – Jika hari ini anda mengajar kepada anak anda “Ini cawan”. Esok dengan item yang sama anda namakan item tersebut sebagai “gelas” dan “cup” untuk hari berikutnya. Anak anda akan menjadi keliru. Kanak-kanak belajar melalui pengulangan. Bahkan orang dewasa dan semua manusia di seluruh dunia juga sama. Selain itu, gaya pembelajaran anak juga menentukan bila dan bagaimana cara anda mengajar mereka. Anda hanya memerlukan sedikit masa untuk memerhatikan anak-anak anda. Kekuatan dan minat mereka. Jika anda tahu bahawa anak anda hanya mempunyai fokus atau tumpuan antara 10 hingga 15 minit – anda perlu menggunakan masa yang singkat itu sebaiknya! Pastikan anda memberi rangsangan bahasa apabila mereka boleh memberikan tumpuan. Tidak ada gunanya jika anda memberikan rangsangan apabila mereka tidak selesa dan meragam pada masa itu.
Petua untuk Menggalakkan Perkembangan Bahasa dan Pertuturan;
-Gunakan suara yang bernada tinggi dan seperti menyanyi – Suara sebegitu membantu mendapatkan fokus dan tumpuan bayi anda semasa anda bercakap.
-Bermain dengan bunyi – Buat pelbagai jenis bunyi seperti bunyi haiwan, kenderaan atau mengajuk bunyi dan apa yang dilakukan oleh anak anda.
-Gunakan ekspresi wajah dan gerak isyarat atau bahasa tubuh – Untuk menyampaikan maksud perkataan.
-Terangkan apa yang anda sedang lakukan – Anda boleh terangkan setiap perkara yang anda sedang lakukan atau lakukan bersama anak cth. semasa anda memakaikan baju, menyuapkan makanan, dan memandikan anak anda. Penggunaan perkataan dan frasa yang sama dengan memadankan aktiviti rutin harian adalah cara terbaik untuk mengembangkan lagi kemahiran bahasa dan pertuturan anak anda.
-Menggalakkan komunikasi dua hala – Apabila anak anda berkomunikasi dengan anda menggunakan bunyi, perkataan, atau gerak isyarat, pastikan anda memberi respon dan mengambil gilir dalam perbualan.
-Membaca dengan anak anda. Cara membaca yang mudah ialah dengan hanya menerangkan gambar tanpa mengikuti kata-kata bertulis. Pilih buku dengan gambar-gambar yang besar, berwarna-warni, dan menggalakkan anak anda menunjuk dan menamakan objek yang biasa.
-Kembangkan perbendaharaan kata anak anda dengan membina ayat menggunakan perkataan yang sudah mereka ketahui. Sebagai contoh jika anak anda mengatakan “anjing” anda boleh berkata “Ya, itulah anjing besar!”
-‘Reword’ frasa anak anda. Jika anak anda membuat kesalahan dalam ucapan atau pertuturan mereka, balas dengan frasa dalam bentuk yang betul. Perkara ini membantu mereka mempelajari sebutan dan tatabahasa yang betul. Sebagai contoh, jika anak anda mengatakan “Besar anjing” anda boleh bertindak balas dengan “Ya, anjing itu besar.”
Baby pun memilih tengok individu cantik? Perasan tak, adakalanya ada baby suka melihat individu tertentu? Tetapi dalam situasi lain pulak, baby anda mungkin akan menunjukkan reaksi tidak suka kepada sesetengah individu. Haaa..nak tahu tak sebab apa?
Secara semula jadi
Pernah tak apabila anda berdepan dengan bayi dan dia kelihatan seperti suka melihat anda? Itu tandanya pada pandangan mereka anda adalah cantik / kacak. Mesti rasa bangga, bukan? Kembanglah hidung sekejap.
Ini bukan rekaan tetapi ia adalah satu kajian yang dilakukan di United Kingdom. Dijalankan pada tahun 2004, kajian ini adalah berkisarkan mengenai aspek tingkah laku atau psikologi seseorang bayi.
Dalam kajian ini mendapati bayi tidak perlu diajar atau belajar mengenai cara dan kaedah mengenal wajah, tetapi mereka secara semula jadi sudah dilahirkan dengan kemahiran ini. Menarik, bukan?
Individu cantik
Dalam penyelidikan melibatkan bayi-bayi yang berusia seawal sehari, mereka diperlihatkan atau ditayangkan gambar-gambar muka dan hasilnya mendapati bayi-bayi tersebut lebih banyak menghabiskan masa untuk melihatkan wajah dengan ciri wajah menarik.
Menurut salah seorang penyelidik daripada University of Exeter, Alan Slater, “Daya tarikan bukan terletak pada kaca mata mereka yang melihat. Ia adalah satu perkara yang semula jadi wujud dalam bayi yang baru lahir.”
Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Slater yang melibatkan bayi seawal usia sehari ini, membuktikan bahawa bayi tidak lahir ke dunia dengan sekadar ‘lembaran kosong’. Tetapi mereka memasuki dunia dengan sistem perkembangan persepsi yang cukup seimbang.
Simetri sempurna
Slater menjelaskan bayi suka melihat individu yang mempunyai raut wajah menarik mungkin kerana beranggapan bahawa individu cantik dan kacak ini mempunyai simetri wajah yang sempurna sebagai seorang manusia.
“Seorang bayi dilahirkan dengan persepsi wajah individu manusia yang sempurna. Disebabkan itu, mereka seperti sudah biasa melihat wajah individu cantik dan kacak. Situasi ini sekali gus membantu mereka untuk lebih mengenali wajah-wajah individu lain. Malahan, secara tidak langsung, individu dengan raut wajah menarik ini dapat membantu mereka mengenali dunia sosial,” jelas Slater.
Lebih kepercayaan
Satu kajian lain yang diterbitkan dalam British Journal of Developmental Psychology menunjukkan bayi serta kanak-kanak lebih mudah mempercayai kata-kata yang dilafazkan oleh individu dengan raut wajah yang menarik. Ini khususnya melibatkan wanita cantik. Beruntunglah wanita yang mempunyai raut wajah cantik!
Kajian ini menyatakan sama ada bayi lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai tahap minat dan kepercayaan yang sama. Ini bermakna mereka lebih mempercayai wanita cantik atau lelaki yang kacak berbanding individu dengan raut wajah kurang menarik.
Pengiktirafan ikhlas
Jadi apa yang boleh disimpulkan daripada artikel ini? Mudah je. Kalau kata selepas ini bayi anda atau mana-mana bayi merenung anda, percayalah itu merupakan satu pengiktirafan paling ikhlas yang menyatakan bahawa anda adalah individu cantik dan kacak. Senyum dan berbanggalah!
Perbuatan menghisap jari di kalangan bayi sering dirisaukan ibu ayah. Adakah ia memudaratkan pertumbuhan gigi? Malah ramai yang mengatakan susunan gigi anak jadi tak cantik, adakah ia benar?
Bila anak menghisap jari, timbul kebimbangan kepada ibu ayah. Antara isu yang sering diperkatakan ialah bimbang tentang susunan dan pertumbuhan gigi anak yang mungkin terganggu. Dr Iqbal Rosali, Pegawai Pergigian Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia memberikan penjelasan tentang perbuatan menghisap jari di kalangan bayi. Berikut ialah perkongsian beliau;
Saya ditanya seorang ayah tentang anaknya yang berumur 5 bulan, suka menghisap jari. Adakah tabiat itu boleh memberikan kesan kepada susunan giginya bila dah besar nanti?
Jawapan saya, “Tiada masalah, yang penting pantau.” Lalu ayah bertanya lagi, “Pantau macam mana?”
Pertama sekali, jika ayah membaca posting ini, saya ucapkan tahniah kerana anak anda telah mencapai ‘milestone’ dalam perkembangan tumbesarannya.
Baik, saya akan adun jawapan saya sebagai seorang ayah dan seorang doktor gigi.
#1 Menghisap jari pada usia begini adalah normal. Anak sudah tahu dengan cara itu boleh menenangkannya dan membuatnya tertidur semula apabila terjaga. Point di sini, tiada apa yang nak dirisaukan.
#2 Tengok-tengok cara anak menghisap. Pernah anak saya menjolok jari-jarinya sehingga nak termuntah dan pernah juga termuntah.
#3 Pastikan jari dan tangan anak bersih. Anak saya selalu menghisap jari semasa ditukar pampers dan selepas mandi. Pastikan tangan dia yang aktif tu tak terkena najis atau nak sapu minyak di perut.
#4 Pastikan juga kuku tidak panjang. Selalunya isteri saya yang potongkan. Anak saya juga pernah mencakar muka dan matanya bila kuku panjang.
#5 Perlu ke tarik keluar jarinya bila dia sudah tidur? Tak perlu. Biarkan. Tapi kadang-kadang saya tarik juga.
#6 Ada juga ibu bapa yang belikan teether. Benda ni macam permainan yang ada bahagian plastik untuk anak gigit dan hisap. Saya beli dan guna. Kalau dia tak hisap, anak saya gunakan tu sebagai alat permainannya.
#7 Tak ada duit beli teether tak ada masalah. Ya teether ni memang mahal. Boleh saja gunakan kain yang bersih. Kebanyakan bayi yang saya lihat suka tarik bucu tudung mak dia dan hisap.
#8 Apabila anak dah pandai capai barang, ha ini lagi penting. Lagilah banyak kena pantau. Hati-hati dengan apa yang dicapai dan dimasukkan ke dalam mulut. Bersih ke tidak, boleh tertelan ke tidak. Biarkan dia hisap tapi ingat, yang penting PANTAU.
#9 Puting macam mana doktor? Saya tak galakkan dan kalau boleh haramkan. Ini pantang. walaupun pada label ada untuk umur sekian-sekian.
Pengalaman saya sendiri, anak saya gunakan puting. Tapi masa tu dia dimasukkan ke wad NICU (umur kurang sebulan) dan pada waktu malam dia menangis dengan kuat. Saya dan isteri tak dibenarkan menunggu. Jadi kami belikan puting supaya dia tenang.
Bila dah keluar wad kami perlahankan penggunaannya. Sampai sekarang dah tak guna lagi puting.
#10 Masa kecil ni memang normal. Yang tak normalnya bila dah besar pun nak hisap lagi. Jadi bila nak berhenti?
Biasanya dalam lingkungan umur 2-4 tahun, anak dah boleh tidak menghisap lagi.Tapi boleh jadi semula bila anak dihantar ke pusat asuhan dan taska. Disebabkan suasana yang berbeza dan tidak biasa dengan persekitaran baru.
#11 Keep in mind, tak semua tabiat menghisap jari akan memberi kesan kepada susunan gigi. Setakat masukkan ke dalam mulut dan tak hisap (pasif) tidak menjadi masalah besar jika nak dibandingkan dengan menghisap dengan sangat kuat.
Setiap bayi ragamnya lain-lain. Ada yang tak kisah bila diberi susu melalui botol dan ada juga yang sangat memilih dan tidak mahu menyusu jika bukan secara‘direct’.
Nak atau tak, ibu tiada pilihan kerana bayi akan ditinggalkan kepada pengasuh atau penjaga bila dah mula kerja.
Biasanya selepas sebulan berpantang, ibu yang bekerja akan mula memperkenalkan botol susu kepada bayi untuk mengelakkan bayi keliru puting.
Susu ibu akan dimasukkan ke dalam botol secara berperingkat. Namun yang merisaukan ada bayi yang langsung tak mahu hisap melalui botol.
Jangan panik! Anda boleh cuba beberapa teknik yang diajar oleh Kaunselor Laktasi, Nad Masrom yang turut dipraktikkan pada anaknya.
Ramai yang tanya macam mana saya ajar Fatimah minum EBM guna botol susu.
Pengalaman kali ni sedikit berbeza dengan Khadijah dulu. Untuk Fatimah, saya tak sempat nak train dulu sebelum tinggalkan dia. So tak ada istilah ‘try & error’ kali ni mencari puting yang sesuai dan sebagainya.
Hanya berbekalkan ilmu yang ada dan pengalaman penyusuan sebelum ni, alhamdulillah pengalaman pertama Fatimah minum EBM dengan menggunakan botol dipermudahkan.
Kali ni saya tak nak ambil risiko dengan cuba beri Fatimah puting wide neck. Masa Khadijah dulu, puas bertukar beberapa brand puting wide neck sebab dalam sangkaan saya, mestilah puting wide neck terbaik kerana menyerupai bentuk payudara ibu.
Tapi sudahnya, 3-4 jenis puting wide neck bertukar dan akhirnya Khadijah serasi dengan puting Pigeon sahaja.
Rupanya, bukanlah masalah puting wide neck tu yang jadi punca utama, tapi sebab cara Khadijah nak ‘latch’ dengan puting tu yang tak serasi seperti dia latch dengan puting breast.
Bila pakai wide neck, Khadijah cuma dapat hujung puting sahaja dan susah untuk dia suck dengan betul. Mujurlah puting Pigeon jenis peristaltic, mudah untuk Khadijah ‘latch’. Syukurnya saya cuma try & error jenis puting berbeza, bukan botol yang pelbagai brand.
Untuk Fatimah pula, saya terus gunakan puting standard neck. Dan alhamdulillah, untuk pertama kali Fatimah minum melalui botol susu, Fatimah dapat melekap dengan sangat baik seperti lekapan pada puting sebenar (rujuk gambar).
Dan tentu-tentulah yang mengajar Fatimah menggunakan botol bukan saya tapi suami saya. Sebab kebiasaannya bayi akan mudah menolak bila si ibu yang berikan EBM melalui botol kerana boleh mengenal bau ‘susu’ dari ibunya sendiri.
Dan suami juga berikan susu kepada Fatimah sikit demi sedikit menggunakan teknik pace feeding.
Fatimah minum sedikit tetapi kerap. Untuk setiap feeding, Fatimah hanya minum 1.5 oz sehingga 2 oz maksimum untuk sejam sekali.
Itulah yang terbaik dalam pemberian EBM kepada bayi kerana jika bayi memerlukan lebih banyak susu untuk keperluan kalorinya, bayi akan minum kerap dan bukan sekali banyak.
Sepanjang 5 jam saya tinggalkan Fatimah untuk kali pertama, Fatimah hanya minum 4 x 2oz. Fatimah masih kerap menyusu seperti kebiasaan dengan saya hampir 1 jam sekali.
Dan dengan kuantiti per feeding yang tidak begitu banyak, saya hanya mengepam 2x sahaja untuk bekalkan jumlah 8oz itu.
Paling penting, penggunaan puting disarankan selepas bayi berusia 4 minggu kerana peratusan bayi untuk alami masalah keliru puting adalah tinggi jika diperkenalkan terlalu awal.
Kelahiran Chrystan menjadi momen penuh emosi bagi Chryseis Tan dalam kehamilan terakhirnya. Kisah C-section ketiga ini sarat syukur, ketakutan dan kasih sayang seorang ibu.