Kalau Belum Sampai Waktunya Jangan Pandai-pandai Bagi Bayi Makan! Boleh Sebabkan Maut Kalau Usus Anak Belum Bersedia

Share

Terlalu ramai yang teruja untuk memberi bayi makan. Memang seronok bila tengok si kecil makan tapi perlu dipertimbangkan kesediaan bayi sehingga usianya 6 bulan kerana ketika itu baru si kecil memerlukan kalori tambahan dalam pemakanan mereka.

Seperti perkongsian yang dibuat oleh seorang wanita menerusi laman Facebook Info Ibu Hamil. Sakit bersalin secara pembedahan masih lagi terasa, tambah pula dengan keadaan anak yang memerlukan bayi wanita ini di tahan di wad. Demi susukan anak ibu ini gagahkan jua berulang alik ke hospital meskipun sakit masih lagi terasa.

Niat dihati ingin berpantang di rumah ibu sendiri kerana keadaan rumah mentua yang agak bingit dengan kehadiran anak-anak buah yang lain sehingga terganggu tidur dan rehat si kecil serta ibu. Lebih menyedihkan apabila tanpa pengetahuannya, ibu mentua menyuapkan makanan pada bayi yang baru berusia 25 hari. Akibat daripada itu bayinya yang masih kecil telah disahkan meninggal dunia.

Berpantang di rumah mentua

" ASSALAMUALAIKUM.

Sekadar perkongsian peristiwa yang terjadi pada diri sendiri.

Tanggal 20 April, saya selamat melahirkan anak secara ceaser sebab baby dah tertelan najis. 20 hari duduk di wad dan on antibiotik. Saya berpantang di rumah mentua. Pada awalnya semua berjalan lancar walau sakit tetap gagah ulang alik ke hospital untuk susukan anak.

Husband janji lepas anak keluar ward nak hantar saya berpantang rumah mak saya sebab saya tak selesa di rumah mentua dengan keadaan yang amat bising. Akhirnya anak Alhamdulilah dapat keluar. Saya ingat husband terus hantar balik kampung rupanya tak, terus balik rumah mak dia. Saya pujuk hati takpe, nanti dia hantar (rumah mak saya).

Seminggu anak balik macam-macam saya hadapi. Keadaan rumah bising dengan anak-anak saudara dia yang terlalu buas sampai baby saya selalu menangis sebab tidur terganggu. Kadang-kadang sengaja buat bising nak suruh baby saya bangun.

Ibu & ayah mentua sibuk suruh bagi bayi makan

Time ni emosi saya mula terganggu dengan berjaga malam, anak asyik menangis dan part paling serabut ibu mentua dan ayah mentua dah mula bising suruh bagi anak makan. Katanya anak menangis sebab lapar. Baby berusia 25 hari, besar mana perut?

Mula-mula saya tak endah, tapi tiap kali baby nangis paksa husband dan paksa saya suruh bagi anak makan. Husband tak layan begitu juga dengan saya. Mulalah membebel cakap saya ni tak nak dengar cakap. Orang dulu-dulu ok je bagi anak sekecil itu makan.

Saya mula hampir-hampir meroyan, suami dah kena pergi kerja. Satu hari entah macam mana saya terlelap ibarat gunung berapi pun tak sedar (sebab berhari-hari tak tidur). Bila saya sedar, tengok baby tak ada rupanya, ada dengan ibu mentua. Dia siap cakap,

"Ni anak kau dari tadi melalak. Sekarang dah kenyang. Itulah, mak suruh bagi makan tak nak, tengok mak bagi molek je diam.."

Perasaan saya pada waktu tu, luruh jantung. Saya ambik baby dan dakap sambil nangis.

Dua Hari selepas diberi makan, anak menangis dan muka bertukar biru

Dua hari selepas tu, baby asyik menangis dan demam. Malam tu dia menangis tanpa henti. Muka dah kebiruan, cepat-cepat hantar ke hospital. Sampai sana (hospital), anak dah nyawa-nyawa ikan. Mengucap panjang doktor bila tahu bayi seusia 25 hari diberi makan dan akhirnya anak saya pergi untuk selamanya sejam kemudian.

Doktor cakap usus dan perut anak hampir pecah disuap seakan nasi. Dan untuk pengetahuan semua, ini bukan kisah rekaan, ini yang baru terjadi dalam hidup saya. Hampir 4 bulan telah berlalu tapi terlalu sukar untuk saya maafkan ibu mentua. Kejam kah saya??"

Peringatan untuk semua, jangan sewenang-wenangnya nak beri makan pada bayi yang masih kecil dan belum bersedia untuk makan. Bayi yang menangis hanya perlu diberikan susu dan bukannya makanan seperti kanak-kanak yang lebih besar. Jangan kerana tindakan yang tak sepatutnya ada nyawa yang tergadai.

sumber: Info Ibu Hamil

Published by
Shahrina Azlin Binti Abdullah