Normal jika ibu hamil berasa teruja untuk membuat ujian imbasan. Yalah, mahu juga tahu macam mana keadaan anak di ‘dalam’ tu kan? Apabila anda berkunjung ke klinik kesihatan mahupun hospital, ada masanya doktor tidak akan melakukan ujian ini terhadap anda. Jangan pula kata doktor itu pemalas.
Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan menerangkan tentang keperluan melakukan ujian imbasan ini. Tidak perlulah selalu, ada masa-masa penting yang perlu dititikberatkan. Ikuti apa penjelasan dari Dr Izzat berkaitan hal ini.
“ Eh, kenapa tak scan pun hari ini? Jumpa doktor A minggu lepas dia buat scan. Jumpa doktor B minggu ni tak scan pun.
Memang sah, doktor B PEMALAS, makan GAJI BUTA! “
Macam ni pun ada? Meh saya nak terangkan sikit mengapa dan bila perlu scan baby 👶🏻
Scan dicadangkan ketika 3 peringkat kehamilan iaitu :
✏️Trimester pertama ( 11-14 minggu )
– untuk confirmkan tarikh dijangka bersalin, dan menentukan minggu kehamilan – melihat tumbesaran bayi pada trimester pertama – nak mengenalpasti sama ada kehamilan kembar atau tiga atau lebih
Ads
Masa scan ni, boleh nampak dah kepala bayi, tulang belakang, tangan, kaki, denyutan jantung. Bila nampak bahagian-bahagian penting ini, kita boleh menghela nafas lega kerana bayi yang dikandungnya sekarang boleh dikatakan normal. Kadang-kadang scan biasa ( melalui perut ibu) tidak berapa jelas, perlu melakukan scan dari bawah ( transvaginal) untuk mendapatkan imej yang jelas kerana ianya berhampiran dengan rahim.
Masa buat scan ini, untuk ibu yang berisiko, akan dicadangkan untuk ukur ketebalan cairan terdapat pada belakang leher bayi – Nuchal translucency (NT). Dengan kombinasi NT mahupun ujian darah mampu meramalkan risiko bayi menghidap sindrom Down.
Kalau kembar pula, jenis uri perlu dikenalpasti samada kembar berkongsi uri yang sama atau uri yang berbeza. Follow up berbeza untuk jenis-jenis kembar yang berlainan.
✏️Detail scan ( 18-22 minggu)
Scan ini seolah-olah macam melakukan pemeriksaan menyeluruh pada bayi dalam kandungan. Kepala, muka, jantung, perut, peparu, pundi kencing, buah pinggang, tangan, kaki, jari kaki, jari tangan, mulut, tali pusat, kedudukan uri, jantina, kuantiti air mentuban diperiksa dengan teliti. Scan jenis ini mengambil masa yang agak lama sedikit dan memerlukan ‘tukang scan’ fokus pada skrin. Maka janganlah dianggap mereka sombong sebab tak melayan pertanyaan anda ketika scan. Mereka perlu fokus dan tidak boleh ada gangguan.
Walaupun fokus, kadang-kadang ada sesetengah struktur yang tak jelas dan anda diminta datang semula pada hari lain untuk ulangan scan.
Ads
Perlu diingatkan, majoriti bayi adalah bayi yang normal. Kecacatan hanya berlaku dalam 1 dalam 100 kehamilan. Walaupun scan yang dilakukan dengan teliti sekalipun, ada beberapa ketidaknormalan yang mungkin tidak nampak pada scan, dan mungkin nampak bila kandungan dah membesar sedikit.
✏️Scan tumbesaran ( selepas 32 minggu )
Tumbesaran bayi boleh dipantau melalui scan yang dilakukan secara berkala. Diameter kepala, ukur lilit kepala, ukur lilit abdomen, panjang tulang kaki ( femur) akan diukur. Berat bayi dan air mentuban juga turut diukur. Kesemua bacaan ini akan diplotkan ke atas graf tumbesaran bayi untuk melihat bayi membesar atau tak.
Scan hari-hari tidak memberikan sebarang kelebihan dan tidak mengubah apa-apa dari segi rancangan perawatan pesakit.
Semoga dengan penerangan Dr Izzat dapat memberi input kepada ibu hamil tentang jenis-jenis ujian imbasan yang paling penting untuk dibuat ketika anda mengandung. Banyak sebab mengapa kita teruja untuk buat scan, tetapi kalau sampai membazir pun tak elok juga. Pa&Ma mendoakan agar ibu hamil di luar sana semuanya dipermudahkan urusan bersalin anda nanti.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga pasti mengimpikan zuriat sebagai penyeri dalam hidup. Ada yang menunggu bertahun-tahun lamanya dan melakukan pelbagai usaha hanya demi mendapatkan seorang anak. Namun tak semua yang bernasib baik untuk memiliki cahaya mata.
Begitu juga bagi seorang juruterbang syarikat penerbangan nasional yang masih menantikan kehadiran si kecil dalam hidupnya. Dia bertuah kerana pesawat yang dibawanya dinaiki oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
Umum ketahui kecekalan dan ketabahan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam usaha baginda mendapat zuriat selama 17 tahun dan akhirnya kisah baginda menjadi sumber inspirasi buat rakyat di negara ini.
Menerusi video yang dikongsi di Twitter, kelihatan Tunku Azizah berkenan memberikan tip, kata-kata nasihat dan membaca petikan surah Maryam dan mendoakan pasangan tersebut agar dikurniakan zuriat.
“i doa for you and you get baby, many many many many babies and doa. Try try try sembahyang doa, and then sembahyang hajat and baca surah maryam. Bacalah” – Tuanku Azizah
“Kakak & abang ipar saya mendapat tips dan doa istimewa daripada Permaisuri Agong. Baginda sangat merendah diri. Daulat Tuanku!” tulis adik ipar kepada juruterbang berkenaan.
Sebelum ini, baginda pernah berkongsi suka duka perjalanan untuk menjadi ibu kepada 5 cahaya mata iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah , Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Baginda turut berkongsi pahit manis yang dilalui sepanjang usaha dan ikhtiar mendapatkan zuriat menerusi temuramah khas. Dalam temuramah ini, sesekali baginda sebak dan menangis mengimbau kembali perjuangan mendapatkan cahaya mata.
“Setelah membuat rawatan akan berdebar-debar sama ada rawatan yang dilakukan berjaya atau tidak. Alih-alih menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu.
“Saya ingat masa lahirkan anak kembar, Almarhum ayahanda cakap dekat saya. Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi,” kata baginda yang mendirikan rumah tangga dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 6 Mac 1986.
YAYASAN FERTILITI TUNKU AZIZAH
Pengalaman mengalami kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata, permaisuri berjiwa rakyat ini telah menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu pasangan kurang berkemampuan mendapatkan cahaya mata.
“Saya ada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah kerana saya tahu susahnya nak dapat anak. Dan anak saya seramai 4 orang pun daripada rawatan IVF. Saya buat tu apabila saya nak lancarkan buku masakan. Saya ditanya ke manakah saya nak salurkan hasil jualan meja-meja.
“Masa tu lah tercetusnya idea. Saya kata saya nak buat yayasan untuk menolong mereka berpendapatan rendah yang tak mampu untuk membayar kos rawatan infertiliti yang mahal iaitu RM20 ribu hingga RM30 ribu. Jadi apa yang Allah kurniakan kepada saya, saya nak beri balik untuk menolong,” kata baginda.
“SAYA TAHU BAGAIMANA RASANYA…”
Baginda Permaisuri Agung yang amat disayangi rakyat ini juga turut menceritakan bagaimana rasanya berada dalam situasi berusaha untuk hamil selama bertahun-tahun. Baginda melalui pelbagai rawatan dan terpaksa berdepan dengan kegagalan dan keguguran. Ketika menjawab soalan daripada media, air mata baginda mengalir dan rasa sebak tidak dapat dibendung lagi.
“Saya tahu apa rasanya seorang perempuan berkahwin tidak boleh dapat anak & semua orang tanya. Apatah lagi saya yang berkahwin dengan Tengku Mahkota, yang patut lahirkan waris ganti.
“It was a pressure on me. Jadi saya faham bagaimana Empress Masako sekarang ni. Apa yang dia lalui saya tahu. Kerana saya dan dia sama masa tu.
“Dan saya ingat saya ada tulis surat kepada dia menceritakan saya buat rawatan. Saya tahu bagaimana perasaannya seorang perempuan yang tidak dapat melahirkan anak dan asyik ditanya.
“The pressure……, I know.”
“Saya tahu kerana saya juga mengalami keguguran. Saya tahu bagaimana sedih patahnya hati menangis bila kita dah mengandung gugur. Dah lah nak dapat anak tak dapat lagi.
17 KALI RAWATAN BARU SAYA DAPAT YANG MULIA TENGKU HASSANAL
Baginda turut menceritakan cabaran yang dihadapi sepanjang usahanya. Setiap rawatan tidak semuanya berakhir dengan kehamilan.
“Dan setiap kali saya membuat rawatan, tidak semestinya setiap rawatan itu jadi (berjaya). 17 kali saya buat rawatan baru saya dapat Hassanal (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah).
“Tapi dalam 17 kali nak dapatkan Hassanal. Beberapa kali tu dalam buat rawatan doktor kata “I am sorry, I think I have to abandon. Its not working”
DUA MINGGU BERDEBAR. AKHIRNYA DAPAT KEPUTUSAN TIDAK MENGANDUNG
Baginda Permaisuri Agung juga turut berkongsi kepahitan yang terpaksa didepani. Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi amat prihatin dengan apa yang dilalui puterinya.
“Macam mana ye, menangis balik. Dah buat rawatan, dua minggu tu kita tahu mengandung atau tidak. Dalam dua minggu tu punyalah hati berdebar-debar. Alih-alih dapat result tak mengandung.
“Menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu. (Sebak)
“Saya ingat masa lahirkan anak kembar, Almarhum cakap dekat saya. Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi.
“Setiap kali saya membuat treatment dia tahu apa yang saya lalui. Saya ke Singapura dan balik kena baring selama 6 bulan.
“Azizah Tuhan dah kurniakan Azizah 4 anak, cukuplah dia kata. Abah tak sanggup tengok Azizah derita.
Tapi rezeki sudah tertulis. DYMM Baginda Permaisuri Agung akhirnya hamil sendiri tanpa rawatan pada tahun berikutnya. Apa yang dikatakan Alharhum ayahanda baginda, itulah berkat sabar.
PASANGAN BERUSAHA DAPATKAN ZURIAT JANGAN PUTUS ASA
Baginda Permaisuri Agung membantu pasangan yang berusaha memiliki anak melalui Yayasan Tunku Azizah. Baginda tidak lupa memberikan motivasi dan tip seperti berdoa, mendirikan solat hajat serta membaca surah Maryam.
“Jadi saya selalu bila dengar orang susah, saya mesti kata. Pergilah, jangan give up on hope. Tapi itu semua kuasa Allah. Kuasa Allah. Kita boleh cuba macam mana pun tapi saya selalu beritahu kepada mereka yang saya berikan bantuan rawatan Allah ada, buat solat hajat. Baca surah Maryam.
“Ada ayat-ayat dalam Al-Quran yang boleh menolong kita dapat zuriat. Sebanyak mana yang saya boleh buat sini, tapi yang menentukan hanya Allah SWT.
MULANYA DOKTOR KATA TAK BOLEH HAMIL LAGI
Selepas kelahiran anakanda sulung, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Baginda Permaisuri Agung tidak menyangka bakal menyambut 4 lagi cahaya mata.
“Berkat, Alhamdulillah saya bersyukur saya pun tak sangka lepas dapat satu anak, saya boleh dapat 4 lagi. Itu tidak terlintas dalam fikiran saya.
“Masa saya dapat Hassanal (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah).
Saya kata Alhamdulillah. Tapi saya kata takkan satu sahaja anak. Jadi saya pergi ke doktor lain.
“Doktor ini bertanya adakah Tengku nak cuba lagi? Saya kata Ya. Doktor kata saya rasa Tengku dah tak boleh dapat anak.
“Saya umur 36 tahun dan saya diberitahu mungkin tidak ada harapan untuk dapat anak. Sedangkan saya baru dapat seorang anak.
“Saya terus balik ke Singapura (baginda menangis dan menyapu air mata). Kemudian saya buat treatment, dapat Tengku Muhammad tu. Kandungan kembar tapi saya gugur satu bayi,” kata baginda.
SELEPAS RAWATAN PERLU BEREHAT DI ATAS KATIL SELAMA ENAM BULAN
Baginda Permaisuri Agung sangat cekal menghadapi ujian ini. Tidak berputus asa untuk meneruskan rawatan walau pun terpaksa melalui masa yang panjang dan perlu berehat selama enam bulan selepas hamil.
“Lepas tu Tuanku tanya, nak try lagi ke lepas ni. Tuanku tanya, sebab dia tahu kerana saya asyik ulang alik ke singapura. Masa tu di Malaysia tak ada.
“Saya berulang alik ke Singapura sehingga sebulan di sana untuk tentukan. Lepas tu balik kena baring lagi. Tak boleh keluar, sembahyang atas katil.
“Saya kata dah lah, dah cukup 2. Tapi ada yang frozen embryo yang dah jadi tu dalam freezer. Ada lagi 5. Saya kira kalau saya membuang itu kira menggugurkan, saya berdosa saya kata. Taruk je lah. Kalau jadi, jadi. Alhamdulilah. Kalau tak jadi, Allah dah kurniakan kita 2 orang anak lelaki yang comel.
SETAHUN SELEPAS KELAHIRAN KEMBAR, HAMIL LAGI SECARA SEMULA JADI
Selepas kelahiran anakanda kembar, Baginda Permaisuri Agung menceritakan kehamilan secara semula jadi berlaku. Berita menggembirakan itu diketahui pada hari ulang tahun pertama anakanda kembarnya iaitu Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatu’llah.
“Selepas pemindahan embrio, tak sangka dapat kembar. Selepas melahirkan yang kembar, doktor tanya saya. Dah 3 kali caesarean, Tengku nak ikat ke tidak kerana dah 3 kali bedah.
“Saya kata ,Allah, awak ni doktor, saya ni nak mengandung kena pergi jumpa doktor untuk buat treatment. Doktor itu mengusik, tahun depan kalau mengandung lagi jangan cari. Jangan marah ye.
“Betul-betul lepas ulang tahun kelahiran pertama anak kembarnya, saya mengandung. Saya call doktor, saya kata. I think I am pregnant.
“I told you,” kata doktor.
“Alhamdulillah saya dapat anakanda yang kecil sekali (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah) pada usia 42 tahun. Alhamdulillah ini semua kurniaan yang tak disangka-sangka.
Kencing kotor dikenali sebagai jangkitan kuman dalam saluran kencing. Jangkitan ini biasanya didapati oleh golongan wanita kerana golongan ini mempunyai saluran pembuangan air kecil yang sangat pendek dan sangat mudah dijangkiti kuman.
Kenapa ibu hamil senang dijangkiti kuman dan kencing kotor? Ikuti penerangan dari pegawai perubatan, wanita dan kehamilan, Dr. Muhammad Izzat;
“Apesal doktor ni, tak abes-abes menyusahkan jer! datang follow up je nak air kencing, datang follow up je pegi suruh kencing dalam botol ni. kalau tak kencing tak boleh ke?? Ini nak masuk toilet pun beratur panjang” – Rungut seorang ibu muda
“alahhhh… awak ikut je lah ape doktor tu nak”
“abang faham tak? Saya ni bukannya ada kencing kotor. kalau tak sakit tak payah la sibuk-sibuk nak check”
“kencing saya pun jernih jer macam air paip, tak tahu la kenapa doktor tu sibuk sangat nak tengok air kencing! “ – Bentak ibu muda itu lagi.
‘Menyusahkan’ – itulah kata-kata kekecewaan yang diluahkan oleh ibu muda tersebut. Ternyata perkataan itu amatlah menyakitkan dan pahit untuk ditelan, namun yang demikian penggunaan nya sangat tidak tepat dalam konteks ini.
Betul ke pemeriksaan air kencing secara berkala ini sebenarnya memang menyusahkan ibu? Adakah kencing kotor ini bermakna air kencing berkeladak dan mempunyai sampah sarap, seperti dakwaan ibu muda tersebut?
Jom ikuti penerangan saya mengenai kencing kotor ketika hamil:
Kenapa wanita hamil lebih senang kena kencing kotor?
-ketika hamil, banyak perubahan fisiologi yang berlaku dalam badan ibu, lebih-lebih lagi pada sistem perkumuhan air kencing yang menyebabkan si ibu senang untuk mendapat jangkitan pada salur kencing.
-Isipadu pundi kencing bertambah dan otot-otot pada pundi kencing menjadi kurang tegang. 90% ibu mengalami perkembangan pada salur ureter disebabkan tindakan hormon progesteron yang tinggi ketika hamil dan juga tekanan daripada rahim yang membesar menyebabkan pengaliran air kencing menjadi perlahan sekaligus memudahkan bakteria terkumpul dan bermulalah jangkitan pada salur kencing
– 70 % ibu mengandung pula mempunyai gula dan protein dalam air kencing, memudahkan bakteria berkembang dan memulakan jangkitan pada salur kencing
– bila melakukan hubungan kelamin ketika hamil, salur kencing urethra terkadang tercedera menyebabkan bakteria dari vagina memasuki salur kencing
-Vagina boleh menjadi tempat takungan bakteria dari salur pencernaan kerana kedudukannya yang rapat dengan rektum dan usus besar, Maka bakteria dari rektum atau usus besar ini boleh memasuki salur kencing melalui urethra yang telah tercedera.
-Umur ibu yang meningkat, meningkatkan kemungkinan untuk mendapat kencing kotor juga
-ketidaknormalan pada sistem perkumuhan air kencing, atau ibu mempunyai penyakit kencing manis – lagi senang untuk dapat kencing kotor ini
Apa akan berlaku jika kencing kotor tidak dirawat?
– saiz bayi kecil ( Low birth weight ) berat bayi kurang 2.5kg – Bayi lahir tak cukup bulan/pramatang ( kurang 37 minggu ) – ibu boleh mengalami masalah darah tinggi ketika hamil/ pre-eclampsia -Anemia ( kekurangan sel darah merah yang membawa oksigen untuk ibu ) -Jangkitan pada air mentuban bayi ( chorioamniotis )
Yang prihatin terhadap ibu-ibu hamil,
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan wanita & kehamilan
Air ketuban adalah cecair jernih kekuningan yang mula dihasilkan pada hari ke-12 kehamilan. Apakah fungsi air ketuban dan apakah yang menyebabkan kurang dan terlebih air ketuban di dalam kandungan serta impaknya kepada bayi? Dr Siti Aishah Daud, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, Subang Jaya Medical Centre menjelaskan mengenai keadaan ini.
Kebanyakan air ketuban terhasil daripada air kencing bayi dalam kandungan. Ini terutamanya pada minggu ke-12 hingga ke-14 setelah buah pinggang janin menjalankan fungsinya. Pada trimester ke-3 kehamilan pula, kebanyakan air ketuban dihasilkan oleh selaput ketuban, kulit, buah pinggang dan saluran pernafasan janin.
Air ketuban amat penting untuk bayi dalam kandungan.
Ia bertindak melindungi bayi daripada tekanan luar dengan menyerap rintangan dan hentakan.
Berfungsi dalam mengawal suhu badan bayi dan memberi haba.
Sebagai bentuk kawalan jangkitan. Air ketuban mengandungi antibodi yang boleh lindungi bayi.
Berfungsi dalam perkembangan pernafasan kerana bayi dalam kandungan bernafas menerusi air ketuban.
Mematangkan sistem pencernaan bayi di mana bayi berlatih menggunakan otot ketika di dalam kandungan ibu.
Menggalakkan perkembangan otot dan tulang kerana air ketuban menyediakan ruang antara kantung dan bayi menyebabkan bayi bebas bergerak.
Sokongan kepada tali pusat. Air ketuban mengelakkan tali pusat ditekan.
Air ketuban mengandungi zat, hormon dan nutrien. Apabila bayi membesar, dia akan mula bernafas dan menelan air ketuban tersebut.
Faktor menyebabkan air ketuban menjadi banyak
Keadaan ini terjadi kepada kira-kira 1% kehamilan di mana catatannya melebihi 24cm. Ia lazimnya disebabkan oleh beberapa sebab yang melibatkan keadaan ibu dan bayi.
Kecacatan pada janin.
Masalah genetik pada janin menyebabkan kesukaran untuk menelan. Ini menyebabkan air ketuban menjadi banyak.
Ibu menghidap kencing manis yang tidak terkawal.
Kehamilan kembar.
Fetal anemia iaitu keadaan di mana bayi kekurangan darah.
Lain-lain punca iaitu seperti jangkitan kuman. Antaranya ialah virus Rubella, Parvovirus dan Cyto Megalo Virus.
Ibu mengalami toxoplasmosis atau sifilis yang menyebabkan air ketuban banyak.
Kesan kepada bayi dan ibu apabila air ketuban banyak
Keadaan yang tidak normal ini boleh menyebabkan kesan negatif kepada bayi dan ibu. Menurut Dr Siti Aishah, air ketuban yang banyak boleh menyebabkan dalam situasi yang berbahaya kepada ibu dan bayi.
Kesukaran bernafas bagi ibu sebabkan oleh pembesaran rahim.
Bersalin lebih awal (pramatang).
Selaput ketuban bocor yang boleh menyebabkan cetusan kelahiran pramatang dan mendedahkan bayi kepada jangkitan kuman.
Uri lekang di mana air ketuban bocor secara tiba-tiba.
Bayi meninggal di dalam kandungan.
Pendarahan selepas bersalin atau postpartum hemorrhage (PPH) di mana rahim sukar untuk mengecut kepada semula dan pendarahan teruk.
Posisi kedudukan bayi yang tidak stabil seperti melintang, songsang.
Tali pusat jatuh atau cord prolapse semasa proses kelahiran. Ia amat berbahaya kerana boleh menyebabkan bayi menerima kurang aliran oksigen.
Ini juga menyebabkan kepala bayi tidak memasuki ruang pelvis.
Bayi besar kerana kencing manis yang tidak terkawal.
Kelahiran menerusi pembedahan
Jumlah isipadu air ketuban diimbangi oleh penghasilan dan pembuangannya. Hal ini berlaku melalui proses di mana bayi menelan dan membuang air ketuban sepanjang tempoh pembesarannya di dalam rahim. Isi padu paling banyak ialah sewaktu minggu ke-34 kehamilan yang berjumlah sekitar 800ml. Namun, jumlah akan berkurangan sehingga 600ml pada minggu ke-40.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.