Kadang-kala lepas marah anak akan timbul persoalan, patutkah ibu ayah pujuk si kecil yang merajuk? Bergelar ibu ayah, walaupun berusaha sedaya-upaya untuk tidak memarahi anak tapi kadang-kala terlepas juga kemarahan terhadap mereka.
Marah itu memang perlu kalau tujuannya untuk mendidik dan membetulkan kesalahan yang anak lakukan. Namun, kemarahan itu tidak sepatutnya mencederakan emosi dan jiwa si kecil.
Dengan kata lain mereka dimarahi tetapi tidak diberikan penjelasan tentang kesalahan yang dilakukan dan selepas kena marah, anak tidak diberikan pelukan atau pujukan. Akibatnya anak mungkin berkecil hati dan merasakan yang ibu ayah tidak menyayanginya lagi.
Menurut Pakar Kekeluargaan, Keibubapaan Dan Kasih Sayang, Dr Rozieta Shaary atau dikenali sebagai Ibu Rose pujuk anak lepas kena marah jangan sampai jadi punca anak kurang hormat dan melawan kata.
Jangan salah cara memujuk
”Saya memang ada merotan anak-anak saya bila mereka tak dengar kata, contohnya masa malas solat dan masa susah nak bangun pagi ke sekolah. Tapi saya pujuk mereka semula, contohnya saya peluk cium masa hantar ke pagar sekolah.”
Memujuk, bila salah caranya menjadikan anda lemah dan nampak tiada pendirian dan ini menyebabkan anak jadi lenja.
Oleh kerana anda memujuk setelah memarahi, maka mereka akan memahami bahawa anda tidak serius dengan kemarahan anda dan disiplin yang sedang anda terapkan. Lama-kelamaan anda akan kurang dihormati. Beginilah ibu bapa kehilangan kuasa daripada anak-anak mereka dalam mendisiplinkan anak.
Meminta maaf kepada anak anda bila anda marah berlebihan dan tidak kena cara, tidak mengapa. Malah itu adalah baik dilakukan. Ia akan mengubat hati anak anda. Namun, minta maaf di atas keterlaluan cara sahaja dan bukan mesejnya dan mengapa anda naik marah boleh menjadikan anak kurang hormat.
Lagi satu, bila memarahi, marahlah perbuatan dan bukan mengherdik peribadinya. Contoh memarahi perbuatan ” Bila abang malas solat, itu perbuatan orang yang tidak bersyukur kepada Tuhan.” Jangan kata begini ” Abang ni anak yang tidak bersyukur!” Ada perbezaan di situ. Yang pertama menyatakan mengenai perbuatan dan yang kedua mengenai orangnya. Bila kita menyerang peribadi orangnya, maka itulah yang menyebabkan dendam dan marah.
Bagaimana anda boleh melakukan untuk mendisplinkan anak.
1- Adakan peraturan di rumah yang jelas. Maksudnya, mesti bersolat pukul berapa dan jika boleh adakan solat berjemaah. Begitu juga bila bangun pagi. Kita perlu juga faham, jika seorang anak itu tidak cukup waktu tidurnya, dia akan sukar untuk bangun pagi, maka pastikan masa anak tidur mencukupi.
2- Jika mereka sudah mencapai 10 tahun, barulah merotan jika tidak bersolat beri mereka penjelasan yang luas yang mebolehkan mereka faham mengapa solat itu penting. Namun sebelum meminta anak bersolat atau melakukan ibadah khusus, tanamkanlah perasaan kasih kepada Allah. Gunalah penjelasan yang setaraf dengan kematangan anak. Gunalah nasyid, cerita atau bersembang dengan mereka.
Anda boleh berkreatif di sini terhadap cara anda menyampaikannya. Yang penting hasilnya, anak itu kasih kepada Allah dan dia mahu melakukan solat atau semua ibadah khusus itu kerana dia kasih kepada Allah. Dan dia takut akan azab Allah juga kerana dia kasih akan Allah. Ini bukanlah suatu yang kita boleh semaikan dan wujud serta merta. Ianya mengambil masa. Oleh itu terus melakukan dan bersabar.
3- Bila memarahi anak, hanya minta maaf jika anda terlebih marah. Jika anda marah dan menghukum secara baik dan tidak berlebihan, mungkin anak itu akan marah dan menangis, namun bila layanan anda kepadanya masih penuh kasih sayang dan hormat, dia akan memahami anda hanya memarahi perbuatan yang boleh merosakannya.
4- Bila hendak bertegas dan bila hendak memanjakan anak? Jawapannya, sentiasa! Corak keibubapaan yang paling baik ialah Pengasih dan tegas ‘Loving and Firm’. Bila manjakan anak pun perlu bertegas dengan apa yang boleh dibuat dan yang tidak yang telah dipersetujui.
Garang hanya jika mereka sudah melampaui batas dan perlu dibetulkan setelah cara berlembut tidak berkesan. Perlu dirotan bagi yang sudah berusia 10 tahun itu jika dia masih meninggalkan solat. Namun, laksanakanlah (administer) hukuman itu dengan cara berhemah. Elakkan berleter.
Dalam mendidik anak untuk bersolat, melakukan ibadah khusus dan berakhlak mulia, tidak akan mudah mencapai hasil jika kita tidak melakukannya dan mewujudkan suasana untuk anak itu mudah bersolat. Contoh, jika kita tidak mewujudkan solat berjemaah di rumah, maka payah juga anak untuk menjadikan ini satu tabiat mereka. Kerana anak-anak kecil ini, mula-mulanya mereka ikut-ikut saja. Lama-kelamaan ia akan membentuk tabiat dan kemudiannya membentuk keperibadian.
Didiklah anak dengan penuh kasih-sayang dan tegas. Ingatlah bahawa andalah ketua dan bukan mereka. Maka tidak semua permintaan mereka perlu dipenuhi dan tidak juga pandangan mereka dipandang remeh.
Sumber : Ibu Rose