Dek kerana kesibukan bekerja, ada sesetengah ibu bapa yang terlepas jadual suntikan imunisasi anak. Mungkin sudah tidak teringat, tetapi apabila diteliti semula buku pemeriksaan anak, barulah tersedar yang ada suntikan vaksin untuk anak yang masih belum diambil.
Ada sesetengah ibu bapa yang buntu dan tidak tahu apa yang perlu dibuat seterusnya. Adakah membiarkan suntikan tersebut tidak diambil atau adakah perlu segera mendapatkannya di klinik berhampiran?
Seharusnya anak-anak yang sudah terlepas suntikan imunisasi dan vaksin seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk segera ke klinik bagi mendapatkan tarikh baharu bagi mengambil suntikan yang tertinggal itu. Artikel ini telah disemak oleh Dr Mohamad Shahbodin Sarik, Pakar Paedatrik dari Hospital Pantai Sg Petani mengenai isu ini.
Kesan Terhadap Kesihatan
Seperti mana yang diketahui, pengambilan vaksin sangat penting kerana kegagalan mendapatkannya membolehkan anaka-anak dijangkiti pelbagai penyakit berbahaya seperti polio, beguk, pertussis, demam campak dan batuk kokol. Untuk kanak-kanak yang tidak mendapatkan vaksin berhadapan dengan risiko sepanjang hayat walaupun mereka tidak dijangkiti penyakit.
Artikel Menarik: [Hidung Berdarah, Jangan Biar Anak Dongak Kepala. Doktor Ini Kongsi Tip Yang Betul]
Apabila mahu mendapatkan rawatan perubatan, ibu bapa harus memaklumkan kepada doktor bahawa kanak-kanak tersebut tidak pernah mendapatkan vaksin. Ada sedikit kesukaran untuk merawat pesakit begini kerana kebanyakan staf perubatan tidak dilatih untuk mengendalikan kes kanak-kanak yang tidak divaksin.
Bayi Terbantut Jika Ibu Hamil Tak Vaksin
Untuk wanita hamil yang tidak mendapatkan suntikan vaksin pula, boleh menyebabkan komplikasi kehamilan. Seandainya si ibu dijangkiti rubella semasa trimester awal kehamilan, bayi dalam kandungannya juga berkemungkinan untuk dilahirkan dengan congenital rubella syndrome (CRS) atau bayi yang mengalami masalah jantung. Selain itu, yang menyedihkan bayi yang dilahirkan berkemungkinan mengalami tumbesaran terbantut atau pekak.
Beri Kesan Kepada Orang Lain
Janganlah pentingkan diri sendiri. Pengambilan vaksin bukan hanya untuk kebaikan anak anda, tetapi juga orang di persekitaran mereka. Sesetengah golongan mungkin tidak dibenarkan untuk mengambil vaksin (seperti penghidap kanser dan leukimia), tetapi mereka memerlukan orang di sekeliling mendapat vaksin supaya mereka ini tidak terdedah dengan risiko sebarang serangan penyakit.
Apa Nak Buat Jika Terlepas Vaksin?
Tidak perlu khuatir, pergi sahaja ke mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta berdekatan. Bawa bersama rekod vaksinasi sebelumnya untuk rujukan doktor atau juru rawat. Tiada sebarang prosedur spesifik untuk mendapatkan suntikan vaksin yang tertinggal, hanya perlu bawa rekod sebelum ini.
Artikel Menarik: [Guna Posisi ‘Paksa Rela’ Ini Untuk Mudahkan Ibu Ayah Berus Gigi Anak]
Tujuannya untuk melihat kesesuaian jenis suntikan vaksin yang mahu diberikan kepada anak anda. Hal umur dan suntikan sebelum ini perlu diperiksa selain jika adanya alahan atau penyakit yang dihidapi anak tersebut.
4 Tip Mudah Dapatkan Vaksin Tertinggal
1. Klinik kesihatan biasanya mempunyai hari-hari tertentu untuk jadual pemberian vaksin. Ambil tahu tentang klinik tersebut serta jadual mereka.
2. Sebagai alternatif, anda boleh ke klinik swasta atau hospital yang mempunyai khidmat vaksin.
3. Simpan rekod kesihatan anak dengan kemas dan pastikan ada jadual imunisasi serta rekod alahan anak.
4. Paling penting, patuhi tarikh temu janji yang telah ditetapkan oleh klinik kesihatan bagi memudahkan simpanan rekod anak serta memastikan mereka tidak tercicir pengambilan vaksin.
Jangan khuatir jika terlepas tarikh vaksinasi walaupu sudah lama. Anak anda masih boleh mendapatkannya. Seharusnya pengambilan imunisasi tidak perlu dirisaukan kerana ia tiada kesan sampingan yang teruk. Biasanya hanya akan sedikit bengkak di tempat bekas suntikan dan demam sedikit.
Demam tersebut jika berlanjutan boleh dirawat dengan pengambilan ubat melawan demam. Jika masih ada sebarang kemusykilan, bolehlah dapatkan nasihat dari doktor di klinik berhampiran.
#kempensihatpama
Sumber: Medical Mythbusters Malaysia (Facebook) & Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI