Kalau Isteri Mengadu Letih, Mungkin Dia Alami Sleep Debt. Suami Jangan Ambil Mudah

Share

Tugas isteri sebagai isteri dan juga ibu memang tak pernah habis. Tak kiralah bagi yang bekerja mahupun suri rumah, setiap masa sentiasa menyiapkan tugasan rumah. Baru nak rehat, anak menangis nak perhatian ibu. Begitulah kehidupan seharian isteri dan ibu. Rehatnya hanyalah pada waktu tidur dan ada kalanya waktu tidurnya tak cukup kerana perlu memenuhi tugasan harian.

Jika isteri mula mengadu penat, letih dan perlukan rehat cuba periksa jadual tugasan harian isteri. Tangki emosi isteri juga perlu diisi dengan ketenangan dan beri peluang pada isteri untuk berehat. Jika tidak, isteri. akan mengalami sleep debt. Ikuti perkongsian Dr Redzal Zainol.


Lepas solat Subuh, isteri saya datang mengadu.

“Penatnya hari ni.”

Dalam hati saya, eh kan baru bangun pagi. Takkan dah penat. Sepanjang hari itu, 3-4 kali dia mengadu dia penat.

Malam tu, saya senaraikan rutin harian isteri dari pagi sampai ke malam. Bila saya kira-kira, baru saya tersedar.

Rupa-rupanya, setiap hari isteri saya cuma tidur 5 jam saja sehari.

Ya Allah, lalainya saya selama ni. Patutlah dia asyik mengadu penat.

Jumlah jam kita tidur ni umpama meletak duit di dalam akaun bank. Setiap kali kita tak dapat tidur yang cukup, “duit” tu akan ditarik keluar dari akaun kita.

Kalau hari-hari tak cukup tidur, lama-lama akan jadi kosong akaun bank kita tu. Pada waktu ni, barulah kita akan nampak kesan dari kekurangan tidur yang kronik.

Inilah keadaan yang dipanggil sebagai Sleep Debt.

Isteri yang begini akan selalu ada paras hormon kortisol yang tinggi dalam darah. Hormon kortisol ni ialah hormon stress.

Lagi tinggi paras hormon kortisol, isteri mudah jadi pemarah, murung hingga ada yang rasa nak bunuh diri.

Isteri begini juga berisiko untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat tertidur semasa memandu.

Dari segi perubatan, boleh juga menaikkan risiko mengidap Diabetis, lemah daya imun badan dan darah tinggi.

Jangan buat main-main dengan Sleep Debt ni kawan-kawan.

Mengikut National Sleep Foundation, orang dewasa perlukan 7.1 jam setiap malam untuk rasa cergas dan bertenaga keesokan harinya.

Tapi 70% dari kita, tak capai pun jumlah jam tu. Hakikatnya, ramai dari kita ni bekerja dari pagi ke petang.

Ada isteri bangun seawal pukul 4.30 pagi. Terus ke dapur untuk masak, pinggan dibasuh, sambil tu sempat lagi dia basuh dan ampai baju.

Habis kerja petang, berlari ke pasaraya. Nak masuk pasaraya pun kena beratur. PKP, norma baru.

Sampai saja ke rumah, suami isteri sama-sama bersilat uruskan anak mandi dan makan. Tau-tau dah Isyak tapi rutin harian belum siap juga.

Isteri-isteri yang tak cukup tidur setiap hari ni sebenarnya sedang mengumpul “Sleep debt” tanpa sedar. Ada di antara mereka ni fikir mereka boleh ganti semula dengan tidur yang lebih lama pada hujung minggu.

Ikut 1 kajian pada tahun 2016, Sleep Debt ni tak dapat diselesaikan dengan 1 hari tidur yang lama. Kajian ni mengatakan kita perlu sehingga 4 hari untuk pulih sepenuhnya jika kekurangan tidur sebanyak 1 jam sehari.

Dasyat kesan Sleep Debt ni.

Suami kena hati-hati. Kita fikir kita dah buat macam-macam kerja di rumah , jadi dapatlah kurangkan beban kerja isteri.

Tapi kita terlupa yang kita suami isteri kena ada tidur yang cukup.

Hujung minggu, ada suami yang nampak isteri macam malas sebab tidur saja. Tak ramai faham, itu bukan malas tetapi kemungkinan besar si isteri itu sedang ada “Sleep Debt” yang sangat banyak.

Percayalah, bila isteri diberi peluang tidur yang cukup, dialah yang paling ceria dan mudah menurut kata antara semua.

Sumber:Redza Zainol

Published by
Nik Nurul Fatin Nik Mahmud