Sebagai ibu bapa tentu kita nak anak hormat kita. Jadi jangan pandang ringan layanan pada anak sejak mereka kecil lagi.
Sedar atau tidak, kadang-kala kita sebagai ibu bapa sendiri yang mendidik anak dalam aura negatif.
Asal anak buat salah sahaja, cepat kita marah dan tengking tanpa mengambil kira faktor usia anak tersebut.
Menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa, kita mahu anak-anak hormatkan kita tapi diri sendiri terpekik terlolong marahkan si anak yang teruja nak berkongsi lukisan yang dibuat di sekolah kerana kita penat baru balik dari kerja.
Betullah seperti hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau, hari ini memang ramai ibu bapa yang bagi layanan terbalik kepada anak-anak. Hasilnya anak membesar sebagai individu penuh dendam dan tidak menghormati orang tua.
Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik
“Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!” tengking seorang ibu kepada anaknya.
Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun.
“Kamu buat apa di sini? Balik!” herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama kawan sekelasnya.
Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang jadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.
Entahlah, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang ‘bising’ apabila marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, lantas mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu, dan tidka mahu ia diterima sebagai kebiasaan yang normal? Sebaliknya yang normal itu ialah pada menerima, bahawa menengking dan mengherdik merupakan cara kita mendidik anak-anak.
Saya bukan mahu bercakap tentang wajar atau tidak herdik dan tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.
LAYAN CARA KECIL ATAU DEWASA
Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.
Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima enam tahun itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa. Dia tidak peka dan tidak peduli dengan keletihan ibu bapanya.
Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia untuk mereka.
Ads
Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, “kamu tidak tahukah aku penat?”
Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu? Sampaikah akal kanak-kanak di usia itu untuk memahami susah payah ibu bapanya bekerja? Dia masih anak kecil. Kita melayannya seperti dia sudah dewasa.
Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.
YOP KENA MARAH
“Kenapa Yop masam muka ni?” saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.
Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Bila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.
Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Tahan sabar.
Jika seorang paediatrik berdepan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan akan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.
Semasa Yop berusia sekitar dua tiga tahun, beliau mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biar pun saya tahu beliau tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membatu.
“Tadi cikgu marah Yop” anak saya mula mahu bercakap.
“Kenapa cikgu marah?” saya cuba lagi untuk memahaminya.
Ads
“Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng” katanya. Bibir memuncung.
“Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?” saya terus bertanya.
Anak saya mengangguk.
“Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga” katanya.
Saya tergamam.
Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng oleh si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun faham konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dikenakan tindakan, bukannya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.
Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.
Naurah juga masih terlalu kecil untuk faham menconteng buku abang itu salah. Pada fikirannya, ia suatu keseronokan, dan seronok itu baik.
NASIB ABANG DAN KAKAK
Selalu juga berlaku di dalam sebuah keluarga, anak sulung sama ada Abang Long atau Kak Long, sentiasa disuruh mengalah kepada adik.
“Bagilah benda tu kat adik kamu. Kamu dah besar. Dia budak lagi” marah ibu atau bapa kepada anak.
Ads
Anak sulung sering disuruh mengalah.
Tetapi jangan kita lupa, ketika anak sulung dimarah, dia sedang berada pada usia intensif pembentukan identiti dan emosi. Identitinya perlu dibangunkan, dan emosinya perlu dibentuk. Sedangkan si adik kecil yang mahu dimenangkan itu belum faham apa-apa. Maka kesilapan kita ketika marah, impaknya pergi kepada anak yang telah faham maksud kecil hati dan dendam itu.
Marah boleh marah, tetapi janganlah sampai tiada didikan dalam kemarahan itu.
Akhirnya anak sulung menjadi taat mengikut arahan. Bukan kerana jadi baik, tetapi kerana rendah keyakinan diri.
Sikap melampau ibu bapa memenangkan anak kedua, menjadi anak sulung membesar dengan inferiority complex, manakala si adik pula terus membesar dengan superiority complex. Rosak kerana dimanjakan hingga tidak belajar mengikut arahan. Si sulung terlebih menerima arahan, yang adik terlebih mendapat kelebihan.
Perbahasan lanjut mengenai peringkat pembelajaran oleh Erik Erikson ini boleh dibaca di https://www.psychologynoteshq.com/erikerikson/
Erik Erikson di dalam teori perkembangan psikososial beliau, mengusulkan bahawa kanak-kanak semenjak lahir hingga dewasa, menempuh pelbagai peringkat pembelajaran yang unik. Di setiap peringkat umur, tindak tanduk anak-anak merupakan bentuk-bentuk pembelajaran yang memerlukan sokongan kita agar itu terbentuk dengan betul. Misalnya ada usia 18 bulan ke 3 tahun, si anak mula menerokai autonomi. Mereka mula mengambil tanggungjawab ke atas dirinya. Pakai baju sendiri, ke tandas sendiri, menyuap makanan sendiri, dan kita perlu menyokongnya. Bukan melakukan bagi pihak mereka, atau memarahi mereka apabila salah dalam melakukannya.
Demikianlah juga pada peringkat-peringkat yang lain.
Apatah lagi anak yang sudah meningkat remaja. Sudah faham erti maruah diri, membina identiti, memisahkan identiti diri daripada identiti ibu bapa, tiba-tiba marah kita memalukan dia di depan kawan-kawan, memusnahkan perkara induk yang si anak sedang bina. Ia langsung tidak mendidik malah hanya mencetuskan dendam. Janganlah buat anak remaja kita macam budak-budak. Jangan juga anak kita yang masih budak, dilayan seolah-olah dia sudah besar remaja.
“Bukanlah kuat dan tegas itu pada kuat pertarungan. Tetapi kuat dan tegas yang sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya ketika marah”
Itu pesan Nabi, sallallahu alayhi wa sallam.
Hasrizal Abdul Jamil
Sumber: abah.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Muhammad Rayyan!!!!! Mama cakap jangan buat macam tu” Dengan nada menjerit dan penuh kemarahan. Situasi ini biasa terjadi jika ibu bapa ingin melepaskan kemarahan pada anak-anak.
Menjerit adalah amalan biasa kebanyakan kita apabila kita marah kerana mengharapkan kepatuhan dan keajaiban daripada anak-anak.
Adakah ia berkesan?
Tidak.
Kenapa tidak?
Menurut Joseph Shrand, seorang Pakar Psikiatri, apabila kita menjerit kepada anak, kita bukannya mengaktifkan bahagian telinga anak yang mendengar dan hati yang patuh, sebaliknya jeritan mengaktifkan respon ketika takut dan cemas iaitu respon “Flight-Fight-Freeze”.
FLIGHT maksudnya anak melarikan diri ataupun ‘disconnect’ dan menjauhkan diri daripada kita.
FIGHT maksudnya anak melawan ataupun keras hati dan keras kepala.
FREEZE maksudnya anak terkedu, kaku, cemas, tertekan dan tidak dapat bertindak atau berfikir.
Jeritan mengaktifkan bahagian emosi otak, bukannya bahagian yang menggalakkan anak berfikir mencari penyelesaian. “Tetapi bila menjerit barulah anak ambik serius.” Itu kerana anak takut.
Kita mahu anak hormatkan kita, bukannya takutkan kita. Hormat datang dengan hormat (mutual respect), bukannya dengan membuatkan anak merasa tidak bernilai dan tidak dihargai. Yang kita mahukan adalah perubahan yang berpanjangan pada anak, bukannya perubahan sementara kerana anak takut ataupun kerana anak rimas dengan suara jeritan kita.
Oleh itu menjerit adalah tindakan yang sia-sia dan tidak akan mengubah apa-apa. Kita cuma akan melahirkan anak cucu yang menjerit seperti kita ataupun anak cucu yang tertekan kerana tidak tahan dengan jeritan kita.
Berkomunikasilah seperti manusia.
Sumber:
Noor Afidah Abu Bakar Parent Connect Consultancy
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sesi persekolahan yang bakal bermula pada awal Mac ini pastinya membuatkan mak ayah berkobar-kobar. Terlalu lama berada di rumah membuatkan mak ayah berasa risau. Namun pembukaan sekolah ini bukan bermakna anak perlu belajar dan memecut laju, bimbang ketinggalan dalam pelbagai silibus.
Elakkan memaksa anak, lebih-lebih lagi bagi anak yang baru melangkah ke alam persekolahan seperti lima tahun, begitu juga dengan pra sekolah. Berikan masa untuk mereka bermain sambil belajar. Perkongsian seorang guru, Asmadi Abdul Samad ini mak ayah perlu fahami.
Minggu depan sesi persekolahan akan di buka khusus untuk murid prasekolah, tahun 1 dan tahun 2. Minggu – minggu awal persekolahan ini ibubapa jangan terkejut ya kalau aktiviti di sekolah untuk anak-anak ini begitu santai, ringan dan banyak bermain.
Ini sebenarnya satu proses yang mungkin dibuat oleh pihak sekolah bagi menampung kelompongan yang berlaku dalam sesi orientasi dan transisi yang berlangsung atas talian sebelum ni khususnya untuk murid tahun 1 yang baru memasuki alam persekolahan.
“Ai cikgu, setahun lebih dah budak ni belajar santai-santai ngadap komputer di rumah, takkan nak santai lagi? Dok rumah pun main macam tak ingat dunia dah. Bukan silibus banyak nak kejar ke? “ Hmm.. Macam tu lah.
Sebut pasal bermain ni, disekolah kita bukan bermain tanpa hala tuju. Tidak. Kita maklum tentang peranan penting bermain itu dalam aspek perkembangan kanak-kanak dan ia menyumbang kepada aspek jasmani, sosial dan emosi mereka.
Jangan main-main dengan masa bermain kanak-kanak ni tau. United Nation masukkan masa bermain kanak-kanak ni sebagai hak asasi kanak-kanak dan ianya dilindungi di bawah ratifikasi perjanjian mereka. Ilmuan islam seperti Abdullah Nasih Ulwan juga ada menulis perihal pentingnya masa bermain kanak-kanak dalam sela masa mereka belajar.
Sebenarnya melalui bermain, kanak-kanak diberi peluang mencipta dunia yang mereka boleh kuasai sendiri dan jauh dari dunia orang dewasa. Dalam dunia ini mereka belajar mengurus ketakutan mereka serta membina kemahiran baharu yang berkaitan dengan rasa yakin diri dan daya tahan mereka.
Selain itu semasa bermain inilah mereka belajar berkomunikasi dengan diri sendiri dan juga dengan orang lain dalam kelompok sosial mereka. Kalau kita perhati betul-betul bermain juga sebenarnya mempersiapkan kanak-kanak untuk menghadapi alam persekolahan. Sebab tu pendekatan ‘fun learning turut diserap masuk dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Sebenarnya kan kawan, Ikut kajian yang dibuat oleh Unesco masa bermain kanak-kanak sebenarnya semakin berkurangan. Ada beberapa faktor yang disenaraikan tapi saya nak petik satu faktor sahaja yang saya rasa begitu dekat dengan hidup kita di Malaysia.
Ianya disebut sebagai ‘PERFECTIONISM’. Satu fahaman dimana ibubapa merasakan bahawa anak-anak begitu ideal dan wajib mengikuti cara hidup yang di terapkan oleh mereka dengan baik tanpa kompromi. Persaingan sengit pada masa depan dalam pendidikan dan industri pekerjaan memburukkan lagi situasi ini.
Maka tidak hairanlah sekiranya kita temui sekian banyak kajian yang menunjukkan perkaitan antara PERFECTIONISM dengan anxiety dan kemurungan di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Kertas kerja yang berjudul The importance of Play in Promoting Healthy Child Development menulis satu kata kunci yang dirasakan menjadi solusi dalam memberikan masa bermain yang sesuai kepada anak-anak.
SEIMBANG. Pun begitu, kata kunci ini perlu kepada kajian lanjutan untuk dibumikan dalam bentuk tindakan. Saya sendiri berpegang kepada pendapat bahawa bermain sepatutnya menjadi platform untuk kita mengajar sesuatu kepada anak-anak. Ianya satu proses yang perlu dilalui oleh kanak-kanak dan menjadi peluang untuk kita mengukuhkan sikap yang ingin kita tanamkan dalam hidup mereka.
Selamat kembali ke sekolah kepada semua murid-murid. Jangan risau, kat sekolah nanti kita pun akan ada banyak masa untuk bermain dan belajar bersama-sama.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru-baru ini ramai ibu bapa yang meluahkan rasa risau akibat penutupan sekolah dan juga tadika ekoran wabak Covid-19. Rata-rata berpendapat mungkin ada di antara anak-anak mereka sukar untuk mengeja dan mambaca apabila masuk ke tahun seterusnya. Jangan Panik! walaupun anak-anak duduk di rumah, mereka tetap boleh belajar membaca, mengeja dan mengenal huruf.
Mama papa ambil peluang cuti sekolah ini untuk lakukan aktivit yang boleh merangsang minda anak-anak. Kalau mama papa buntu, boleh cuba 12 aktiviti menarik yang dikongsi oleh puan Rina Azrina ini.
1. Menyanyi Dan Menari
Biasakan anak-anak dengan lagu-lagu fonik yang mengajar bunyi-bunyi huruf sebagai asas dalam proses membaca. Kaedah fonik terbukti berkesan dan pantas dalam mengajar kanak-kanak untuk membaca. Perkara ini selaras dengan kajian yang menyatakan bahawa otak manusia membaca dengan cara memecahkan perkataan kepada bunyi-bunyi.
Antara lagu-lagu fonik yang baik untuk didengar oleh kanak-kanak ialah ABU ADA AYAM untuk Bahasa Malaysia dan CORY CAT untuk Bahasa Inggeris. Mereka boleh menyanyi sambil mengikut pergerakan di dalam video tersebut. Kaedah ini pasti banyak membantu anak-anak untuk mudah mengingati setiap bunyi huruf yang ditayangkan.
2. Tanah Liat
Tanah liat dan kanak-kanak memang berpisah tiada ?. Ajak anak bermain tanah liat sambil membentuk pelbagai huruf dan suku kata.
Sebagai permulaan, bentuk huruf tanpa gabungan huruf yang lain sambil membunyikannya. Jika anak sudah mahir bunyi setiap huruf, bolehlah digabungkan bunyi-bunyi huruf yang lain pula.
Idea Ajar Membaca – Tanah Liat
3. Memancing Huruf
Siapa cakap nak pancing ikan hanya boleh di sungai atau di laut sahaja? Memancing di dalam rumah pun boleh.?
Kelipkan klip kertas pada kertas-kertas yang telah dipotong dan ditulis huruf. Sediakan alatan memancing dan lekatkan magnet padanya seperti ‘umpan’. Suruh anak ‘pancing’ huruf yang kita bunyikan.
Anak pasti teruja untuk memancing huruf yang disebut ibu bapa. Mereka akan berusaha keras untuk memastikan umpan mereka terlekat pada bunyi huruf yang betul. ?
Idea Membaca – Memancing
4. Menampal Huruf
Tulis huruf yang ingin dipelajari pada potongan kecil kertas. Ajarkan anak untuk memadankan huruf yang betul seperti yang tertera pada kad imbas. Sambil memadan dan melekat kertas huruf, ibu bapa bolehlah membunyikan gabungan huruf tadi bersama anak.
Idea membaca-menampal huruf
5. Penutup Botol
Hanya menggunakan penutup botol terpakai, tuliskan beberapa huruf konsonan dan vokal untuk membentuk gabungan bunyi.
Bagi anak-anak yang sudah mahir, galakkan mereka untuk membentuk gabung bunyi sendiri hasil pembelajaran sebelum ini. Aktiviti ini mampu menguji sejauh mana tahap membaca mereka.
Idea Membaca-Penutup Botol
6. Main Tembak-Tembak
Aktiviti ini pasti menyeronokkan. Kanak-kanak memang suka bermain dengan air. Mereka pasti suka bermain pistol air seperti ini sambil belajar membaca.
Cara bermainnya ialah ibu bapa membunyikan gabungan huruf yang dikehendaki dan anak akan menembak ke arah kertas yang betul. Selain belajar membaca, aktiviti ini juga dapat menguji daya fokus dan visual anak-anak untuk menembak ke arah sasaran dengan tepat.
Idea Membaca- Pistol Air
7. Bola Pom Pom
Pelbagai kaedah bermain boleh dilakukan dengan hanya menggunakan bola pom pom ini. Salah satunya ialah meniup bola pom pom ke dalam cawan dengan menggunakan straw.
Wah!nampak menarik bukan? Mesti anak-anak teruja untuk memastikan bola tersebut masuk ke dalam cawan sampai termengah-mengah meniup straw tersebut. ?
Bola Pom Pom
8. Bermain Suai Padan
Aktiviti ini memang terbaik. Bukan sahaja bantu anak membaca tetapi mampu menguji daya visual dan meningkatkan kemahiran motor halus mereka.
Anak-anak akan memadankan suku kata yang sama dengan menggunakan getah yang disediakan. Sungguh kreatif ibu ini mencipta permainan yang menarik seperti ini!
Idea Membaca-suai padan
9. Penyepit Baju
Ibu bapa boleh membuat beberapa potongan kecil kad dan menulis perkataan yang ingin dipelajari di atasnya. Setiap kad haruslah mempunyai beberapa perkataan yang lain agar anak-anak dapat meneka perkataan yang akan dibunyikan semasa permainan dijalankan.
Aktiviti ini akan membantu anak fokus untuk memilih perkataan yang tepat sambil mengasah kemahiran motor halus mereka untuk mengawal pergerakan dan otot jari semasa menggunakan penyepit baju tersebut.
Idea Membaca-Penyepit Baju
10. Bermain Masak-Masak
Aktiviti ini sangat sesuai untuk kanak-kanak yang sudah mahir membaca supaya ibu bapa boleh menguji tahap penguasaan kemahiran membaca anak-anak mereka.
Tuliskan beberapa menu di atas kertas. Pastikan perkataan yang ditulis menggunakan warna yang berbeza agar mereka mudah untuk membaca suku kata yang terdapat dalam satu perkataan. Anak-anak pasti leka bermain permainan ini terutamanya anak perempuan. ☺
Idea Membaca-Memasak
11. Cawan Polistren
Pelbagai permainan yang kreatif boleh dicipta dengan hanya menggunakan cawan polistren. Salah satu idea yang menarik ialah dengan menutup suku kata yang sama atau bermain memory game iaitu menutup semua bulatan tersebut dan hanya membuka suku kata yang sama sahaja.
Permainan ini akan lebih menarik jika ibu bapa memasang lagu kanak-kanak yang berentak rancak kerana akan membuatkan kanak-kanak teruja untuk membuka setiap cawan tersebut dengan lajunya mengikut rentak lagu.?
Idea Membaca-cawan polistren
12. Bermain Warna Air
Mewarna sambil belajar membaca sampai comot-comot! Anak pasti seronok!
Anak-anak perlu mewarna suku kata yang sama sambil membunyikannya dengan menggunakan warna air yang berwarna-warni.
Bunyikanlah suku kata tersebut sambil menyanyi. Suasana belajar itu pasti bertambah menarik!
Bagi mama yang mencari barangan bayi dengan harga murah, klik di SINI
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.