Mesti ramai ibu bapa yang mengalami situasi dimana anak akan mengamuk (tantrum) di dalam kedai bila kehendak mereka tidak dipenuhi. Ada sesetengah dari anak kecil menghempaskan diri ke lantai, membaling barang dan menangis sekuat hati sehingga menganggu orang lain.
Ramai ibu bapa yang tergamam atau tak tahu kaedah yang betul untuk menangani masalah anak tantrum ini. Puan Ninnie telah berkongsi cara mengawal anak daripada membuat perangai di khalayak ramai.
Firash ni memang dari kecik lagi kami didik dia kalu nampak mainan kat mana-mana toyshop, kedai DIY, kat kaki lima dia akan tengok je sambil kata umi, ni orang punya kan.
Ads
Pernah kami lalu depan kaki lima, ada sorang makcik ni main-main dengan kereta control depan dia,lepastu kata adik nak ni tak? Si Firash ni tengok muka umi dan kata umi, yang tu orang punya kan. Hahhahaa
Sebab masa dia kecik dulu(masa tu dah faham apa yang kita bagitahu) bila dia nampak banyak toys kt kedai, dia kata nak, daddy akan terus cakap tu orang punya, tak boleh ambik.
Kalau kami nampak dia nak sangat benda tu (dia tak mengamok guling-guling tapi mata dia macam berair, muka nampak frust) so kami faham la yg dia nak sangat-sangat benda tu especially geng-geng giant truck macam excavator, bulldozer, dump truck, daddy akan belikan TAPI bukan beli depan mata dia, bukan dia yang pegang dan bawak mainan tu ke kaunter.
Ads
Kalau dia kata nak buku, barulah kami izinkan dia bawak sndiri buku tu ke kaunter. Kami lagi suka belikan buku sebenarnya.
Umi akan alihkan pandangan dia ke tempat lain dan daddy yang akan ambik mainan tu and bayarkan. Bila mainan tu dah ada dalam plastik, dia takkan perasan yang tu toys yang dia nak. Bila dah smpai rumah, mainan tu akan kami letak depan tv atau atas meja (tempat yg dia senang nak nmpak). Mula lah buat muka sengih manis.
Ads
Mak mertua ninnie yang ajar petua ni. Kalu nak beli mainan kat anak, jangan beli depan mata dia. Kalu tak nanti dia akan terbiasa bila nampak je toys, nak time tu jugak. Kalu tak dapat ngamuk dalam kedai tu jugak. Budak-budak kan. Bukan dia tahu barang tu mahal ke murah. Nak-nak harga toys sekarang mahal kot, tak kan tiap kali lalu kedai mainan kita nak kena belikan.
Smpai la sekarang Firash takda nak ngamuk-ngamuk, merajuk bila nampak toys banyak-banyak kat kedai. Semalam bawak dia dan Raisya masuk DIY. Si adik pegang patung barbie. Boleh pulak si firash ni jerit kat adik, “adikkkkk, tak boleh ambik, yg tu orang punya!! Smpai menangis-nangis adik dia marah macam tu.
Lain orang lain caranya. Ini cara umi untuk elakkan anak tantrum in public. Alhamdulillah cara ni masih berkesan untuk anak kami setakat ni.
Dekat Raisya pun kami buat jugak cara ni. Tapi dia tak faham sangat lagi. Guling sana guling sini tu memang hobi dia. Bukan sebab nak barang, tapi dia tak suka org dukung atau pegang dia masa berjalan.
Penyakit tangan, kaki dan mulut atau hand foot and mouth (HFMD) kerap menjangkiti kanak-kanak termasuk bayi. Mama papa wajib tahu mengenai penyakit ini.
Pada musim perayaan dan keraian ini boleh meningkatkan risiko jangkitan penyakit ini. Apatah lagi jika anak-anak yang dijangkiti tidak dikuarantin dan dibiarkan keluar bebas bermain dengan anak-anak yang lain.
HFMD ialah penyakit berjangkit kanak-kanak bawah usia 10 tahun yang mengakibatkan lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Tekak dan tonsil akan membentuk ulser kecil manakala pada tangan, kaki dan kawasan lampin pula dijangkiti ruam yang melepuh berisi air. Mama papa perlu mendapatkan rawatan dan pengesahan daripada doktor bagi memastikan penyakit ini.
SIMPTOM HMFD
Berikut ialah ciri-ciri HMFD. Mama dan papa peka pada perubahan diri si manja untuk pengesanan awal.
Demam
Sakit Tekak
Ulser pada tekak, mulut dan lidah
Ruam atau lepuhan kecil pada tangan, pergelangan tangan, kaki dan kawasan lampin.
Tapak tangan dan tumit kaki adalah dua lokasi yang menjadi tumpuan munculnya ruam ini.
Sakit kepala
Hilang selera makan
BAGAIMANA IA MEREBAK?
Penyakit tangan, kaki dan mulut HFMD merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti. Tidak terhad kepada kanak-kanak, individu dewasa juga boleh dijangkiti. bagaimana pun bayi dan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun paling mudah dijangkiti HMFD.
BERISIKO TERJADI DALAM KELOMPOK
HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan atau berada pada lokasi bersama. Ia boleh merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau sentuhan kepada air liur yang membolehkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain. Walau pun HMFD biasanya tidak serius tetapi sebilangan kecil kes didapati boleh menimbulkan komplikasi merbahaya apabila melibatkan sistem saraf dan jantung.
PERLU RAWATAN SEGERA
mama dan papa yang mendapati si manja mempunyai simptom HMFD perlulah segera membawa mereka mendapatkan rawatan. Kepekaan kepada sebarang perubahan tingkah laku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan mengantuk. Jika mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau mengantuk,segera membawa anak mereka ke hospital untuk mengelakkan perkara tidak diingini.
PERLU BERTANGGUNGJAWAB ELAK JANGKITAN
Pada musim perayaan ini, elakkan daripada membawa anak yang mengalami HMFD keluar bagi mengelakkan jangkitan. kuarantinkan mereka untuk mengelakkan jangkitan kepada kanak-kanak lain ialah tindakan yang bertanggungjawab. Elakkan juga menghantar mereka ke tadika, taska atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan. Sentiasa basuh tangan selepas menyentuh anak yang sakit dan sebelum menyentuh anak lain yang sihat untuk mengelakkan jangkitan.
Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis. Pastikan anda juga tidak membiarkan anak berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
Paling mustahak mama papa wajib memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka. Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kelebihan bermain ‘cak’ dengan bayi, rangsang anak jadi bijak. Bermain dengan bayi bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mempunyai banyak manfaat untuk perkembangan mental dan emosi mereka. Salah satu permainan yang paling mudah tetapi sangat bermanfaat adalah permainan ‘cak’.
Kelebihan Bermain ‘Cak’ Dengan Bayi, Rangsang Anak Jadi Bijak
Permainan ini melibatkan menyorokkan muka dengan tangan atau objek lain dan kemudian menunjukkan muka semula sambil berkata “Cak!” atau “Peekaboo!” dalam bahasa Inggeris. Meskipun ia nampak sederhana, permainan ini mempunyai banyak kelebihan dalam merangsang perkembangan bayi.
LIMA KELEBIHAN BERMAIN ‘CAK’ DENGAN BAYI
1. Melatih Komunikasi Terawal
Senyuman dan ketawa adalah salah satu cara terawal manusia berhubung sesama sendiri. Ia bagaikan sebuah bahasa tanpa sempadan tidak mengira usia dan bangsa seseorang.
Tiada apa yang lebih menenangkan selain melihat senyuman si kecil, apatah lagi apabila mereka sudah mula bersuara dan ketawa. Memang riuhlah rumah dengan ketawanya yang comel!
Senyuman juga adalah tanda bayi dapat merespon terhadap persekitaran selain menjadi cara si kecil menunjukkan bahawa dia senang dengan kehadiran kita. Dengan senyumanlah juga hubungan boleh menjadi lebih erat.
2. Meningkatkan Kemahiran Sosial
Kemahiran sosial bayi merupakan asas utama baginya dalam membentuk corak komunikasi yang positif. Selain berbual dan bernyanyi untuknya, bermain “cak” juga adalah medium untuk bayi belajar untuk mewujudkan hubungan sosial dengan orang lain.
Bermain “cak” dengan bayi memerlukan tumpuan sepenuhnya terutama sekali ‘eye contact’. Mungkin pada awal kelahiran, bayi menunjukkan kurang respon dan lebih mudah terkejut. Lama-kelamaan, dia mula belajar untuk mengagak apa yang berlaku.
Dengan sentiasa meluangkan masa dengannya, kemahiran komunikasinya juga akan berkembang dengan baik. Bayi juga lebih bijak dalam mentafsir dan meniru emosi yang ditunjukkan oleh orang sekeliling.
3. Mengajar Bayi Mengenal Diri & Persekitaran
Menurut pakar psikologi, bayi sering menganggap dirinya dan ibu sebagai seorang individu yang sama. Semakin kita kerap bermain “cak” disertai dengan senyuman dan sentuhan, dia semakin lama mengerti bahawa dia dan ibunya adalah dua orang yang berbeza.
Hal ini dapat disedari apabila bayi menyentuh ibunya, dan ibunya pula memberi tindakbalas selanjutnya; contohnya ketika bayi mula menyentuh bahagian mata atau menarik rambut ibu.
Bayi juga mula bijak membuat perbandingan antara dirinya dengan orang lain dan mula untuk mengingat persekitaran serta orang di sekelilingnya. Dengan kesedaran ini, dia lebih giat untuk meneroka persekitaran dan menjadi lebih lincah lagi sebaik dia sudah boleh bergerak ke sana ke mari.
4. Merangsang Deria Bayi
Permainan mudah juga memberi kesan positif pada perkembangan derianya; lebih-lebih lagi jika ramai yang meluangkan masa dengannya. Walaupun bayi baru lahir dilihat kurang merespon, sebenarnya mereka amat mudah diajak bermain “cak”. Hanya dengan hanya menggunakan tapak tangan dan ekspresi muka yang lucu, keseluruhan deria mereka dapat dirangsang.
Dengan rangsangan bunyi atau visual, rangsangan bayi boleh menjadi lebih tajam dan peka. Bila bayi semakin besar, anda boleh mempelbagaikan cara bermain permainan ini dengan mereka supaya lebih mencabar, contohnya bermain sembunyi-sembunyi.
5. Meningkatkan Kecerdasan Memori
Bayi yang baru lahir sering menganggap jika kita hilang dari pandangan, sentuhan, atau pendengarannya bermakna kita tiada dengannya. Sebab itulah bayi mudah menangis apabila ibu hilang daripada pandangan. Permainan sebegini mampu membantu mereka memahami konsep kehadiran seseorang atau objek.
Ini bermakna kebolehannya untuk menyimpan memori dan corak pemikirannya semakin berkembang. Semakin kita rajin bermain “cak” dengannya, mereka mampu memahami dan mengingat bahawa ibu masih ada dengan mereka. Oleh sebab itu, bayi yang baru lahir elok diperkenalkan dengan permainan sebegini.
Permainan ‘cak’ bukan sahaja mudah dan menyeronokkan, tetapi ia juga memberikan banyak manfaat kepada perkembangan mental, emosi, dan sosial bayi anda. Dengan hanya beberapa minit bermain setiap hari, anda boleh membantu merangsang perkembangan otak bayi dan membina asas yang kukuh untuk kemahiran yang lebih kompleks di masa hadapan.
Dengan meluangkan masa dengannya, bayi bukan sahaja dapat melatih rangsangan minda serta kemahiran sosial, malah dapat memupuk kasih sayang dan rasa prihatin. Jadi, jangan ragu-ragu untuk bermain ‘cak’ dengan bayi anda dan nikmati detik-detik berharga ini bersama mereka!
Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label yang negatif.
Benarkah semua mereka begini?
Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar selalunya dari lahir lagi sudah kelihatan pusar anak. Jika anak mempunyai dua pusar, dari lahir lagilah label diberikan kepada anak terutamanya oleh segelintir orang tua-tua. Walaupun kita belum lagi cuba untuk mengenali anak tersebut dan belum cuba lagi mendidik anak tersebut, dia sudah pun dilabel dengan label yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’.
Adilkah begitu?
Jika begitu persepsi kita dari awal, maka segala kebaikan anak tidak akan kita nampak kerana yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
Mungkin segelintir orang tua-tua ini mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu mereka tetapi untuk membuat generalisasi tentang semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institut yang banyak menjalankan kajian tentang genetik dan genomic manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gene manusia.
Kepercayaan tentang anak dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sahaja, malah ia juga dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa kelompok masyarakat lagi. Kemungkinan besar penghijrahan manusia membawa kepercayaan ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Ada kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan di dalam perut ibu lagi. Apabila bayi mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh bayi tersebut dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini. Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi satu roh yang kemudiannya menjadi roh anak tersebut. Kerana pertembungan dua roh inilah, bayi itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil.
Anda percaya?
Bukankah sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa seorang anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walaupun berapa pusar sekalipun yang dimiliki oleh anak tersebut?
Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa?
Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar tentang dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengan anak akan mewujudkan konsep diri (self concept) anak.
Anak sering tertanya tentang dirinya.
Siapa saya? Apakah peranan saya? Apakah kebaikan saya? Jika yang sering didengari tentang dirinya adalah label negatif, maka itulah kepercayaan anak tentang dirinya. Berhati-hatilah dalam melabel anak.
Tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku.
Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibubapa memahami dan mendidik anak.
Ibubapa perlu faham:
1) Perkembangan kanak-kanak (Child Development).
Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarah kepadanya.
Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah diberi anak makan macam-macam produk yang mungkin hanya memudaratkan anak lagi. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.
2) Pembawaan kanak-kanak (Temperament).
Setiap seorang daripada kita dilahirkan dengan sifat semulajadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan,tidak cerewet, ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada yang pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibubapa kita perlu mengetahui anak kita berada dalam kategori pembawaan yang bagaimana kerana cara kita menguruskan anak bergantung kepada pembawaan mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza.
Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.
3) Fahami juga kecenderungan anak.
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana kemari, mencuba itu ini, memegang itu ini, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah di halang.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatan anak.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibubapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.
4) Selain itu ibubapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak. Ibubapa perlu sepakat tentang kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata “Ya” dan ibu berkata “Tidak”, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata. Apabila dia keliru cakap siapa yang perlu diikut, dia akan mengikut kata hati dia sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.
5) Ibubapa adalah guru dan role model terbaik anak. Anak adalah cerminan diri kita sendiri. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak-anak kita?
Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Di antaranya adalah bimbingan daripada ibubapa, persekitaran anak, rakan-rakan anak, apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosi anak, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama dalam keluarga yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.
Jangan jadikan dua pusar sebagai ‘escapism’ atau jalan keluar untuk kita berputus asa dengan anak. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.
Oh ya, anak saya sendiri mempunyai dua pusar kepala.
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semakin ramai pasangan berkahwin kini cenderung memilih gaya hidup 'childfree', iaitu tidak mahu mempunyai anak. Trend ini dilihat membimbangkan.Walaupun keputusan ini dilihat sebagai hak...