Menyusukan anak memerlukan azam yang kuat. Malah ia patut dimulakan sebelum bayi lahir lagi. Selain daripada niat itu, perlu juga ada sokongan dqripada orang sekeliling supaya anda tidak mudah putus asa.
Paling penting ialah, anda perlu selalu menyusukan anak mengikut permintaannya. Itulah kunci utama penghasilan susu ibu sentiasa berterusan sepanjang masa disebabkan payudara dikosongkan dengan efisyen.
Kalau mahu azam anda menyusukan anak secara eksklusif dalam enam peryama kehidupannya dan dilanjutkan sehingga dua tahun atau lebih, anda kena elakkan perkara-perkara berikut.
Berjauhan dengan bayi selepas kelahirannya
Pastikan bayi sentiasa berada dekat dengan anda. Jadi, mudahlah anda menyusukan bayi.
Malah selepas kelahiran, minta doktor letakkan bayi di atas dada anda. Anda pasti takjub melihat bayi mencari payudara anda untuk menyusu buat pertama kalinya.
Tidak bantu bayi melekap dengan betul
Mulut bayi seharusnya terbuka luas supaya dia boleh melekap di sebahagian besar aerola. Jika bayi tidak melekap dengan betul, dia tidak akan mendapat semua susu yang diperlukan. Anda juga akan berasa sakit puting.
Semasa bayi mahu menyusu, sentuh bibirnya dengan puting anda untuk merangsang dia membuka mulut seluas mungkin. Kemudian, segera suakan payudara ke mulutnya untuk dia meneruskan penyusuan.
Tertekan
Anda dan bayi kini sama-sama dalam proses belajar. Ada waktunya, akan ada cabaran yang perlu dilalui dan boleh menyebabkan anda tertekan.
Apabila ada perasaan sebegini, segera tenangkan diri. Perlahan-lahan, tarik nafas dalam seperti yang pernah anda belajar di kelas antenatal dahulu.
Tidak belajar pelbagai posisi penyusuan
Anda perlu tahu pelbagai jenis posisi penyusuan. Hal ini penting kerana anda boleh tahu posisi penyusuan yang bersesuaian dengan keadaan semasa anda dan bayi semasa dia mahu menyusu.
Tidak mendapat sokongan orang terdekat
Anda perlu berada di sekitar orang yang positif terhadap amalan penyusuan susu ibu. Dengan yang demikian, anda boleh memdapat sokongan padu daripadanya.
Jika anda tidak mempunyai kawan-kawan rapat atau keluarga yang mempunyai pengalaman penyusuan susu ibu, dapatkan bantuan daripada kumpulan sokongan susu ibu.
Menyusukan bayi ikut jadual
Apabila menyusukan bayi yang baru lahir, anda jangan terikat dengan jadual penyusuan (menyusu setiap tiga hingga empat jam)
Susukan bayi mengikut permintaannya. Namun jika tidak menyusu dalam tempah tiga jam seterusnya, anda perlu segera kejutkan dia untuk menyusu. Hal sebegini biasa terjadi kepada bayi yang mengalami jaundis.
Jika selepas selesai menyusu, bayi masih kelihatan lapar, teruskan penyusuan. Dengan cara ini, ia dapat membantu anda benar-benar mengosongkan payudara.
Terlalu awal perkenalkan botol susu
Apabila anda terlalu awal memperkenalkan bayi dengan botol susu, ia akan menyebabkan bayi mengalami masalah keliru puting.
Apabila hal ini berlaku, bayi mungkin akan berasa selesa menyusu menggunakan botol berbanding menyusu terus di payudara. Malah, hal ini juga boleh menjejaskan penghasilan susu anda.
Adalah lebih baik jika anda menunggu sehingga bayi anda dapat menyesuaikan dengan penyusuan susu ibu. Tunggu sehingga bekalan susu anda stabil sebelum perkenalkan botol susu kepadanya.
Kurang keyakinan diri
Anda perlu sentiasa yakin dengan diri sendiri. Anda boleh menyusukan bayi seperti mana yang anda impikan.