Anak anda memerlukan pelbagai sumber makanan untuk mendapat cukup nutrisi bagi perkembangan giginya. Selain kumpulan makanan utama, dengan menambah lebih makanan super dalam diet anak anda akan menyediakan lebih mineral, vitamin, serat, dan lemak sihat untuk perlindungan gigi mereka. Artikel Hello Doktor ini menyediakan 5 makanan baik untuk gigi kanak-kanak.
Sayuran crunchy
Jika anda mencari makanan kunyahan ‘semula jadi’, mungkin sayuran crunchy atau rangup (seperti lobak mentah, kubis bunga, kacang hijau, daun saderi atau snap kacang) adalah pilihan yang sesuai. Sayur-sayuran ini mempunyai tekstur kasar semula jadi yang membantu mengikis keluar sisa plak yang tidak diperlukan selepas anak anda memberus gigi. Ibu bapa perlu menyediakan sayuran seperti ini sebagai snek atau pencuci mulut dan menggalakkan kanak-kanak untuk kerap mengunyah sayuran ini.
Buah-buahan kaya dengan vitamin C
Bagi mencegah gingivitis yang disebabkan oleh beberapa jenis bakteria dalam mulut kanak-kanak, jadi anda perlu menyediakan buah-buahan yang kaya dengan vitamin C dalam makanan harian anak anda. Terdapat banyak jenis buah yang kaya dengan vitamin C yang mudah anda dapati di pasar seperti oren, buah limau, kiwi, cantaloupe, betik, dan beberapa jenis buahan lain. Di samping itu, beri juga adalah salah satu buah yang paling berkhasiat dan lazat yang boleh dimakan setiap hari. Beri seperti strawberi, raspberi atau beri hitam bukan sahaja merupakan pencuci mulut yang sedap, bahkan juga adalah buah yang sangat kaya dengan nutrien dan antioksida. Beri dan buah kaya vitamin C lain boleh membantu menghapuskan bakteria dalam mulut dan membekalkan kolagen sihat untuk gusi anda.
Kekacang dan bijian
Jika anak anda berusia 3 tahun ke atas, anda boleh berikannya makan bijian seperti biji bunga matahari dan biji chia. Bijian ini adalah sumber mineral hebat, mengandungi lemak baik, protein dan serat. Ia juga menyediakan lemak semula jadi yang menyalut gigi dan membantu melindungi gigi daripada bakteria. Bijian Grind pula sangat lazat dan mudah dimakan sebagai snek, ditaburkan pada salad, serta dijadikan pencuci mulut yang menyelerakan. Juga, anda boleh menambah bijian dan kekacang semasa membuat kek untuk seisi keluarga anda. Minyak semula jadi yang ada dalam bijian membantu menguatkan enamel gigi. Malahan, sesetengah bijian juga menyediakan kalsium. Bijian dan kekacang ini disarankan untuk disimpan di dalam peti sejuk bagi mengelakkan kerosakan.
Produk tenusu
Produk tenusu tanpa gula tambahan adalah perlu untuk gigi kanak-kanak. Contohnya, keju akan merangsang penghasilan saliva atau air liur sementara kalsium di dalamnya membantu menggantikan mineral terlarut resap dari gigi oleh asid. Produk tenusu kegemaran kanak-kanak seperti susu, yogurt, dan aiskrim tanpa gula juga menyediakan kalsium dan fosfat. Susu diperkaya adalah penuh dengan vitamin D, yang membantu tubuh kanak-kanak memproses kalsium dengan berkesan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebak Dengar Doa Puteri. Zizan Lawat Peminat Cilik Derita Jangkitan Kuman Paru-paru
Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang kanak-kanak yang sakit selain dapat bertemu dengan selebriti diminati. Seperti dikongsikan oleh pelawak terkenal Zizan Razak yang berpeluang menziarahi peminat ciliknya, Adik Puteri Nur Zulaikha, 10 tahun di Hospital Port Dickson.
Zizan ke hospital tersebut bagi memenuhi permintaan Puteri yang menghidap jangkitan kuman pada paru-paru. Zulaikha memang sudah lama teringin untuk berjumpa dengan pelakon dan pelawak tersebut.
Puteri terkena jangkitan kuman pada paru-paru ketika berusia lima bulan disebabkan kencing tikus. Menurut doktor, keadaan kesihatan adik Zulaikha merosot sejak kebelakangan ini.
Perkongsian video yang dimuat naik oleh pelakon Bulan & Pria Terhebat menerusi Instagramnya itu menunjukkan dia sempat berbual sambil mengisi masa bersama Zulaikha selain sempat membuat panggilan video dengan beberapa selebriti lain seperti Johan dan Aedy Ashraf.
Dalam video itu juga, Zizan tidak dapat menahan sebak ketika Puteri menitipkan doa buat dirinya.
Zizan turut menyeru semua follower mendoakan agar dipermudahkan urusan rawatan Puteri dan semoga diberikan kesembuhan atas penyakit yang dihidapi.
TANGISAN YANG DILUAR KAWALAN
“ Terima kasih adik Puteri ku sayang diatas doa yang benar buat uncle Zizan rasa sangat menusuk ke hati. Dari awal lagi Zizan rasa sayu ketika perjalanan menuju ke hospital pd untuk melawat adik puteri.
“Setibanya sy disana niat ingin hiburkan Puteri tetapi lain jadinya. Hilang lawak saya yang menitis cuma air mata yang mencurah.
“Ya Allah. Cuma Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu. Berbagai soalan pada doctor saya tanya untuk tahu bagaimana cara untuk pulihkan adik puteri dari keadaan sekarang. Mahu lihat peminat syurga Zizan ni sihat secepat mungkin. Dengan Kuasa Allah tiada yang mustahil. Ya saya yakin. Amin.
Juga terima kasih pada @jozlynnhanania kerana sempat hiburkan adik puteri comel ini. Tak lupa pada @aedyxashraf sempat melayan dan bertanya kabar. MashAllah. Kuat betol semangat adik puteri untuk terus berjuang untuk hidup.
“Saya benar benar menyeru buat semua followers saya untuk doakan supaya Adik Puteri Nur Zulaika supaya dipermudahkan selaga urusan dan kesihatan anak syurga ini sembuh secepat mungkin. Ya Allah makbulkanlah doa ini ya Allah. 😭😭😭😭😭❤️❤️❤️❤️ Amin..,” tulisnya.
Sebelum itu, Zizan juga turut memuat naik beberapa keping gambar bersama Puteri yang turut mendapat lebih dari 100 ribu tanda suka dan lebih dari 500 komen.
“Harini Zizan datang melawat peminat setia Zizan. Iaitu Puteri Nur Zulaika. Zizan minta semua mendoakan supaya adik puteri sihat dan sembuh secepat mungkin seperti kita semua.
“Semoga Allah makbulkan doa kita semua. Amin. #zrcharity,” tulisnya lagi.
Sumber: Instagram Zizan Razak
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Melahirkan Tiba-Tiba Tanpa Dijangka Atau Secara Kecemasan , Apa Mama & Orang Sekeliling Perlu Buat. Ikuti Panduan Daripada Doktor O&G Ini
Kelahiran boleh berlaku di mana-mana, malah beberapa hari awal daripada Tarikh jangkaan. Ada ibu yang terpaksa bersalin di rumah atau di dalam kenderaan kerana tidak sempat untuk ke hospital. Situasi ini memang tidak dirancang dan berlaku secara tiba-tiba. Maka ibu-ibu persiapkan diri kerana sesiapa sahaja boleh melalui detik melahirkan sebegini.
Menurut Dr Nurul Azwa Hasny, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, SALAM Shah Alam Specialist Hospital, kelahiran kecemasan atau Born Before Arrival ini boleh berlaku.
“Kelahiran boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Lebih-lebih lagi bagi kehamilan yang sihat dan kandungan sudah melewati usia 37 minggu. Sebaik-baiknya sentiasa bawa bersama buku rekod pemeriksaan kehamilan dan beg hospital yang berisi kelengkapan bersalin apabila kandungan menghampiri tarikh jangkaan bersalin.”
BAGI YANG RASA NAK BERSALIN KETIKA MEMANDU ATAU DI RUMAH BERSEORANGAN
Bagi kes yang melibatkan sakit tiba-tiba ketika memandu di jalan raya atau ketika berseorangan di rumah, beberapa langkah perlu dilakukan untuk memastikan proses kelahiran yang selamat.
- Sekiranya ibu terbabit sedang memandu, maka dia perlulah berhenti di tempat yang selamat seperti di lorong kecemasan, stesen minyak atau tempat rehat R&R, yang mana terdekat.
- Minta bantuan orang ramai untuk menghubungi talian kecemasan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 bagi mendapatkan bantuan kecemasan, diikuti dengan ahli keluarga yang terdekat.
- Jika tidak ada orang lain bersama, hubungi 999 sendiri dan ikut arahan paramedik MERS dengan tenang. Paramedik MERS memerlukan maklumat akan lokasi ibu bagi memudahkan bantuan kecemasan disalurkan.
- Bagi ibu yang berseorangan di rumah, cuba berbaring di atas katil atau permukaan yang rata. Tinggikan kepala dengan bantal. Dengar arahan paramedik MERS dengan teliti.
- Pastikan ibu menarik nafas yang dalam dan perlahan di antara kontraksi.
TANDA-TANDA KELAHIRAN AMAT DEKAT
Ibu perlu tahu tanda-tanda ini supaya boleh mengenal pasti bahawa kelahiran akan berlaku dan tidak sempat untuk ke hospital. Pada kebiasaannya bagi anak pertama, kelahiran akan mengambil masa lebih lama manakala bagi kehamilan anak kedua dan seterusnya akan berlaku lebih cepat.
- Kontraksi yang kerap iaitu antara dua hingga tiga minit sekali.
- Gesaan untuk meneran atau rasa ingin buang air besar.
- Air ketuban keluar dengan banyak secara tiba-tiba.
- Dapat melihat atau sentuh kepala bayi di kemaluan faraj.
4 KEPERLUAN ASAS PERLU ADA
Selain segera mendapatkan bantuan kecemasan, sekiranya masih sempat, sediakan peralatan asas bagi memastikan kelahiran lebih mudah dikendalikan.
Sediakan alas tempat perbaringan seperti plastik alas meja atau hamparan kain yang tebal. Ini kerana proses kelahiran akan melibatkan pengeluaran lendir dan darah yang banyak dan alas tersebut memudahkan proses membersihkan kelak.
- Kain cadar, kain selimut, kain batik atau tuala bersih dan kering.
- Kain lampin untuk menyambut bayi dan kain untuk membalutnya.
- Air suam yang diletakkan dalam besen yang bersih. Ia diperlukan untuk membuang kekotoran lendir pada bayi dan mencuci tangan.
* Sekiranya tiada sebarang kain seperti dinyatakan, kertas atau suratkhabar kering boleh digunakan.
TIP ELAK PANIK DAN BERSEDIA SEGERA
Ibu perlulah berkeyakinan diri untuk melalui proses bersalin walau pun terpaksa melakukannya seorang diri atau tanpa sempat ke hospital. Kata Dr Nurul Azwa, jika kedudukan bayi betul dan sudah berada di bahagian rongga pelvis, kelahiran akan mudah dan tidak mengambil masa yang lama.
Walau pun begitu, pastikan faktor kebersihan dititikberatkan untuk mengelakkan jangkitan kuman kepada ibu dan anak. Ibu perlu mencuci bahagian intim dengan air atau dengan sabun dan air sebelum proses kelahiran.Dalam keadaan cemas begini, suami, ibu atau sesiapa sahaja yang akan menyambut bayi juga perlu bersih.
Ibu tidak perlu meneran bagi kes kelahiran seperti ini. Sebaik-baiknya jangan meneran. Beberapa teknik pernafasan boleh dilakukan seperti menarik nafas yang dalam dan perlahan atau pernafasan “panting”; iaitu bernafas dengan kuat dan cepat.
Pernafasan ini penting bagi mengelakkan ibu meneran dan bayi meluncur keluar dengan sendirinya. Ia juga dapat membantu mengelakkan koyakan pada tisu-tisu lembut, melengahkan masa untuk persiapan dan mengelakkan kecederaan atau bayi terjatuh jika ibu masih belum dalam posisi yang membolehkannya menyambut bayi.
APA PERLU BUAT BILA SI KECIL SUDAH KELUAR!
- Saat ini ibu atau orang yang menyambut bayi perlulah bersedia untuk mengampu kepala, bahu bayi dan badannya keluar untuk mengelakkan koyakan teruk pada ibu. Berhati-hati semasa menyambut kelahiran kerana bayi selalunya licin.
- Perhatikan kedudukan tali pusat. Longgarkan untuk mengelakkan ia mencerut leher atau badan bayi.
- JANGAN POTONG TALI PUSAT UNTUK MENGELAKKAN JANGKITAN KUMAN!
- Lap seluruh badan bayi terutama pada bahagian mulut dan hidung yang mungkin mempunyai lendir dengan kain lembut seperti kain lampin.
- Sambil mengelap, urut perlahan bahagian belakang bayi dan kaki untuk merangsang bayi menangis supaya dia boleh bernafas dengan baik.
- Letakkan bayi di dada ibu (atau perut ibu jika tali pusat pendek) secara menangkup atau melekap untuk sentuhan kulit ke kulit. Selimutkan tubuh bayi untuk mengelakkan kesejukan.
- Sambut uri keluar dan biarkan tali pusat tidak dipotong. Tunggu sehingga paramedik atau bidan memotongnya menggunakan peralatan yang steril.
- Dapatkan posisi yang selesa untuk ibu boleh memulakan penyusuan kali pertama. Elakkan ibu sejuk dengan membersihkan ibu dan menukar kain yang basah.
- Sementara menunggu kehadiran paramedik, duduk bersama ibu dan bayi sepanjang masa bagi memastikan kedua-duanya dalam keadaan baik. Peralatan bayi dan ibu boleh disediakan kerana kemungkinan ibu dan bayi akan ditahan di hospital.
Dr Nurul Azwa menegaskan bersalin di rumah amat tidak digalakkan tanpa dikendalikan oleh anggota kesihatan terlatih. Ini adalah kerana komplikasi bersalin boleh meragut nyawa ibu dan anak yang dikandung
Sekiranya sudah hampir dengan tarikh bersalin, anda perlu memastikan yang;
- Anda menyimpan nombor telefon klinik atau jururawat berdekatan untuk dihubungi sekiranya berlaku kes sebegini.
- Pastikan telefon boleh berfungsi sebagai persediaan.
- Tidak berada keseorangan di rumah atau membuat perjalanan jauh seorang diri apabila kandungan mencecah 37 minggu atau tarikh bersalin semakin hampir.
sumber: Majalah Pa&Ma
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Amalkan Doa Mudah Bersalin Ini, Suami Pun Digalakkan Untuk Baca Doa Ini
Kehamilan adalah satu pengalaman hidup yang cukup mengujakan dan menggembirakan hati bukan sahaja untuk anda atau pasangan anda, bahkan untuk ahli keluarga terdekat yang lain. Ianya pasti lebih manis dan menggembirakan sekiranya kehamilan ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan diusahakan sekian lama, khususnya jika anda dan pasangan anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata.
Ianya satu nikmat tuhan yang perlu disyukuri, bahkan satu keajaiban bagi anda dan pasangan khususnya jika anda sebelum ini menghidap keadaan-keadaan kesihatan atau penyakit-penyakit tertentu yang menyebabkan peluang anda untuk mengandung atau membawa kandungan ke tempoh bersalin adalah rendah. Keadaan-keadaan kesihatan seperti endometriosis, penyakit keradangan pelvis (PID) dan juga polycystic ovarian syndrome adalah contoh penyakit-penyakit yang berupaya untuk mengganggu kesuburan dan fungsi reproduktif normal wanita sekali gus mempengaruhi peluang untuk wanita mengandung.
Justeru, kegembiraan akan jelas terserlah apabila mengetahui bahawa zuriat yang dinanti-nantikan semakin dekat dengan realiti. Namun yang demikian, timbul pula soalan-soalan berkaitan proses bersalin yang bakal tiba. Adakah anda bersedia? Adakah ianya akan menyebabkan kesakitan yang teruk? Jika ya, apakah pula doa mudah bersalin atau tip-tip lain yang boleh anda praktikan untuk mendapatkan proses bersalin yang selamat dan lancar?
Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak aspek-aspek berkaitan keadaan anda dan juga proses kelahiran anda bergantung kepada penjagaan di hospital oleh doktor dan juga jururawat. Namun, terdapat juga beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi menyediakan diri anda. Artikel ini akan membincangkan doa mudah bersalin (khususnya untuk penganut agama islam) serta tip-tip lain yang boleh anda amalkan bagi menyediakan diri anda untuk proses bersalin, sekali gus menjadikan ianya lebih lancar dan kurang menyakitkan.
Komplikasi yang boleh berlaku ketika bersalin
Proses bersalin bukanlah tanpa sebarang komplikasi. Oleh yang demikian, pesakit yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi akan diberikan perhatian yang lebih ketika mereka bersalin di hospital. Berikut adalah komplikasi-komplikasi yang lazimnya, atau boleh berlaku ketika bersalin.
Bahu bayi tersekat
Keterjadian bahu bayi tersekat ketika proses menyambut kelahiran bayi tersebut adalah satu mimpi ngeri bukan sahaja untuk si ibu, malahan untuk para doktor dan jururawat di sekelilingnya. Ianya adalah salah satu komplikasi popular ketika proses kelahiran (labour) berlangsung. Apa yang lebih merisaukan adalah ianya merupakan komplikasi yang tidak boleh diduga, justeru tidak boleh dibendung. Definisi keadaan ini adalah apabila pergerakan-pergerakan tambahan diperlukan (berbanding pergerakan biasa) untuk mengeluarkan bahu bayi tersebut. Ini terjadi apabila bahu bayi tersebut tersangkut pada simfisis pubis ibu atau bahagian unjuran/promontori sacrum. Lazimnya, satu tanda yang diperhatikan berlaku apabila insiden bahu tersekat ini terjadi dan tanda tersebut disebut sebagai ‘turtle sign’, merujuk kepada keadaan kepala bayi yang, apabila sudah terkeluar sedikit, ianya termasuk semula ke dalam, seolah-olah melekat pada perineum si ibu.
Keterjadian bahu bayi tersekat ini membawa komplikasi lain yang tidak terhad untuk ibu sahaja, bahkan untuk bayi tersebut. Untuk bayi yang ingin dilahirkan, komplikasi yang mungkin berlaku, dan cukup digeruni adalah kecederaan brachial plexus dan juga kecederaan hipoksisk-iskemik otak. Bagi si ibu pula, komplikasi yang berupaya untuk berlaku adalah pendarahan selepas bersalin (post-partum haemorrhage), luka melecet pada dinding faraj, kekoyakan perineum dan juga kekoyakan rahim (uterine rupture).
Bahagian muncul bayi yang tidak normal (Malpresentation)
Komplikasi ini merujuk kepada bahagian pertama yang muncul atau keluar daripada faraj si ibu. Beberapa minggu sebelum anda sudah cukup bulan untuk bersalin, kedudukan bayi dalam rahim anda adalah dalam posisi di mana kepala mereka akan berada di bahagian bawah rahim (paling dekat dengan faraj), dagu bertemu dada, dan punggung dan kaki mereka berada di bahagian atas (menunjuk ke arah dada ibu), bersedia untuk masuk ke dalam bahagian pelvis. Dengan posisi ini, bahagian kepala bayi yang paling kecil mendahului penurunan ke dalam pangkal rahim, sebelum keluar melalui faraj. Posisi ini dikenali sebagai verteks (kepada bawah) occiput anterior (OA).
Memandangkan bahagian kepala bayi adalah bahagian yang paling besar dan paling fleksibel, posisi ini adalah posisi yang terbaik untuk bayi tersebut keluar. Dengan cara ini, risiko badan bayi untuk tersekat atau terhalang ketika ingin dilahirkan, dapat dikurangkan ke paras yang minimum. Posisi ini juga mengurangkan risiko untuk kekoyakan faraj/perineum pada darjah yang lebih tinggi.
Namun yang demikian, sesetengah bayi tidak berada dalam posisi ini ketika dalam proses kelahiran (labour). Sebaliknya, mereka boleh berada dalam posisi di mana punggung atau kaki mereka yang masuk menuju ke dalam pelvis. Ini disebut sebagai ‘breech presentation’. Lazimnya, kedudukan sebegini akan dilihat melalui ujian pengimejan ultrasound ketika tempoh-tempoh awal janji temu berkala dengan doktor namun majoriti mereka akan mengambil kedudukan verteks OA semula apabila menghampiri tempoh cukup bulan untuk dilahirkan. Malangnya, segelintir daripada mereka akan mengalami keadaan di mana bayi tersebut tidak berada dalam posisi verteks OA apabila semakin dekat dengan tempoh bersalin.
Breech presentation ini berupaya untuk membawa kepada komplikasi lain yang boleh mengancam nyawa si ibu dan juga si bayi. Antara komplikasi yang berkait rapat dengan keadaan ini, dan berupaya menyebabkan kematian sekitar proses bersalin (perinatal mortality) adalah prolaps tali pusat, asfixia ketika bersalin dan juga kepala bayi tersekat.
Pendarahan pasca-bersalin
Pendarahan pasca-bersalin adalah salah satu komplikasi yang cukup digeruni oleh pakar perubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), keadaan ini adalah punca kematian utama ibu di dunia, dengan anggaran 35% daripada keseluruhan kematian ibu mengandung disebabkan olehnya. Menurut WHO lagi, dianggarkan seramai 14 juta wanita menghidap PPH setahun, dengan kadar kematian majoritinya berlaku dalam negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Keadaan ini boleh disebabkan oleh beberapa perkara dan akronim yang digunakan untuk pengelasan punca-punca pendarahan pasca-bersalin adalah ‘4T.’ 4T merujuk kepada Tone, Trauma, Thrombin dan juga Tissue. Tone di sini merujuk kepada tona rahim, khususnya ketiadaan tona rahim (uterine atony). Ini adalah punca utama mengapa terjadinya pendarahan pasca-bersalin dan ketiadaan tona rahim menyebabkan ianya tidak mampu untuk mengecut, atau tidak mampu untuk mengecut dengan cepat. Pentingnya untuk ia mengecut adalah untuk menutup kebocoran salur darah selepas uri dipisahkan daripada dinding rahim. Punca di bawah tajuk Trauma pula merujuk kepada mana-mana bahagian sistem reproduktif yang terlibat dalam proses bersalin, yang tercedera sehingga pendarahan banyak berlaku. Tissue pula merujuk kepada uri atau cebisan uri yang mungkin tertinggal di dalam rahim dan tidak habis dikeluarkan. Memandangkan ianya kaya dengan salur darah, kewujudannya dalam rahim secara berterusan akan menyebabkan pendarahan terus-menerus berlaku. Akhir sekali, Thrombin di sini merujuk kepada masalah-masalah atau keadaan kesihatan yang berkait rapat dengan faktor darah pesakit, khususnya jika pesakit mempunyai keadaan kesihatan atau penyakit yang menyebabkan proses penutupan luka dan pemberhentian pendarahan mereka terjejas. Contoh keadaan yang dimaksudkan adalah Haemophilia.
Kekoyakan faraj/perineum darjah tinggi
Kekoyakan perineum akibat proses bersalin adalah sesuatu yang sangat lazim berlaku. Malahan, kekoyakan ini, dalam kebanyakan kes, adalah perlu untuk memudahkan pengeluaran bayi tersebut. Untuk tujuan itu, doktor mungkin akan melakukan guntingan episiotomi bagi membuka ruangan untuk bayi tersebut keluar. Namun yang demikian, kekoyakan perineum melalui guntingan episiotomi adalah sesuatu yang terkawal dan pada darjah koyak yang lebih rendah. Darjah kekoyakan perineum ini terbahagi kepada 4 dan darjah 4 adalah yang paling teruk, membabitkan kekoyakan yang mencapai lapisan epitelium anus, sehingga terbentuknya laluan antara epitelium faraj dan juga epitelium anus.
Untuk kekoyakan darjah satu atau dua, komplikasi jangka masa panjang adalah sangat jarang berlaku. Untuk kekoyakan perineum darjah tiga dan empat pula, 60 hingga 80% daripada wanita tidak mengalami apa-apa simtpom atau komplikasi dalam masa 12 bulan pertama. Komplikasi yang mungkin berlaku adalah tidak lawas membuang air besar, rasa sakit di bahagian tersebut ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan dan juga rasa sakit perineum yang kronik. Namun yang demikian, walaupun tidak lazim keterjadian komplikasi-komplikasi ini, ianya boleh kekal selama-lamanya pada pesakit, khususnya rasa sakit kronik di bahagian perineum.
Bagaimana untuk mengurangkan darjah kekoyakan faraj yang tinggi ketika bersalin?
Beberapa faktor yang meningkatkan risiko koyakan vagina yang teruk termasuklah berat bayi berlebihan, bayi dilahirkan pada kedudukan posterior (muka), episiotomi, waktu bersalin yang lama dan penggunaan alat bantuan waktu bersalin, terutamanya alat forsep. Pun begitu, risiko tersebut boleh dikurangkan melalui beberapa langkah untuk anda cuba:
Kekal sihat – Amalkan diet yang sihat demi memastikan bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk tisu kulit anda menjadi kuat dan fleksibel. Bersenam secara konsisten untuk membina dan mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular dan otot yang kuat bagi membolehkan anda mempunyai kekuatan dan stamina semasa waktu untuk meneran. Senaman pranatal yang disyorkan termasuk Yoga, senaman Kegel, dan berjalan kaki. Si ibu juga harus belajar teknik pernafasan untuk mencegah tekanan semasa bersalin. Adalah penting untuk mengekalkan berat yang sihat sebelum dan semasa hamil kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya koyakan vagina.
Urutan perineum – Ibu hamil disyorkan untuk cuba melakukan urutan perineum (kawasan faraj/vagina hingga dubur) sekali atau dua kali sehari dari minggu ke-34 kehamilan dan seterusnya. Cara paling berkesan adalah dengan menggunakan pelincir kulit seperti minyak mineral, vitamin E atau minyak kelapa. Urutan perineum adalah cara yang cepat dan mudah untuk meningkatkan fleksibiliti lantai pinggul anda. Dengan itu, anda dapat mengurangkan risiko berlaku koyakan teruk.
Menggunakan alat Epi-No – Kaedah ini melibatkan kemasukan alat boleh kembung seperti belon ke dalam vagina seminggu sebelum bersalin untuk memastikannya meregang pada tahap tertentu untuk meningkatkan fleksibiliti. Walaupun mungkin kedengaran aneh, tetapi kaedah ini telah terbukti lebih berkesan dan lebih selesa untuk ibu hamil berbanding penggunaan urutan perineum tradisional.
Pastikan perineum anda hangat – Suhu hangat meningkatkan aliran darah, melembutkan dan mengendurkan tisu kulit pada bahagian yang dihangatkan. Sebelum bersalin, anda boleh meminta bidan menekan tuala hangat dan basah dengan lembut pada kawasan tersebut atau anda boleh bersalin dalam tab mandi yang mengandungi air suam atau sedikit hangat.
Persediaan untuk melalui kelahiran normal
Kebanyakan ibu yang sedang hamil akan berasa risau mengenai apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dilakukan sebelum melahirkan bayi dan ini adalah normal. Jika anda bercadang untuk bersalin secara normal, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
Ketahui peringkat kelahiran
Peringkat kelahiran adalah berbeza mengikut individu. Tiada siapa yang mampu untuk menjangkakan tempoh peringkat kelahiran mereka. Walau bagaimanapun, anda tetap akan mengalami tiga peringkat ini semasa proses kelahiran bayi:
Fasa pertama: Peringkat ini bermula apabila otot-otot rahim anda mula mengecut, mengecil dan kemudian relaks yang akan membantu membuka serviks agar bayi boleh melalui saluran kelahiran. Fasa pertama ini boleh berlangsung dalam tempoh beberapa jam atau berhari-hari. Anda juga akan mengalami kontraksi aktif yang bertahan dalam masa beberapa minit.
Fasa kedua: Peringkat ini bermula apabila serviks anda diluaskan dan anda menolak bayi anda keluar.
Fasa ketiga: Peringkat ini adalah apabila bayi anda telah lahir. Kontraksi masih akan berlaku sehinggalah plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Melahirkan bayi sememangnya satu proses atau prosedur yang akan mendatangkan kesakitan kepada para ibu. Namun begitu, selain berzikir, beristighfar dan membaca doa mudah bersalin, terdapat teknik lain yang yang boleh anda lakukan, misalnya hypnobirthing.
Dicipta oleh seorang pakar hipnoterapi dari Harvard University Ford Foundation iaitu Marie “Mickey” Mongan, hypnobirthing adalah sejenis teknik meditasi yang dilakukan oleh ibu hamil untuk tujuan melahirkan bayi dengan lebih mudah. Teknik ini dilakukan dengan menggunakan metode hipnosis bagi membantu ibu hamil berasa lebih relaks secara mental, fizikal dan rohani. Selain itu, teknik ini juga dilakukan untuk membantu mereka melawan perasaan takut dan mengurangkan rasa sakit serta rasa letih ketika melahirkan bayi. Berbanding menggunakan perkataan seperti sakit atau letih, teknik ini akan menggantikannya dengan perkataan tekanan. Kontraksi pula akan digantikan dengan perkataan seperti pusuan atau gelombang.
Teknik ini akan melibatkan penggunaan muzik, visual, perkataan dan pemikiran yang positif untuk tujuan merelakskan badan, mengawal pernafasan serta sensasi ketika melahirkan bayi. Ia boleh dilakukan secara sendiri atau mendapatkan bantuan daripada pakar hipnoterapi. Namun begitu, mereka ini mungkin tidak akan berada di sisi ketika proses bersalin hampir dekat, oleh itu, anda disarankan untuk mempelajarinya sendiri.
Uruskan bulu ari-ari anda
Ketika sedang hamil, adalah normal untuk anda bimbang terhadap pengurusan bulu ari-ari anda terutamanya jika ini adalah kehamilan yang pertama. Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran. Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin. Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum diwadkan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.
Hadiri kelas-kelas melahirkan bayi
Selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah melahirkan bayi, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi. Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin. Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda. Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:
-Tanda-tanda kelahiran
-Progres kelahiran yang normal
-Teknik menghadapi kesakitan
-Bagaimana pasangan anda boleh membantu
-Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat
-Tanpa mengira keputusan anda untuk bersalin di rumah, di pusat bersalin atau hospital, perkara-perkara asas ini akan membantu anda bersedia untuk bersalin secara normal.
-Anda juga boleh menghadiri kelas agama berkaitan proses bersalin. Kelas seperti ini akan mendidik anda tentang bersuci serta tip-tip dan doa mudah bersalin bagi memudahkan proses kelahiran.
Doa mudah bersalin serta aspek spiritual lain yang boleh membantu semua wanita yang mengandung inginkan proses bersalin yang lancar serta selamat. Untuk seorang muslim, doa adalah senjata utama mereka dalam mengharungi pancaroba kehidupan. Justeru, mengamalkan doa mudah bersalin dan amalan-amalan lain adalah digalakkan bagi mendapatkan proses bersalin yang mudah.
Terdapat dua jenis doa yang dianjurkan oleh alim ulama dan ahli agama yang sesuai dijadikan amalan, ia bukan sahaja boleh digunakan sebagai doa mudah bersalin, bahkan doa untuk memperoleh keselamatan dan zuriat yang baik. Koleksi doa mudah bersalin ini boleh dibaca oleh ibu yang menunggu saat melahirkan anak dan oleh mereka yang menunggu kelahiran bayi seperti suami atau ibu bapa. Senarai doa mudah bersalin di bawah ini adalah berdasarkan ayat-ayat daripda kitab suci Al-quran.
Doa mudah bersalin yang boleh ibu amalkan ketika ingin bersalin
“Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, apa yang kurang sempurna, dan apa yang bertambah dalam rahim. Dan setiap sesuatu ada kadar ukuran di sisi-Nya.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 8)
“Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah kemudian daripada air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dalam pengetahuan-Nya. Dan tidak dipanjangkan umur seseorang dan tidak pula dikurangkan umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Luh Mahfuz). Sesungguhnya, yang demikian itu mudah bagi Allah.” (Surah Al-Fatir, ayat 11)
“Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah Al-Nahl, ayat 78)
Doa mudah bersalin yang dibaca oleh orang menunggu ibu bersalin (suami sangat digalakkan baca doa ini)
“Allah menginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu” (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
“Tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan, melainkan dalam pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Fatir, ayat 11)
“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya.” (Surah Al-Zalzalah, ayat 1-2)
InsyaAllah, jika sering diamalkan, doa mudah bersalin di atas mampu untuk memberi kekuatan kepada anda dan juga keluarga anda. Doa mudah bersalin di atas juga dapat dijadikan sumber pahala dan taqwa kepada tuhan. Kalau anda sedang menunggu hari untuk bersalin, belajarlah menjadi lebih positif untuk melalui pengalaman melahirkan anak.
Sememangnya, ianya adalah pengalaman yang ditakuti oleh semua wanita hamil tetapi pahala daripada-Nya pasti diberikan kepada si ibu.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI