Susu lebat dan stok mencukupi selepas cuti bersalin adalah menjadi impian setiap ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu.
Puas sudah Anis memerah tetapi penghasilan susunya semakin sedikit. Stok susu ibu perahan menyusut ekoran pengumpulan susu di pejabat yang semakin sedikit. Dahulu boleh mengumpul 20oz sehari, kini hanya mampu mengumpul 10oz atau kurang. Anis cukup risau jika perkara ini berlarutan kerana tempoh penyusuan eksklusif kepada bayinya masih panjang.
Mungkin ada yang mengalami situasi yang dialami Anis. Tambah-tambah lagi bagi ibu yang ingin menyusu eksklusif selama enam bulan, 8 tip ini amat berguna untuk anda.
Menurut kaunselor laktasi, Faliyana Muda, kebanyakan ibu mengalami masalah untuk memerah payu dara setiap tiga hingga empat jam sekali apabila mula bekerja. Ia lazimnya dialami selepas cuti bersalin kerana tuntutan tugas dan kekangan masa. Hal ini dan beberapa faktor lain berkemungkinan besar menjadi penyebab penghasilan susu oleh payudara menjadi perlahan dan sedikit.
Menyedari risiko penghasilan susu yang bakal menjunam selepas kembali bekerja ibu-ibu yang menyusukan perlu lebih kreatif dalam menangani isu ini menggunakan pelbagai kaedah.
Elakkan daripada merasa perlunya tempat spesifik untuk memerah.
Gunakan kemudahan yang ada seperti nursing cover yang boleh menutup bahagian dada ketika memerah. Maka sesi memerah tidak dirasakan sesuatu yang membebankan ibu-ibu kerana boleh memerah di mana sahaja.
Menggunakan peralatan bantuan memerah seperti Freemie iaitu alat untuk menakung susu ibu yang boleh digunakan dengan mana-mana pam yang mempunyai tubing. Dengan adanya alat ini dan pam payudara yang boleh dicas, proses memerah masih boleh dilaksanakan dengan bebas tangan semasa ibu bekerja.
Emosi cemas dan tertekan perlu dijauhi sebaliknya cari jalan penyelesaian dengan tenang. Misalnya sekiranya tidak boleh memerah kerana suntuk masa atau perlu berkursus, cuba cari jalan untuk melakukannya dengan cara lain. Misalnya memerah semasa berkursus tanpa perlu ke surau dengan cara memakai nursing cover, jaket atau menutupnya dengan tudung.
Lakukan stimulasi pada payudara. Perlu difahami penghasilan susu bergantung kepada supply and demand. Permintaan tinggi akan menyebabkan penawaran (penghasilan susu) meningkat. Cara untuk mengelakkan penghasilan susu ibu merudum ialah dengan sentiasa memberi stimulasi payu dara sama ada dengan menyusu secara terus ataupun memerah.
Wujudkan sesi memerah yang konsisten setiap tiga jam sekali dan jangan hanya memerah apabila merasa payudara sudah penuh. Sesi perahan yang dilakukan bukan semata-mata untuk mendapatkan susu ibu perahan tetapi adalah satu cara memberi signal kepada otak supaya menghasilkan lebih banyak susu. Proses untuk menghasilkan susu baru tidak akan nampak dalam jangka masa singkat. Perlu diketahui, sekiranya hari ini ibu menambah sesi perahan,peningkatan penghasilan susu tidak akan dapat dilihat keesokannya. Ia akan mengambil masa seminggu atau dua minggu bergantung kepada individu.
Dapatkan sokongan daripada orang terdekat seperti suami, ibu bapa, rakan-rakan, adik beradik, pengasuh dan majikan. Beri penjelasan dan penerangan kepada orang di sekeliling supaya mereka memahami dan menyokong amalan penyusuan susu ibu yang sedang anda lakukan.
Fikirkan yang indah dan keseronokan semasa memerah. Tinggalkan segala masalah buat seketika. Relaks dan perahlah payu dara dengan gembira. Tatap gambar dan video bayi anda semasa memerah bagi membantu hormon oksitosin iaitu hormon kegembiraan yang membantu penghasilan maka susu bertambah. Elakkan stres kerana ia boleh menyebabkan penghasilan susu merosot.