Episiotomi ialah guntingan yang dilakukan oleh doktor pada kulit dan otot antara vagina dan anus. Tujuannya untuk melebarkan lalu kelahiran bayi. Biasanya doktor akan memberikan bius lokal sebelum episiotomi. Namun dalam keadaan kecemasan, episiotomi boleh dilakukan tanpa bius.
Sebelum meninggalkan wad bersalin, kebanyakan ibu yang bersalin secara normal tetapi menggunakan kaedah episiotomi bagi memudahkan kelahiran, pasti diberi penerangan tentang penjagaan luka tersebut.
Tip penjagaan luka episiotomi yang diberikan oleh doktor atau jururawat berkenaan seharusnya diikuti agar ia mudah sembuh tanpa sebarang risiko jangkitan. Dalam menjaga luka episiotomi, anda disarankan untuk mengamalkan beberapa langkah penting untuk menggalakkan penyembuhan segera.
Tukar tuala wanita setiap dua hingga empat jam atau apabila ia sudah basah sepenuhnya oleh darah nifas.
Cuci hingga bersih kawasan perineum setiap kali selepas membuang air kecil atau besar.
Sentiasa memastikan kawasan tersebut kering dan bersih.
Menyapu larutan antiseptik yang dibekalkan pada tempat jahitan dua hingga tiga kali sehari.
Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dapat menggalakkan proses penyembuhan luka. Antaranya ialah mengambil sebiji buah oren sekali sehari.
Kebanyakan ibu lepas bersalin mengakui luka episiotomi pulih tanpa masalah berbangkit. Kesan bengkak dan lebam biasanya pulih selepas beberapa hari dan jahitan selalunya akan pulih dalam tiga hingga empat minggu selepas kelahiran. Perlu diingatkan agar anda mendapatkan rawatan segera sekiranya luka berbau, menyakitkan dan tidak sembuh. Berkemungkinan berlaku jangkitan pada bahagian berkenaan.
Dalam pada itu, diakui anda mungkin mengalami kesakitan di bahagian berkenaan di samping berasa tidak selesa. Ada kalanya, ia boleh membataskan pergerakan. Berikut adalah apa yang boleh anda lakukan untuk melegakan kesakitan itu
1. Memakai pakaian longgar seperti kain batik atau skirt.
2. Meletakkan atau menuam pek ais pada tempat jahitan untuk meredakan bengkak dan kesakitan terutamanya semasa 24 jam pertama.
3. Ubat analgesia seperti Ponstan atau Ibuprofen boleh mengurangkan kesakitan.
5. Jika mengalami sembelit, anda digalakkan untuk mengambil pelembut najis.