“Kalau Pergi Ke Mana-Mana Pun Pasti Berdua…”- Empat Beradik Sekelip Mata Jadi Yatim Piatu Undang Pilu!
Perpisahan abadi dengan insan tersayang adalah sesuatu yang perit untuk diterima. Apatah lagi andai ujian kehilangan ini dirasai oleh anak-anak kecil yang kehilangan ibu dan ayah yang selama ini menjadi tempat bergantung harap.
Membayangkan nasib anak-anak yang ditinggalkan, nyata mengundang sedih dan pilu dihati orang sekeliling. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.
Begitu juga halnya bagi adik Muhammad Amirul Ikhwan Ridzuan, 17, Muhammad Alif Irfan, 15; Nurin Alya Iwanie, 12 dan Muhammad Ridz Danial, 5 telah menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu dan ayah mereka terlibat dengan kemalangan jalan.
“Dalam sekelip mata, kami empat beradik jadi yatim piatu tetapi sebagai abang, saya perlu kuat demi adik-adik dan takkan berpisah dengan mereka,” kata Muhammad Amirul Ikhwan Ridzuan, 17 selaku abang sulung.
Memetik berita Harian Metro, difahamkan Muhammad Amirul Ikhwan adalah anak sulung pasangan suami isteri, Ridzuan Salleh @ Ramli, 42, dan Rosmawati Ismail, 39, yang maut selepas motosikal berkuasa tinggi Benelli TNT dinaiki melanggar belakang trak tentera di Kilometer 87, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di Gurun, semalam.
Ridzuan yang melecur dan mengalami kecederaan di badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Rosmawati meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini semalam.
Menurut Muhammad Amirul, ketika kejadian ibu bapanya dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Permai Utama, Jeniang di Gurun menuju ke HSAH untuk menziarahi nenek mereka yang sakit.
Katanya, dia yang ketika itu berada di tempat tuisyen di Guar Chempedak, terkejut apabila dimaklumkan rakannya yang ibu bapanya terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia.
“Awalnya saya dapat tahu cuma abah meninggal manakala ibu pula dimasukkan ke Unit Kecemasan HSAH dan tak lama kemudian dapat berita ibu pula meninggal.
“Memang terkejut tapi saya kena kuat demi adik-adik apatah lagi saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik.
Tunai Amanat Ibu
Muhammad Amirul berkata dia akan menjaga adik-adiknya, Muhammad Alif Irfan, 15; Nurin Alya Iwanie, 12 dan Muhammad Ridz Danial, 5, malah tidak akan berpisah walau apa yang terjadi.
Muhammad Amirul Ikhwan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Enggang, Batu 5, Sik berkata, dia akan sentiasa ingat amanat ibunya supaya menjaga adik-adik dengan baik dan sentiasa menjaga solat lima waktu.
“Semalam, sebelum kejadian abah sibuk mengemas rumah sebab dia nak buat kolam depan rumah tapi tak sempat siap, mungkin itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
“Abah dengan ibu memang tak pernah berpisah. Kalau pergi ke mana-mana pun pasti mereka akan pergi berdua dan mati pun bersama,” katanya.
Muhammad Amirul Ikhwan berkata, setakat ini adik bongsunya paling terasa sedih di atas pemergian ibu bapa mereka kerana dia paling rapat dengan bapanya.
Ridzuan anggota tentera bertugas di Kem Hobart, Jeniang manakala Rosmawati berniaga secara dalam talian.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Segantang Garam di Merbok petang ini sebaik selesai bedah siasat dia Jabatan Forensik HSAH.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan masih diteruskan setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian jam 2.20 petang semalam berlaku apabila motosikal dinaiki suami isteri itu yang dari arah Alor Setar menghala ke arah Butterworth melanggar belakang trak tentera.
“Impak perlanggaran yang kuat itu menyebabkan motosikal yang ditunggangi pasangan terbabit terbakar di tengah laluan jalan,” katanya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI