Setiap orang punya ujian dan dugaan yang berbeza-beza. Meskipun tidak diuji dengan kesusahan, kesenangan itu sendiri juga merupakan ujian untuk kita membantu orang-orang yang memerlukan.
Dalam satu perkongsian yang dibuat oleh Zairul Eizam cukup menyentuh hati. Dalam perjalanan di sebuah lebuh raya, dia terserempak dengan sepasang OKU yang hanya bermotorsikal membawa dua orang anak yang masih kecil.
Pasangan tersebut meredah lebuh raya dari Ampang menuju ke rumah mereka di Bukit Subang selepas mendapatkan rawatan daripada Hospital Ampang bayi mereka mempunyai masalah pendengaran. Lebih menyedihkan anak yang sulung juga walaupun nampak mempunyai masalah speech delay.
Dua kali saya menangis dengan asbab yang berlaku. Luluh hati.
Sekitar waktu maghrib semalam, tengah laju bawa motor dekat Highway Guthrie, perasan ada satu motor ni menunggang macam tak stabil. Dalam hati apa ke halnya ni. Bahaya betul.
Sepintas lalu, saya toleh ke sebelah kiri. Sepasang suami isteri dengan seorang kanak-kanak di depan penunggang dan ada sepasang kaki terjulur di antara pembonceng belakang.
“Allahu, ada baby”.
Saya terus berhenti tepi dan menyonsang ke belakang, pergi ke arah motor tadi. Dalam hati, Ya Allah, nasib tak jadi apa-apa. Kalau sebab tak stabil, boleh jatuh motor tu.
“Bang, kenapa ni”. Tanya saya.Terpinga-pinga nak jawab soalan. Lantas si isteri tadi, bagi bahasa isyarat yang mereka tak boleh bercakap.
Tersepak di lamunan. Pasangan suami isteri ini OKU Pendengaran. Mereka hanya mampu berbahasa isyarat. Saya ke arah tayar belakang. Rupanya angin tayar kurang.
Terus dapat idea, saya keluarkan handphone dan taip apa yang berlaku. Kemudian saya tanya rumah di mana. Si isteri yang sedang kendong baby, cuba membalas soalan saya.
“Bukit Subang”.
Kebetulan ada pakcik turut sama bantu dan bagi cadangan supaya tukar motor. Saya bawa motor mereka dan mereka sekeluarga naik motor saya. Terus setuju, sekurang kurangnya, mereka selamat sampai ke rumah. Pak cik tu sempat hulur not 10 pada si suami.
Saya tonjol dari belakang sampailah ke Caltex Denai Alam untuk bantu isi angin tayar. Sempat juga saya tanyakan pada si isteri kerja di mana.
Yelah saya beranggapan, mungkin mereka bekerja dan hantar ke rumah pengasuh yang berdekatan dengan tempat kerja. Tapi sangkaan saya meleset. Jawab si isteri,
“Tak kerja. Kami dari Hospital Ampang. Check up baby. Ada masalah hearing”.
Terus saya menangis. Berkata dalam hati. Apa Tuhan nak tunjuk pada aku ni. Saya terus taip di Whatsapp, nyatakan bagi saya bawa motor si suami ni, sampai ke rumah. Mereka bersetuju.
Bila mana saya nyatakan begitu, si isteri dan suami tadi mengalirkan air mata. Mungkin merasakan sesuatu yang tidak disangka-sangka. Mereka juga maklum, anak sulung, sempurna tapi ini speech delay. Tak semena-mena saya sekali lagi menyeka air mata melihat si ibu mengendong Nur Jannah dan si ayah memimpin Muhammad Ziyad Wafi.
Kawan-kawan, jika datangnya peluang untuk kita bantu, kita cepat-cepat hulurkan bantuan. Yakinlah. Dengan kudrat yang kita ada, waimah dengan berkongsi entri ini atau berkongsi wang ringgit yang ada ianya akan memudahkan urusan dan tugasan keluarga ini.
12234020181048 – Bank Islam (Zubair Mohammad)
0129414966 – En. Zubair Muhammad
Facebook – Zubair Muhammad
Selain tu, saya lampirkan foto dan video untuk tontonan kalian semua. Terima kasih. Moga Tuhan permudahkan segala urusan dan tugasan kita semua.
Dalam perkongsian terbaru Zairul di Facebooknya juga, dia turut membantu menguruskan beberapa hal berkaitan pasangan ini termasuklah urusan rawatan anak pasangan ini yang telah ditukarkan ke Hospital Sungai Buloh. Selepas ini mereka tidak perlu lagi ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: Zairul Eizam