“Kalau Tahu, Aku Bagi Kau Kahwin Dengan Dia.” Isteri Sedih, Ibunya Selalu Hina Suami

Share

Restu dari seorang ibu ayah sangat penting sebelum kita mendirikan rumah tangga. Doa mereka mengiringi sepanjang perjalanan rumah tangga kita. Jika yang baik-baik didoakan, bahagialah kita selamanya. Bukan mudah untuk menjadi menantu yang baik, tetapi usaha berterusan akan membuktikan keikhlasan kita.

Walaupun begitu, kadang-kadang ada juga ibu ayah yang sengaja mencari salah. Tak tahu di mana silapnya, semua benda serba tak kena. Seperti yang diceritakan oleh wanita ini tentang kisah ibunya yang selalu memandang rendah pada suaminya.

Ikuti perkongsiannya ini.

Assalamualaikum semua pembaca Pa&Ma. Pertama sekali, terima kasih admin kerana menyiarkan pengakuan saya ini. Saya buntu, tak tahu nak berkongsi cerita ini dengan sesiapa. Diharapkan selepas kalian membaca coretan ini, dapatlah membantu saya. Beri saya kekuatan untuk menghadapinya.

Saya kenalkan diri, nama saya Aishah. Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki. Suami saya, Khairil, seorang yang sangat baik. Selama tiga tahun kami berkahwin, tak pernah sekalipun dia menyakiti hati saya. Dia selalu membantu dan peka dengan perasaan saya. Saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat bertimbang rasa.

Masalahnya, suami saya tidak disukai ibu saya. Memandangkan suami adalah menantu yang paling ‘sengkek’ bak kata ibu saya. Suami saya kerja biasa-biasa saja, tak seperti birasnya yang lain. Khairil bekerja di sebuah restoran pada waktu malam. Pada waktu siang pula, dia buat kerja-kerja kebun di sebuah sekolah.

Pendapatannya tidak seberapa tapi Khairil rajin berusaha. Bila hari minggu, dia akan minta saya buat kuih dan dijual di pasar minggu. Memandangkan saya suri rumah, saya tidak kisah untuk membuatnya. Saya tahu Khairil mencuba untuk menyediakan yang terbaik untuk keluarga kecil kami.

Yang saya tak sanggup, bila balik ke kampung. Walaupun tak banyak duit, tapi dia akan pastikan duit belanja untuk ibu dan ayah saya mesti ada. Biarpun cuma RM50 untuk setiap seorang. Tapi itulah yang selalu ibu saya ungkitkan.

“Suami kau yang selalu bagi paling sikit. Buat 2-3 kerja tapi kedekut. Kalau aku tahu lah dia macam tu, aku tak izinkan kau kahwin dengan dia dulu. Anak-anak aku yang lain semua senang, kau je yang hidup susah.”

Itulah yang ibu saya cakap. Depan Khairil pula tu. Memang kasihan tengok dia, terkulat-kulat. Tapi tetap dia senyum pada ibu, tak pernah buat muka. Kalau keluar, dia selalu belikan barang dapur untuk rumah ibu. Tapi itulah, bila part duit belanja, ibu saya selalu ungkit Khairil bagi sikit sangat.

“Takpe sayang. Ibu ni pembawa rahmat dalam hidup kita. Jangan sedih bila Mak hina-hina Abang. Dia dah tua, kita layankan je. Dia nak marah Abang ikutlah, janji dia selalu doakan kita.” Itulah yang suami saya selalu cakap setiap kali saya menangis mengenangkan sikap ibu saya yang selalu memalukan suami saya.

Ada sekali tu, waktu bulan puasa. Kami balik ke kampung dan suami punyalah excited nak hadiahkan ibu saya kain pasang. Dia yang pilih sendiri dan beli yang mahal untuk ibu saya. Bila dah bagi pada ibu, terperanjat saya dibuatnya.

Bayangkan depan adik-beradik saya yang lain, dia boleh kata dia tak mahu kain tu. Kain murah, gatal nanti kulit kalau dibuat baju. Ya Allah, sedihnya saya waktu tu hanya Tuhan yang tahu. Saya tengok muka Khairil menahan malu. Abang sulung saya terus tarik dia keluar. Saya tahu abang sulung pujuk Khairil. Terima kasih, Along!

Sebenarnya adik-beradik dan pasangan mereka tak adalah berperangai buruk. Semuanya baik-baik. Mereka layan Khairil pun elok. Tak pernah hina Khairil. Tak tahu lah kenapa ibu saya je yang benci sangat dengan Khairil. Ada saja yang tak kena.

Tolonglah, apa yang perlu saya buat? Saya nak ibu saya terima Khairil macam mana dia sayangkan menantunya yang lain. Walaupun Khairil berkecil hati dengan ibu, dia tetap benarkan saya pulang ke kampung. Dia sendiri yang selalunya teruja nak balik ke rumah ibu. Mungkin sebab dia anak yatim, ibunya dah lama meninggal dunia, jadi dia nak menumpang kasih.

Saya minta kalian yang membaca luahan saya ini dapat doakan supaya ibu saya berubah. Semoga ibu dapat terima Khairil suatu hari nanti. Saya nak sangat tengok ibu sayangkan Khairil seperti mana dia menantunya yang lain. Terima kasih semua sebab sudi baca coretan ini.

Sekiranya anda mahu berkongsi cerita atau pengalaman menarik, boleh klik KONGSI CERITA.

Published by
Emy H