Bersalin secara pembedahan kedengaran mengerikan kerana ramai bimbang tentang cara yang betul menjaga luka jahitannya. Untuk makluman anda, sebenarnya, luka pembedahan caesarean dan luka semasa bersalin normal, tidak jauh beza daripada segi rawatan dan penjagaannya.

Kedua jenis luka bersalin ini menyakitkan dan perlu dijaga dengan baik kerana terdapatnya risiko jangkitan kuman jika tidak dirawat dan dijaga dengan sempurna.

Lakukan pergerakan daripada awal

Menurut kajian, pergerakan yang dilakukan selepas menjalani pembedahan major boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka. Malah, pada masa yang sama, ia turut mengurangkan risiko darah daripada menjadi beku.

Jarang sekali benang jahitan terbuka sekiranya anda bergerak. Walau bagaimanapun, dapatkan bantuan jururawat atau ahli keluarga apabila anda mahu bangun daripada katil atau bergerak selepas pembedahan. Malah, beberapa hari awal setelah kelahiran anda masih memerlukan bantuan untuk bergerak.

Ambil makanan berzat

Tubuh kehilangan bendalir, mineral dan protein semasa proses kelahiran. Jadi, anda perlu menggantikannya untuk kembali sembuh. Makan makanan yang mengandungi banyak protein seperti daging, ayam, ikan dan buah-buahan kerana ia kaya dengan mineral.

Sayur- sayuran pula kaya dengan vitamin. Lobak merah mengandungi antioksidan berupaya membuang toksin dalam tubuh. Brokoli pula ada zat besi yang mampu meningkatkan tahap hemoglobin.

IKLAN

Minum air secukupnya

Air adalah agen pembuang toksin dalam tubuh. Kekurangan air boleh menyebabkan anda mengalami sembelit dan menyukarkan proses perkumuhan. Keadaan ini akan memberikan tekanan pada perut dan luka pembedahan yang boleh menyebabkan anda berasa sakit. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas sehari tetapi diambil sedikit demi sedikit dalam satu-satu masa.

Ambil suplemen

Semasa pembedahan, anda kehilangan darah yang banyak iaitu dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada ibu yang bersalin secara normal. Kehilangan darah ini menyebabkan perjalanan oksigen ke sel tubuh berkurangan lalu menyebabkan luka lambat sembuh.

Amalan memakan suplemen zat besi dan multivitamin dapat meningkatkan paras hemoglobin dalam tubuh dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan.

Makan pil penahan sakit

Sakit keterlaluan menyebabkan anda tidak selesa dan mengurangkan keinginan untuk menyusukan bayi dan bergerak. Dapatkan ubat penahan sakit yang secukupnya bagi memastikan anda berasa selesa dan lebih senang bergerak.

IKLAN

Menyusu susu ibu eksklusif

Menyusu susu ibu terbukti dapat menyembuhkan luka dengan cepat. Setiap kali menyusu, tubuh akan mengeluarkan hormon oksitosin yang membantu proses pengecutan rahim dan mengurangkan risiko tumpah darah.

Terdapat posisi penyusuan khusus untuk ibu caesarean menyusukan anak. Jadi, pelajari dan praktikkan agar anda dan bayi sama-sama selesa sepanjang sesi penyusuan berlangsung.

Pastikan luka kering dan bersih

Untuk tempoh masa tertentu, biarkan luka terdedah kepada udara selepas anda mandi. Paling tidak pun, gunakan alat pengering rambut untuk mengeringkan bahagian berkenaan. Jangan sesekali menggaru luka atau menyapu sebarang jenis ubat tanpa mendapat saranan daripada doktor. Dibimbangi ia boleh menyebabkan risiko jangkitan kuman.

Memakai bengkung

Anda boleh menggunakan khusus untuk ibu bersalin caesarean jika mahu. Ia selamat dan digalakkan untuk digunakan bagi mengurangkan kesakitan di bahagian pembedahan terutamanya semasa batuk dan bersin.

IKLAN

Perut anda juga mudah kempis kerana ia bertindak mengurangkan angin di dalam usus. Ia juga menolong mengurangkan sakit belakang dengan memberikan sokongan pada tulang belakang.

Hindari aktiviti menyakitkan

Aktiviti seperti menaiki tangga atau membongkok boleh menimbulkan kesakitan. Jadi, cuba elakkan daripada melakukan aktiviti tersebut sekurang-kurangnya satu minggu selepas pembedahan.

Elak ubatan tradisional

Tidak semua ubat tradisional selamat. Ada sesetengahnya boleh memberikan kesan sampingan seperti mengganggu proses pengecutan rahim dan boleh menjadi punca pendarahan faraj yang banyak. Ada pula yang mengandungi bahan kimia yang boleh memberikan tekanan kepada buah pinggang. Jika mahu mengamalkan ubat tradisional, dapatkan nasihat doktor dahulu.

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI