Kalau Tak Mahu Anak Cakap Menipu, Mak Ayah Jangan Berjanji Kosong

Share

“Mummy janji kalau abang dengar cakap, nanti mummy beli aiskrim”. Pernah tak anda dalam situasi ini apabila berjanji dengan anak.

Janji adalah perkara yang perlu diambil berat oleh semua orang. Kita tidak boleh cakap janji sahaja sedangkan tak menunaikannya. Begitu juga dalam keadaan di mana kita berjanji dengan anak, mereka juga akan ingat dan pasti menuntut janji tersebut. Selagi tidak dapat, selagi itulah mereka akan tanya berulang kali.

Dalam skop janji ini, kita tidak boleh ambil mudah kerana ia akan terkena pada diri sendiri apabila anak mula tidak mempercayai apa yang diperkatakan oleh ibu bapanya. Adakah kita mahu keadaan ini berlaku?

Janji yang tidak ditepati akan mengelirukan anak-anak dan membentuk karakter anak itu apabila mereka meningkat dewasa nanti. Tak mustahil anak juga tidak akan menepati janji kerana menganggap janji itu hanya sekadar keluar dari mulut sahaja.

Janji Hadiah/Ganjaran

Apabila berjanji nak bagi hadiah pada anak, ibu bapa perlu ambil serius mengenai perkara ini. Contohnya, “kalau kakak dapat markah yang baik dalam peperiksaan nanti ayah beri set pensel warna yang besar.”

Sebagai ibu bapa kita jangan berjanji kosong pada anak. Kita kena tahu janji yang dibuat dengan anak biarlah ikut kemampuan diri. Perlu pegang pada janji kerana anak-anak dah tetapkan dalam fikiran mereka mengenai apa yang diperkatakan.

Elakkan berjanji bagai bulan dan bintang sedangkan keadaan ini akan memakan diri kita sebagai ibu bapa. Anak tak akan mengerti kewangan kita. Jadi untuk mengelakkan masalah lain berlaku ada eloknya berjanji perkara yang boleh ditunaikan.

Janji Hukuman  

Janji hukuman antara yang sering diperkatakan oleh ibu bapa setiap kali anak melakukan perkara yang salah. Contohnya “ kalau tak kemas mainan, nanti ayah rotan..”  “Jangan bising, nanti ibu letak dalam bilik gelap”..

Sebenarnya cara kita cakap sebegini adalah janji kita pada anak kalau mereka masih lakukan juga perkara sama. Tidak bermaksud untuk menggalakkan anak menerima hukuman tetapi ia adalah untuk mengajar.

Jika ibu bapa rasa tidak sampai hati untuk buat seperti apa yang dikatakan, usah berjanji sedemikian. Kalau tak anak akan jadi besar kepala dan tak hirau dah. Mereka rasa ibu ayah tak kan buat pun. Cuma cakap je lebih. Ini antara mesej yang ada dalam fikiran mereka.

Kesimpulannya, jika kedua-dua janji ini tidak ditepati, anak akan mula ada perasaan tidak percaya pada kedua ibu bapanya dan ini sesuatu yang mungkin akan jadi lebih serius jika tidak diberi perhatian.

 

 

 

 

Published by
Wan Amy