Makanan merupakan topik yang kompleks tidak kiralah bagi bayi, remaja ataupun orang dewasa. Jika dibuka pada mana-mana laman sesawang jualan yang menawarkan buku khidmat nasihat pemakanan, terdapat lebih daripada 50,000 panduan yang dijual. Banyak kan? Bagaimana pula dengan makanan bagi wanita selepas bersalin? Adakah ia sama seperti pemakanan yang diambil oleh masyarakat setempat setiap hari? Betul ke ada makanan yang tidak boleh diambil oleh wanita selepas bersalin? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai makanan berpantang.
Kenapa perlu berpantang?
Dalam adat orang Melayu, amalan berpantang seringkali dikatakan menyusahkan dan sebahagian daripadanya melibatkan penggunaan wang yang banyak. Mana tidaknya, terdapat pelbagai jenis peraturan yang mesti diikuti seperti berurut, bertungku, bengkung, mandian herba dan pilis di dahi. Gaya pemakanan juga tidak terlepas daripada senarai perkara yang perlu dipantangkan.
Perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan amalan berpantang tersebut tidak bercanggah dengan sistem fisiologi badan adalah bertanyakannya kepada golongan profesional. Jika tidak, sukar untuk anda bezakan sama ada perkara tersebut selaras dengan konsep asas fisiologi atau mitos semata-mata. Banyak je maklumat berkenaan dengan makanan berpantang namun tidak diketahui akan kebaikan sebenarnya atau adakah ia boleh memberikan kemudaratan.
Sebagai contoh, dakwaan bahawa kononnya pengambilan air yang banyak boleh menyebabkan urat di kaki bengkak. Itu merupakan tanggapan pihak yang tidak bertanggungjawab berdasarkan logik dan tidak bersandarkan kepada ilmu sains. Selepas bersalin, wanita perlu mengambil minuman sekurang-kurangnya 3 liter air bagi memenuhi kehendak badan dalam menyediakan susu untuk si manja.
Namun, salah ke jika anda ingin berpantang? Tidak sama sekali. Jika perkara tersebut tidak memudaratkan, anda boleh mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan tradisional yang mungkin menjadi pegangan individu dalam keluarga anda. Makanan berpantang juga baik untuk kesihatan secara umum, namun perlu dilihat juga pada makanan tersebut. Jika ragu-ragu, tanyalah kepada doktor, bukan kepada mereka yang hanya beranggapan semata-mata.
Makanan berpantang bagi wanita
Dalam artikel ini, ada 3 contoh menu makanan berpantang yang boleh diambil bagi mengekalkan nutrisi pada tahap yang optimum.
Nasi putih, ayam bakar, selar singgang, ulam pegaga, serunding ikan bilis halia dan bawang putih rangup
Ads
Menu ini nampak ringkas namun ia mengandungi nutrisi makro dan mikro yang lengkap bagi memastikan anda sihat sepanjang tempoh berpantang. Ayam bakar dan ikan selar singgang dapat memberikan sumber protein sementara nasi putih pula diambil bagi mendapatkan sumber karbohidrat.
Ulam pegaga yang kaya dengan khasiatnya yang tersendiri dapat memberikan vitamin dan mineral yang mencukupi. Ia juga merupakan sumber serat yang dapat merawat atau mengelakkan masalah sembelit yang lazim dialami oleh wanita selepas bersalin.
Jika anda mempunyai masalah berkaitan kewangan, anda boleh pilih di antara ikan selar singgang atau ayam bakar sebagai sumber protein utama. Pastikan jumlah nasi diambil pada kuantiti yang sederhana. Jangan penuh satu pinggan pula.
Nasi putih, sawi stim, siakap stim dan oren sunkist
Menu ini juga mempunyai kandungan nutrisi makro dan mikro yang seimbang sebagai makanan berpantang. Nasi putih merupakan sumber tenaga utama diikuti dengan sawi stim dan oren sunkist yang menjadi sumber serat kepada wanita selepas bersalin. Pengambilan serat bersama dengan karbohidrat berpotensi untuk menyeimbangkan perembesan hormon insulin. Ini dapat membantu wanita mengurangkan berat badan selepas bersalin.
Ads
Ikan siakap stim merupakan sumber pemakanan yang dapat memberikan nutrisi utama yang penting buat perkembangan otak si manja. Ini terutamanya penting bagi ibu yang memberi susu badan kepada anak mereka. Ikan mengandungi sumber Docosahexanoic Acid (DHA), Eicosapentanoic Acid (EPA) dan minyak Omega 3 yang sukar didapati dalam makanan lain.
Namun pengambilan ikan sebagai makanan berpantang perlu dikawal bagi mengelakkan merkuri yang berpotensi untuk membantutkan perkembangan otak si manja. The Food and Drug Administration (FDA), Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) dan The American College of Obstetricians and Gynecologists menyarankan pengambilan makanan laut tidak melebihi 12 auns seminggu.
Sukar untuk kita ukur 12 auns itu banyak mana, jadi bagi mengambil langkah berjaga-jaga, rujuk doktor atau pakar pemakanan anda.
Lamb chop dengan kuah lada hitam dan sayur brokoli serta lobak merah
Bagi yang tidak suka makan nasi, terdapat alternatif lain yang lebih western. Lamb chop dapat memberikan sumber protein yang baik. Sayur-sayuran seperti brokoli dan lobak merah pula dapat memberikan serat dan sumber karbohidrat. Campurkan juga dengan jus oren asli bagi mendapatkan vitamin dan mineral lain. Yang penting, kurangkan pengambilan gula.
Ads
Diet yang tinggi protein dan serat boleh membantu mengurangkan berat badan selepas bersalin.
Persamaan ketiga-tiga menu tersebut
Jika anda sedar, menu makanan yang tersenarai terdiri daripada sumber nutrisi makro dan mikro yang seimbang. Ia juga kurang minyak dan kaya dengan serat yang dapat memberikan kebaikan kepada wanita khususnya dalam usaha untuk mengembalikan berat badan kepada jisim berat badan normal. Jika anda ingin mencuba hidangan lain, pastikan ia terdiri daripada sumber karbohidrat, protein dan lemak yang berkhasiat.
Ikan haruan baik untuk sembuhkan luka bersalin?
Perkara yang sering menjadi punca obsesi doktor terhadap pesakit adalah pemulihan luka bersalin. Tidak kiralah jika anda melahirkan anak melalui czer atau secara normal. Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa pengambilan ikan haruan dalam makanan berpantang boleh mempercepatkan proses pemulihan luka selepas pembedahan namun tiada kajian saintifik yang jelas menunjukkan ia berbuat sedemikian.
Betul ke tiada kajian saintifik? Pada tahun 2016, Dr Ahmad Faroukh Musa, seorang pakar bedah kardiotorasik, telah membentangkan kajian beliau berkenaan dengan potensi kesan pemulihan dengan pengambilan ekstrak ikan haruan setelah pembedahan pada Konferens Reka Bentuk dan Inovasi Antarabangsa bertempat di Kuala Lumpur.
Seramai 183 orang subjek terlibat di dalam kajian beliau sepanjang tempoh 2012 hingga 2014 di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau mendapati bahawa mereka yang mengambil ekstrak ikan haruan mempunyai kadar jangkitan luka yang lebih rendah berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo. Subjek juga mengalami tahap kesakitan yang rendah berikutan peranan haruan dalam memberikan kesan terhadap reseptor kesakitan.
Penggunaan soalan kaji selidik profil kesihatan Nottingham telah mendapati bahawa mereka yang mengambil ekstrak haruan mempunyai perubahan positif daripada sudut tenaga, kesakitan, emosi dan kesan fizikal. Jadi secara keseluruhannya, pengambilan ekstrak haruan dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit selepas menjalani pembedahan.
Konklusi
Apakah makanan yang digemari oleh anda? Perkara penting yang perlu anda ambil kira dalam menetapkan jenis menu berpantang adalah makanan yang digemari oleh anda. Tiada gunanya jika anda benci makan ikan namun keluarga anda menyajikan masakan ikan kepada anda. Itu sedikit sebanyak akan menurunkan selera anda untuk makan seterusnya mempengaruhi aspek penjagaan diri dan anak anda. Jika anda khuatir akan kesan makanan terhadap tahap kesihatan anda, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat perubatan.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Usai sahaja tempoh cuti bersalin tidak kiralah dua bulan ataupun tiga bulan, anda yang bekerjaya kembali bekerja semula. Rutin kerja yang dilalui sebelum ini tentu sahaja berubah.
Hal ini berikutan anda memikul satu lagi tanggung jawab yang membabitkan si kecil yang ditinggalkan di rumah pengasuh. Kehidupan selepas mempunyai bayi kecil pastinya akan membawa perubahan dalam rutin harian anda.
Masa peralihan adalah satu fasa yang tidak mudah untuk dilalui. Tidak mudah, bukan? Rasa stres, risau, dan suasana kelam-kabut pasti akan terjadi.
Disenaraikan cabaran-cabaran yang perlu anda tempuh selepas kembali bekerja. Biarpun begitu, percaya dan yakinlah anda mampu melakukannya. Lama-kelamaan, anda pasti terbiasa dan dapat mengendalikannya dengan lebih lancar setiap hari.
Memilih pakaian bersesuaian
Untuk mendapat mood baru sebelum kembali bekerja, anda pasti mahu satu atau dua pasang pakaian baru untuk ke tempat kerja. Tambahan pula, mungkin baju yang sedia ada tidak sesuai atau membuat anda tidak selesa untuk menjalankan rutin pengepaman payudara. Kini, anda perlu cenderung mendapatkan pakaian yang memudahkan anda mengepam susu.
Selain itu, perubahan fizikal yang dialami mungkin memerlukan anda mendapatkan pakaian baru yang lebih kemas dan selesa untuk digayakan. Barulah anda boleh tampil segak dan berkeyakinan.
Selaraskan masa hantar dan ambil anak
Memandangkan perlu singgah ke rumah pengasuh ataupun Taska untuk meninggalkan bayi, anda perlu bangun awal. Hal ini penting bagi memastikan perjalanan ke tempat kerja berjalan lancar, lebih-lebih lagi jika anda perlu melalui kawasan yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas.
Untuk itu, biasakan diri untuk menyiapkan semua keperluan diri dan anak pada waktu malam sebelumnya. Tempatkan semua keperluan itu berhampiran dengan pintu keluar-masuk rumah anda. Kalau tidak dibuat begini, bimbang anda tertinggal benda-benda yang penting pula.
Selepas habis waktu kerja, anda perlu segera pulang untuk mengambil anak. Setiap minit sangat bermakna kerana bayi anda itu mungkin sedang menunggu untuk menyusu susu ibu secara langsung.
Teringatkan bayi
Hari pertama masuk kerja, pasti anda terkenangkan bayi yang ditinggalkan. Perasaan sebegini memang normal kerana sebelum ini, 24 jam anda bersama bayi.
Bila kali pertama meninggalkan dia untuk dijaga oleh orang lain, tentu akan ada sedikit rasa risau. Untuk mengatasi kebimbangan yang dialami, anda bolehlah menelefon pengasuh tetapi janganlah terlalu kerap pula hingga mengganggu rutin kerjanya.
Rutin mengepam payudara
Anda perlu bijak mengurus kerja dan pada masa yang sama menyelitkan tempoh waktu yang bersesuaian dengan jadual mengepam payudara. Ingat! Anda perlu konsisten mengepam agar bekalan perahan susu ibu mencukupi untuk memenuhi keperluan bayi sepanjang anda meninggalkannya di bawah asuhan orang lain.
Mengantuk semasa bekerja
Ada waktunya, bayi meragam di waktu malam. Secara tidak langsung, ia mengganggu rutin tidur anda. Masalah ini boleh berlaku tidak kira masa terutamanya apabila bayi tidak sihat.
Apa-apa pun, anda masih perlu ke tempat kerja keesokannya dan terpaksa berhadapan dengan masalah tidak bermaya, hilang fokus, mengantuk mahupun pening kepala.
Mudah keletihan
Semua perubahan yang dinyatakan ini pastinya akan menjadikan anda sangat penat. Keletihan yang dirasakan bukan sekadar di pejabat, tetapi juga di rumah. Maklum sahajalah anda perlu uruskan kerja di pejabat dan juga di rumah.
Untuk itu, mintalah pertimbangan suami untuk sama-sama mengagihkan tanggung jawab dalam menguruskan kerja-kerja di rumah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bayi ialah nasal breather. Maksudnya bayi cuma tahu bernafas melalui hidung sahaja. Bila bayi semakin besar, barulah dia belajar untuk bernafas melalui mulut juga.
Sebab tu, bila bayi kecil kena jangkitan selsema dan batuk, mereka merengek teruk.
Bayangkan satu-satunya laluan pernafasan mereka dah tersumbat. Jadi, mereka merengek dan menangis sebab tak dapat bernafas dengan baik.
Untuk bayi pramatang, hidung yang tersumbat tu boleh buatkan mereka jadi biru dan berhenti bernafas.
3 cara ni dapat legakan bayi yang hidungnya tersumbat:
1) Guna Normal Saline Nasal Drop.
Boleh beri 1 titis nasal drop setiap 3-6 jam pada setiap satu lubang hidung bayi.
2) Guna nasal spray seperti Sterimar.
Selepas spray diberi, hingus akan meleleh keluar. Lap hingus yang dah keluar dan baki yang masih ada boleh disedut keluar menggunakan baby nasal aspirator.
3) Pakai baby nasal aspirator.
Nasal aspirator ada dalam pelbagai bentuk. Saya cadangkan beli dan simpan 1 di rumah.
Bila hidung dah tak tersumbat, barulah bayi rasa lega. Tidur pun nyenyak.
Anak ada bakat? Sertai Bakat Cilik Pa&Ma sekarang!! Kalau anak-anak ada bakat hebat, janganlah simpan sendiri. Jom, support mereka dengan menyertai Bakat Cilik Pa&Ma. Rakam aksi anak-anak dengan bakat mereka dan hantarkan kepada Pa&Ma.
Hati ibu mana yang tak sedih tatkala melihat anak yang dilahirkan sihat beberapa bulan lalu, tiba-tiba diuji dengan penyakit yang jarang berlaku sehingga terpaksa bergantung dengan ubat yang boleh memberi kesan sampingan pada si comel ini.
Kisah adik Nur Ainul Mardhiah, 5 bulan pernah dikongsikan oleh ibunya, Norzuzita Abd Rahman pada akhir November lalu apabila melihat keadaan Ainul yang seolah seperti terkejut atau menyentak berulang kali secara tiba-tiba sehingga meleleh air matanya.
Selepas dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, doktor pakar mengesahkan Ainul menghidap penyakit Infantile Spasm. Penyakit ini jarang-jarang berlaku.
Setelah mendapat keputusan penyakit Ainul, doktor dah mula memberi ubat prednisolone tapi lepas makan ubat tersebut, Ainul masih lagi menyentak tapi tak sekerap seperti sebelum ni.
Menurut apa yang diberitahu, doktor akan tengok dulu tindak balas badan Ainul pada ubat ini kerana ia permulaan untuk Ainul menerima ubat tersebut. Walaupun Ainul dibenarkan keluar wad semalam (3 Disember) masih banyak lagi rawatan susulannya.
Ainul juga perlu melalui beberapa prosedur lain iaitu 9 Disember ini ultrasound, 15 Disember janji temu dengan pakar di Hospital Kuala Lumpur dan 25 Disember buat MRI.
Banyak kesan sampingan ubat prednisolone
Apa yang merisaukan hati seorang ibu, apabila doktor memberitahu banyak kesan sampingan ubat prednisolone ni. Antarany kurang antibodi, mudah kena jangkitan kuman, tulang mudah rapuh dan perkembangan jadi lambat.
Ya Allah berat sungguh dugaan untuk anak kecil ibu. Tolong doakan untuk Nur Ainul Mardhiah supaya cepat sembuh dan terus kuat. Ibu tahu anak ibu kuat. Sepanjang berada di hospital pun Ainul tak meragam. Makan ubat semua ok.
Terima kasih pada semua kerana selepas saya berkongsi kisah Ainul, ramai yang mendoakannya cepat sihat. Baru tahu rupanya banyak jenis sawan yang boleh berlaku pada anak kecil ni. Doakan Ainul terus kuat ya!
**Teringin nak dapatkan barangan pada harga hebat, klik di sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.