“Kami Masih Lagi Terkejut.” Anak 2 Tahun Lemas Dalam Besen Di Rumah Pengasuh

Share

Sedihnya Allah saja yang tahu. Kejadian yang berlaku pada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun setelah ditemui tidak sedarkan diri dipercayai lemas dalam besen di rumah pengasuhnya di Batu Maung, Bayan Lepas pada semalam (2 Mac), benar-benar mengejutkan ahli keluarganya.

Mangsa, Sophia Fatehah Wan Farhan Danial dipercayai menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pulau Pinang pada pagi tadi (Rabu).

Kredit: Sinar Harian

Nenek mangsa yang hanya dikenali sebagai Wan berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa cucunya itu selepas menerima panggilan daripada anak lelakinya.

“Ketika dihubungi anak lelaki, saya berada di Taiping. Saya terus bergegas dari Taiping ke Hospital Pulau Pinang selepas mengetahui kejadian ini.

“Kami masih terkejut dengan kejadian ini kerana cucu saya sudah lama berada dalam jagaan pengasuh itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang pada Rabu.

Kredit: Sinar Harian

Difahamkan, mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik yang mana, ibu bapanya bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan telah mengesahkan kejadian tersebut.

Sementara itu, menerusi Public Health Malaysia, ramai dalam kalangan kita masih tak sedar walaupun hanya air dalam baldi yang ditinggalkan dalam bilik air, anak kecil boleh lemas jika tanpa pengawasan orang dewasa.

Tahukah anda, pengasuh atau ibu bapa boleh diambil tindakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 akibat kecuaian mereka. Akta ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pastikan anda mengambil langkah-langkah berikut.
✅ Sentiasa tutup pintu tandas/bilik air
✅ Kosongkan air di dalam baldi jika tidak digunakan.
✅ Jangan biarkan anak-anak kecil bermain tanpa pengawasan orang dewasa.

Anda tidak mahu kehilangan orang yang anda sayangi selama-lamanya bukan?

Kredit: Sinar Harian & Public Health Malaysia

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy