“Saya tak nak salahkan sesiapa atau besarkan hal ini, bagi kami ALLAH pinjamkan dia sementara saja dan kami terima seadanya,” itu yang diluahkan oleh Suraya Mohd Taib, 24, ibu kepada bayi berusia 6 bulan yang meninggal dunia di bawah jagaan pengasuh taska.
Menerusi laporan Sinar Harian, bayi lelaki, Muhammad Nur Fatih didapati tidak sedarkan diri dan pucat sebelum di bawa ke klinik berdekatan sedangkan sebelum itu semasa di hantar oleh kedua ibu bapanya berada dalam keadaan elok.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi (Khamis), bayi berkenaan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bayan Baru oleh pengusaha taska di Bukit Gedung, Pulau Pinang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pucat.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, menurut ibu bayi berkenaan, dia menghantar anaknya ke taska terbabit jam 6.30 pagi dalam keadaan baik dan sihat.
Menurutnya, bayi berkenaan dihantar ke taska sejak berusia tiga bulan lagi.
“Selepas dihantar, pekerja taska berusia 20 tahun itu tidur bersama bayi berkenaan namun dia meninggalkannya seketika pada jam 8 pagi untuk ke tandas.
“Namun ketika wanita terbabit kembali semula, dia mendapati bayi berkenaan tidak sedarkan diri dan kelihatan pucat lalu cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Anbalagan berkata, bayi berkenaan kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bayan Baru dan disahkan meninggal dunia.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pendarahan di dalam kepala dan tiada unsur jenayah berlaku pada si mati.
Sementara itu, Suraya menjelaskan, keluarganya reda atas ketentuan ALLAH SWT walaupun merasakan perit dengan kehilangan cahaya mata mereka.
Suraya berkata, dia menerima panggilan dari taska pada jam 9.15 pagi memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri dan dibawa ke klinik untuk rawatan lanjut.
“Saya dan suami yang sedang bekerja di sebuah kilang terus bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu sebelum kami dikejutkan dengan berita kematian,” katanya.
Menurutnya lagi, jenazah anaknya itu dibawa pulang ke kampung halaman di Pengkalan Hulu, Perak untuk dikebumikan.
Kredit: Sinar Harian
Ada gambar anak minum susu yang cute-cute? Jom share dengan Pa&Ma dan anda mungkin berpeluang memenangi hamper barangan bernilai RM100. Muat naik gambar anak anda di SINI
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)