Kesihatan

Kanak-Kanak 19 Bulan Derita Kanser Ovari, Tangisan Berpanjangan Petanda Awal Kesan Kanser!

Share

Seorang kanak-kanak berusia 19 bulan disahkan oleh doktor menghidap kanser ovari tahap tiga pada Rabu lalu.

 

Kanak-kanak itu, Daneen Auni Riksi kini sedang menjalani rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan bakal menjalani rawatan kimoterapi dalam masa terdekat.

Menurut ibunya, Fallarystia Sintom, 25, semuanya bermula selepas tangisan berpanjangan Daneen selain sukar membuang air besar yang dialaminya.

Ujarnya lagi, dia mengakui agak terkejut dan sedih dengan ujian yang dihadapi sebaik mengetahui anak bongsunya itu yang belum pun berusia dua tahun disahkan menghidap kanser tersebut.

“Saya sangat tidak sangka sebab kanser ovari jarang kita dengar dihidap pada usia begini, biasanya kena pada usia 40 tahun ke atas atau sudah datang haid.

“Doktor ketika ini sedang meneliti kes anak saya sebab jarang ditemui. Sebaik saja dimaklumkan, saya sedih sebab anak saya masih kecil lagi sudah dibuang ovari sebelah kanan,” katanya berkongsi.

Kembung perut dan sembelit sejak Ogos lalu
Ditanya lanjut bagaimana mula dikesan mengenai kanser tersebut, Fallarystia mengatakan anaknya mengalami kembung perut dan sembelit sejak Ogos lalu.

“Anak saya tidak selesa dan memandangkan dia belum pandai bercakap, dia hanya menangis apabila mengalami sakit bahagian perut. Selain itu, perutnya juga kembung dan agak sukar untuk membuang air besar.

“Malah dia juga sudah tidak aktif seperti sebelum ini dan tidak mahu berjalan sebaliknya hanya mahu didukung. Kami mula membuat pemeriksaan di Hospital Kota Marudu namun belum dapat dikesan mengenai sakitnya.

“Kemudian, satu hari bacaan darah anak saya jatuh mendadak dan menyebabkan dia terus dirujuk ke HWKKS pada 28 September lalu dan disitu barulah dapat dikesan ada ketumbuhan serta mengalami pendarahan.

“Bagi mengeluarkan ketumbuhan sebesar 13.50 sentimeter tersebut, anak saya perlu dibedah segera. Pada Rabu lalu, selepas pembedahan dilakukan barulah doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser ovari,” katanya sebak.

Dia dan suaminya yang bekerja di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat bergantung harap kepada Allah dan juga usaha daripada pihak hospital.

“Buat masa ini, anak saya dalam tempoh penyembuhan selepas dibedah untuk membuang ketumbuhan tersebut. Jadi selepas itu barulah dia boleh memulakan rawatan kimoterapi.

“Doktor berpesan bahawa sakit anak saya ini ada ubat, maksudnya kimoterapi. Selagi ada ubat maksudnya ada harapan dan dalam masa sama saya juga berdoa supaya diberikan kesembuhan kepada anak saya,” katanya.

Sehubungan itu, Riksi berkata, untuk menampung kos perbelanjaan dan rawatan beliau memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai bagi meringankan beban keluarganya itu.

Menarik: Intan Najuwa Bakal Timang Anak Perempuan, Potong Kek Simbolik Umum Jantina Anak!

MUA Bellaz Sebak Ada Sebab Gigih Rakam Momen Dengan Anak, “Dulu Tak Ada Gambar Waktu Kecil

Burnout Jaga Anak Sendirian, Suami Tempat Wany Hasrita Mengadu!

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!

Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my

Kredit: Sinar Harian

Published by
SRM