Ibu dan ayah mana yang sanggup melihat anaknya menderita. Lebih-lebih bila anak mengalami masalah yang jarang-jarang dialami oleh kanak-kanak lain.
Sepasang suami isteri terpaksa reda dengan perkembangan terkini anak mereka yang menderita penyakit gangrene sehingga menyebabkan kesemua jari tangan dan kakinya menjadi hitam dan berisiko untuk dipotong.
Tambah bapa kanak-kanak itu, Mohamad Norfaizol Zuraimi, anak keduanya itu, Mohd. Norhamdan Mohamad Norfaizol yang berusia setahun sembilan bulan tidak dapat membesar seperti kanak-kanak lain memandangkan kaki dan tangannya terpaksa dibalut setiap masa.
Katanya, penderitaan Norhamdam bermula selepas bayi itu diserang sawan semasa tidur sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) atas arahan sebuah klinik berhampiran rumahnya.
“Pada mulanya, keadaan kulit anak saya hanya ada kesan bintik-bintik merah sebelum menggelupas dan melarat ke bahagian jari tangan dan kaki. Sehingga kini, jari dan kaki kanannya telah hilang.
“Doktor ada memaklumkan agar kesemua bahagian yang luka dipotong sebulan lalu, namun saya enggan dan mengambil keputusan merawat luka secara sendiri di rumah,” katanya.
Gangrene ialah sejenis kematian tisu yang disebabkan oleh kekurangan bekalan darah.
Antara gelaja penyakit ini termasuklah perubahan warna kulit kepada merah atau hitam, kebas, bengkak, sakit, kerosakan kulit dan kesejukan.
Bercerita lanjut, bekas pekerja gudang sebuah platform jual beli dalam talian itu mengakui dia terpaksa bersetuju untuk menjalankan pembedahan tersebut dalam masa terdekat selepas empat bulan merawatnya sendiri.
Kata Mohamad Norfaizol, dia bersama isteri dan anak sulung lelaki yang berusia lima kini tinggal di rumah ibunya di sekitar daerah ini.
“Keadaan kewangan agak menekan kami sekeluarga selepas saya berhenti kerja, manakala isteri hanya seorang suri rumah.
“Saya tidak dapat bekerja kerana memberi sepenuh perhatian kepada Mohd. Norhamdan memandangkan dia rapat dengan saya. Permohonan telah dibuat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengurangkan kos pembedahan yang belum diketahui jumlahnya selain rawatan dan perubatan anak,” katanya.
Menarik: Moga Jadi Anak Soleh, Puteri Aishah Kongsi Nama Anak, Makin Cantik Dalam Pantang
Stress Buat Wanita Susah Nak Hamil, Bakal Ibu Kena Tenang-Tenang Saja/
“Baby Alhamdulillah Sihat” Leeyana Rahman Lega Nak Masuk Trimester Kedua, Idam Dapat Anak Lelaki/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Sumber: Kosmo Online