Kanak-Kanak Maut, Motor Bapa Rempuh Basikal

Share

Ajal maut ditangan Tuhan. Luluh hati bila anak yang dijaga dengan penuh kasih sayang pergi dengan sekelip mata sahaja!

Itulah nasib yang dialami oleh ibu bapa kepada anak ini yang meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai melanggar basikal di Jalan Alam Suria, Bandar Puncak Alam malam Sabtu.

Kanak-kanak lelaki warga Pakistan berusia dua tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu bapanya cedera akibat kemalangan tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan, mangsa, Taseer Ahmad dan ibu bapanya ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari pasar malam.

Siasatan awal mendapati bapa mangsa yang juga penunggang motosikal Modenas melalui lokasi kejadian melanggar basikal dari arah belakang.

Noor Janihan memberitahu, pelanggaran mengakibatkan motosikal yang dinaiki semua mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan.

Bapa mangsa berusia lingkungan 30-an parah pada kepala dan ibu mangsa berusia 31 tahun hanya cedera ringan.

Ibu bapa kanak-kanak lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut manakala mangsa (kanak-kanak lelaki) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, penunggang basikal tersebut dipercayai warga asing tidak dapat dikenalpasti berikutan melarikan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

SUMBER: Sinar Harian

Published by
Azira Faudzi