Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala lima ahli keluarganya cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 425.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran susur keluar Kuala Terengganu di sini malam tadi.
Kemalangan pada pukul 11.45 malam itu melibatkan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Pajero dinaiki mangsa, Sayyeda Khadeja Mohd. Nazri, 10, dan keluarganya, Ford Ranger, sebuah lori dan sebuah kereta Proton Saga.
Sayyeda Kadeja yang cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan meninggal dunia sebaik tiba untuk menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada pukul 2.19 pagi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd. Yusuf berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut pada pukul 11.47 malam.
“Sebaik kami tiba, kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Pajero dinaiki enam beranak berkenaan telah terbalik akibat kemalangan melibatkan empat kenderaan berkenaan.
“Mangsa (Sayyeda Khadeja) telah tercampak keluar kira-kira lima meter dari kenderaannya manakala lima ahli keluarganya yang cedera dibantu keluar oleh pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Rata-rata wargamaya meluahkan rasa kecewa dengan Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang gelap, tiada lampu dan struktur jalan yang tidak rata.
Kredit: Kosmo
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!