Kanak-Kanak Paling Mudah Lemas. Cegah Dengan Cara Ini!

Share

Lemas mudah berlaku di kalangan kanak-kanak. Mereka tidak boleh melindungi diri sendiri dengan sepenuhnya. Lemas boleh berlaku dalam kolah mandi, bekas atau baldi yang berisi air.

Kanak-kanak tadika lebih kerap lemas di longkang, parit, perigi, kolam renang manakala, murid-murid sekolah kerap lemas di sungai, tasik dan bekas lombong yang berdekatan dengan rumah mereka. Kebanyakan kejadian lemas berlaku kerana kurang pengawasan dari orang dewasa.

Tanda & gejala

Lemas berlaku dengan cepat tanpa amaran.

Komplikasi

Hampir lemas boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal.

Rawatan

Kanak-kanak perlu dibawa ke hospital dengan segera. Jika kanak-kanak tersebut tidak bernafas, mulakan langkah-langkah pertolongan cemas.

Semasa di hospital, kanak-kanak tersebut akan diperiksa untuk mengesan komplikasi. Penjagaan kanak-kanak bergantung kepada tahap keseriusan lemas seperti:

  • Bantuan penafasan melalui oksigen
  • Mengurangkan tekanan dalam perut dengan menggunakan tiub supaya paru-paru boleh berkembang
  • Memastikan kandungan glukos dan oksigen yang cukup di otak bagi mengurangkan kerosakan otak kekal
  • Rawatan-rawatan terhadap komplikasi dan kecederaan yang lain

Pencegahan

Di rumah

Pastikan kanak-kanak diawasi oleh orang dewasa ketika bermain di tepi sungai/parit/kolam.

Jangan tinggalkan bayi/kanak-kanak berseorangan/tanpa pengawasan. Jika anda perlu menjawab telefon atau mengambil tuala, bawa bayi bersama anda.

Kosongkan bekas air atau timba jika tidak digunakan. Terbalikkan bekas air atau timba yang kosong.

Tutup takungan/bekas air samada di dalam atau di luar rumah.

Di kolam renang

Nasihatkan anak anda agar tidak makan atau mengunyah gula-gula getah semasa berenang, menyelam atau berada dalam air.

Pastikan terdapat pengawal keselamatan yang berkelayakan bertugas semasa berenang. Sekiranya tiada, jangan biarkan anak anda berseorangan.
Pagarkan kolam renang rumah anda.

Gunakan pelampung semasa berenang atau semasa berada di atas bot/skuter air/papan luncur.

Gunakan topi renang semasa berenang bagi mengelakkan rambut tersedut ke dalam saluran penyedut yang terdapat dalam kolam renang.

Pastikan saluran penyedup kolam ditutup bagi mengelakkan sedutan berlaku.
Kawasan Takungan Air yang Lain

Ajar anak kecil /remaja anda mengenai tanda-tanda bahaya jika berenang di kawasan larangan tanpa pengawasan orang dewasa. Nasihatkan anak-anak remaja jangan menerima cabaran daripada kawan-kawan.

Beri amaran bahaya bermain berhampiran parit / longkang yang besar.
Pelajarilah cara-cara pemulihan pernafasan resusitasi jantung.

Peraturan-peraturan berenang yang perlu dipatuhi oleh anak anda :

  • Pastikan kanak-kanak berenang bersama kawan-kawan atau ibubapa.
  • Jangan terjun menjunam ke dalam air.
  • Jangan menolak atau terjun ke atas orang lain.
  • Bersedia dalam apa jua keadaan kecemasan.

Kredit: MyHealth portal

Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

Published by
NuFa