Siapa sangka yang kanak-kanak pun ada resdung! Sebelum ini anak kerap bersin, selesema, menggosok hidung atau mata. Rupanya ia tanda-tanda anak anda menghidapi penyakit ini atau dikenali sebagai allergic rhinitis atau resdung. Dr Khairuzzana Baharudin, Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pantai Ampang menjelaskan lanjut mengenai penyakit ini.

Ramai yang memandang mudah tentang penyakit ini walaupun  ia boleh mendatangkan bahaya kepada penghidapnya terutama kanak-kanak. Ini kerana jika dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kepada penyakit sinusitis.

Kesan apabila  allergic rhinitis jika tidak dirawat

Allergic rhinitis yang tidak dirawat lebih awal akan mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti berikut:

1)Sekiranya selaput membran di dalam rongga sinus bengkak dan rongga tersumbat, ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi masalah kesihatan dan  kuman boleh merebak hingga kepada bahagian mata dan telinga serta bahagian tekak apabila nanah mengalir ke bahagian  tersebut.

2)Apabila kuman  merebak ke bahagian telinga, ia akan menyebabkan telinga berdengung dan mengganggu pendengaran. Jika tiada rawatan segera, selain nanah meleleh keluar,  nanah yang terkumpul boleh memecahkan gegendang telinga kanak-kanak berkenaan.

  • Sekiranya jangkitan pada telinga tengah, ia boleh menyebabkan kehilangan pendengaran.
  • Jika ia merebak ke otak yang akan menyebabkan meningitis (jangkitan selaput otak).
  • Menyebabkan jangkitan sellulitis dan merah pada bahagian mata yang akhirnya boleh menyebabkan risiko buta. Namun keadaan ini adalah amat jarang berlaku.

Statistik menunjukkan resdung merupakan masalah kesihatan global. Kajian mendapati hampir 14% kanak-kanak sekolah di Kuala Lumpur mengidap asthma. Di kalangan penghidap asthma, hampir 80% daripada mereka turut menghidap resdung. Bayi atau kanak-kanak lebih mudah terkena alahan hidung memandangkan sistem imun mereka belum matang berbanding orang dewasa, musim hujan, jerebu, demam, batuk dan selesema.

 Apakah itu sinus?

Untuk mencegah, anda perlu tahu apakah sinusitis atau resdung ini. Sinus merupakan rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil.  Sinus ini terletak pada bahagian muka, pipi di bawah mata, di antara dua mata, hanya sedikit di belakang hidung dan turut meliputi bahagian dahi seseorang.

Penyakit sinusitis mulai berlaku apabila mukus seperti hingus tidak dapat mengalir keluar dengan baik melalui rongga-rongga tersebut. Biasanya, dengan bantuan silia atau dikenali sebagai “penyapu-penyapu” kecil dalam sinus akan menolak mukus keluar dari sinus ke dalam hidung. Tetapi apabila ia  tidak berfungsi dengan baik,   laluan hidung akan tersumbat dan lendir ini akan berkumpul. Kuman (bakteria atau virus) boleh membiak di dalam rongga sinus ini.

Ini menyebabkan terhasilnya nanah dan pembengkakan di dalam lapisan hidung yang mengakibatkan  anak  mendapat sinusitis. Lazimnya, sinusitis disebabkan oleh jangkitan bakteria yang akan berakhir dalam beberapa hari. Ianya bermula dengan selesema yang berlarutan diikuti dengan demam dan kesesakan dalam sinus yang akhirnya membawa kepada jangkitan sinus oleh bakteria.

Simptom sinusitis

  1. Kerap bersin dan selesema termasuk hidung tersumbat pada waktu pagi.
  2. Rasa gatal di bahagian hidung, mata, telinga, lelangit dan tekak. Malah hidung anak didapati berbau busuk.
  3. Terdedah kepada persekitaran berhabuk, debunga, asap, hama binatang (kucing atau anjing) perubahan cuaca dan pengudaraan, pusat jagaan yang tidak bersih.
  4. Alahan pada makan makanan tertentu seperti udang, telur, ayam dan daging.
  5. Antibodi kanak-kanak yang belum matang untuk melawan sebarang jangkitan penyakit.

Langkah pencegahan

  1. Penghidap asma dan alahan

Bagi penghidap asma dan alahan, elakkan diri dari sumber alergen seperti  persekitaran berhabuk, permaidani dan  permainan lembut jenis berbulu. Jaga kebersihan bahagian rumah dan elakkan binatang peliharaan seperti kucing atau anjing.

2.Pusat jagaan harian

Lokasi ini perlu sentiasa bersih terutamanya bahagian aktiviti dan tempat tidur kanak-kanak di pusat jagaan harian. Persekitaran yang bersih dapat mengelak sebarang jangkitan.

  1. Alahan pada makanan

Ibu bapa perlu beri perhatian kepada pengambilan makanan anak-anak yang telah diketahui akan menyebabkan alahan kepada anak seperti  makanan laut, junk food atau minuman ais batu.

Rawatan yang diperlukan:

Cucian air garam

Gunakan kaedah mencuci hidung menggunakan air garam normal saline tiga hingga empat kali sehari. Jika anak bawah empat tahun  gunakan teknik  sembur air garam untuk cuci hidungnya. Gunakan air garam bancuhan dari farmasi.

Ubat-ubatan

Dapatkan nasihat doktor. Anda boleh menggunakan rawatan dengan menggunakan semburan intranasal steroid  dan anti-histamin.

Antibiotik

Bertujuan untuk menghapuskan kuman. Ia akan digunakan sekiranya anak masih demam berlarutan melebihi seminggu dan perlu  dihabiskan dalam tempoh lima hingga tujuh hari.

Pembedahan

Pembedahan hanya akan dipertimbangkan sekiranya simptom masih berlarutan walaupun rawatan ubat-ubatan telah digunakan.  Ia hanya diperlukan jika penghidap mengalami masalah kronik seperti hipertrofi turbinate, polyp hidung atau infeksi sinus.

 

 

Tinggalkan Komen