Kita kerap mendengar istilah Sindrom Aspirasi Mekonium atau ‘bayi tertelan najis’ ketika dalam proses kelahiran. Apakah keadaan yang sebenarnya berlaku?
Sindrom Aspirasi Mekonium (Meconium Aspiration Syndrome) merujuk kepada masalah pernafasan bayi. Ia sama ada disebabkan oleh bayi membuang najis dalam kandungan dan menyebabkan ia memasuki paru-paru.
Pa&Ma mendapatkan info lanjut mengenai keadaan ini daripada Dr Siti Aishah Daud, Pakar Obstetrik & Ginekologi Subang Jaya Medical Centre. Kita kerap mendengar istilah ‘bayi tertelan najis’ ketika dalam proses kelahiran atau dipanggil Sindrom Aspirasi Mekonium. Apakah keadaan yang sebenarnya berlaku?
APAKAH MEKONIUM?
“Mekonium ialah najis berwarna hijau kegelapan yang dihasilkan oleh saluran gastrousus janin sebelum lahir. Ia terdiri dari sel epitilial usus, lanugo, mukus, air ketuban, hempedu dan air. Ia pekat dan melekit seperti tar.
Pada kebiasaannya mekonium akan berada di dalam usus sehingga lahir. Selepas lahir bayi akan mengeluarkan mekonium selama beberapa hari dan diikuti oleh najis biasa yang berwarna kekuningan.
FETAL DISTRESS
Tetapi dalam kes tertentu, bayi telah membuang air besar ketika di dalam kandungan lagi. Kebanyakan kes terjadi kepada bayi yang ‘stres’ (fetal distress) akibat oleh kekurangan darah atau oksigen.
Lazimnya, ia disebabkan oleh masalah fungsi plasenta atau uri. Tetapi ada juga yang terjadi secara rawak tanpa sebab seperti kes di mana bayinya tidak stres atau tertekan tetapi sudah melewati tarikh jangkaan bersalin.
KIRA-KIRA 5 % SAHAJA BAYI YANG MEMBUANG NAJIS DALAM KANDUNGAN AKAN MENGALAMI SINDROM ASPIRASI MEKONIUM. BAYI YANG AWALNYA MENGALAMI PERNAFASAN LAJU AKAN MULA BERNAFAS SECARA SEMULA JADI SELEPAS EMPAT HARI. SINDROM INI JARANG MENYEBABKAN KEROSAKAN KEPADA PARU-PARU.
BAYI TERTELAN MEKONIUM
Apabila mekonium dikeluarkan dan terbebas ke dalam air ketuban, ia kemudiannya akan disedut atau ditelan oleh bayi ke dalam paru-parunya. Hal ini juga akan menyebabkan tubuh bayi diselaputi najis dan menyumbat saluran pernafasan bayi selepas dilahirkan.
Pasukan yang merawat akan segera merawat bayi yang mengalami sindrom ini. Sejurus selepas dilahirkan, pasukan perubatan akan bertindak pantas dengan menyedut mulut, hidung dan tekak bayi untuk mengeluarkan mekonium jika bayi dalam keadaan lemah, tidak bernafas dan diselaputi mekonium.
Mereka kemudiannya dirawat dengan antibiotik jika terdapat risiko jangkitan yang tinggi dan diberikan bantuan sampingan dengan oksigen juga akan diberi jika diperlukan. Bayi yang diberi alat bantuan pernafasan akan dipantau untuk mengelakkan sebarang komplikasi seperti pneumothorax atau PPHN.
7 KATEGORI IBU BERISIKO
Ibu yang berisiko menyebabkan bayi mengalami stres sehingga membuang najis ketika dalam kandungan ialah seperti berikut;
- Kehamilan melebihi tarikh jangkaan 40 minggu menyebabkan uri tidak berfungsi baik.
- Kandungan yang melewati 40 minggu boleh menyebabkan uri `lebih matang’. Uri adalah organ yang memberi khasiat dan oksigen kepada janin di dalam rahim. Apabila uri matang, ia tidak dapat memberi oksigen secukupnya kepada janin. Air ketuban juga pada waktu ini juga akan berkurangan dan menyebabkan kandungan mekonium menjadi pekat. Oleh itu MAS lebih kerap terjadi kepada kandungan yang ‘lebih hari’ (past due) berbanding dengan bayi pramatang atau cukup bulan.
- Jangkitan kuman pada ibu.
- Ibu yang menghidap diabetes semasa hamil.
- Ibu yang menghadapi proses kelahiran yang mempunyai komplikasi menyebabkan ia lama atau sukar.
- Ibu yang mengalami masalah tekanan darah tinggi.
- Ibu yang merokok dan mengambil dadah.
KESAN TERTELAN NAJIS KEPADA BAYI
Sindrom ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kepada bayi. Antaranya ialah;
- Mekonium boleh menyebabkan saluran pernafasan bayi tersumbat. Secara tidak langsung paru-paru terlampau berkembang sehingga menyebabkan `pneumothorax’ iaitu keadaan di mana paru-paru bocor.
- Ia juga boleh menyebabkan tekanan yang tinggi pada saluran darah di paru-paru atau Persistent Pulmonary Hypertension of Newborn (PPHN). Oleh itu bekalan darah ke paru-paru berkurangan menyebabkan bayi sukar bernafas.
- Walaupun mekonium itu steril, kehadirannya di dalam saluran pernafasan boleh menyebabkan jangkitan/ keradangan paru-paru (Pneumonitis)
- Di dalam situasi yang jarang berlaku, Sindrom Aspirasi Mekonium yang teruk boleh menyebabkan kurang bekalan oksigen ke otak bayi.
PEKA LELEHAN AIR KETUBAN DARI MINGGU KE-34
Memang ia tidak boleh dielakkan tetapi sekurang-kurangnya ibu boleh mengambil langkah berjaga-jaga. Tidak terhad kepada golongan yang berisiko sahaja. Bagi ibu yang disenaraikan berisiko tinggi, mereka perlu sentiasa berwaspada dan melihat sekiranya terdapat lelehan air ketuban bermula dari minggu ke-34 kehamilan.
Selain itu, segera mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor pakar sekiranya merasakan ciri-ciri bayi stres seperti bayi kurang bergerak, pendarahan, perut berasa senak dan kejang, tekanan darah naik serta kenaikan berat badan secara tiba-tiba.
TERIMA CADANGAN DOKTOR DI WAKTU KECEMASAN
Bagi mengurangkan risiko terjadinya Sindrom Aspirasi Mekonium, proses kelahiran perlu dipendekkan lebih-lebih lagi bagi bayi yang sudah stres di dalam kandungan. Kerjasama ibu dan pasangan menerima cadangan doktor untuk melahirkan menerusi pembedahan atau menggunakan alat bantu dapat mengurangkan masa kelahiran dan seterusnya mengelakkan terjadinya sindrom ini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI