Kehamilan

Kandungan Overdue, Ibu Mesti Aktif Bergerak & Pantau Pergerakan Bayi. Sedia Kemungkinan Bayi Besar & Prosedur Indius

Share

Kandungan overdue, ibu perlu memastikan diri sentiasa aktif bergerak & tidak lupa pantau pergerakan bayi. Bersiap sedia kemungkinan bayi besar & proses kelahiran melalui prosedur indius.

Tentu ada ibu yang anak pertama overdue dan bimbang kandungan kedua juga overdue dan perlu indius.  Menurut Dr Maiza Binti Tusimin, Ketua Jabatan / Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra MalaysiaTempoh normal kehamilan adalah  di antara 37 hingga 42 minggu, juga dikenali sebagai tempoh matang kehamilan.

Manakala kehamilan yang melewati tempoh 42 minggu pula diklasifikasikan sebagai kehamilan postmatang ; postterm pregnancy atau dalam bahasa mudah, overdue.

HANYA 4% WANITA BERSALIN PADA TARIKH JANGKAAN

Menurut data klinikal, hanya 4% (1 dari 20) wanita akan bersalin pada tarikh jangkaan bersalin mereka dan sebanyak  10% wanita akan mengalami kelahiran postmatang. Penetapan tarikh bersalin adalah amat penting bagi menentukan sama ada ibu hamil benar-benar postmatang.

Penetapan tarikh kelahiran secara tepat perlu dilakukan pada usia awal kehamilan dengan  menggunakan tarikh hari pertama haid yang terakhir berdasarkan pengiraan peraturan Naegele’s dan juga menjalani  ujian imbasan ultrasound awal (dating scan).

PENYEBAB KANDUNGAN POSTMATANG

Dalam kebanyakan kes, penyebab kepada  kehamilan postmatang adalah tidak diketahui. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang meletakkan ibu hamil dalam kategori berisiko tinggi untuk kehamilan postmatang iaitu :

  • Kehamilan pertama
  • Ibu yang mempunyai sejarah kehamilan postmatang sebelumnya
  • Faktor genetik juga boleh memainkan peranan. Satu kajian menunjukkan peningkatan risiko kehamilan postmatang pada wanita yang sendiri lahir  sebagai bayi postmatang!

4 RISIKO KANDUNGAN POSTMATANG

Risiko kelahiran postmatang yang paling mencemaskan bakal ibu adalah risiko kematian bayi di dalam kandungan.

Insiden kematian bayi meningkat pada kehamilan yang berterusan melebihi 42 minggu. Walau bagaimanapun, risiko ini agak kecil, dengan hanya 4 hingga 7 kematian bagi setiap 1000 kelahiran (berbanding 2 hingga 3 kematian bagi setiap 1000 kelahiran untuk kehamilan normal). Risiko yang lain ialah termasuk;

#1: SAIZ BADAN BAYI BESAR

Bayi postmatang mempunyai peluang yang lebih besar untuk mengalami komplikasi yang berkaitan dengan saiz badan yang lebih besar (makrosomia); yang ditakrifkan sebagai seberat melebihi daripada 4kg. Ini berkait rapat dengan komplikasi trauma kelahiran pada bayi (distosia bahu)

#2: ‘POSTMATURITY SYNDROME’

Keadaan ini merujuk kepada janin yang pertumbuhannya dalam rahim ibu terbantut selepas tarikh jangkaan, lazimnya disebabkan oleh masalah dengan pengaliran darah ke janin melalui plasenta.

#3: SINDROM ASPIRASI MEKONIUM

Ia lebih dikenali sebagai keadaan di mana bayi ‘tertelan najis’. Lebih banyak hari postmatang, bayi lebih cenderung untuk mengalami sindrom ini yang boleh menyebabkan masalah pernafasan apabila bayi dilahirkan.

#4: RISIKO KEPADA IBU

Risiko kepada ibu termasuk masalah ketika kelahiran, kecederaan pada perineum dan juga peningkatan  kadar kelahiran caesarean.

APA YANG PAKAR PERBIDANAN BOLEH LAKUKAN UNTUK IBU?

Apabila ibu melewati usia kandungan 40 minggu, ibu perlu memantau pergerakan bayi melalui FKC (sekurang-kurangnya 10 pergerakan dalam tempoh 12 jam), menghadiri lawatan susulan antenatal setiap minggu dan segera ke hospital sekiranya pergerakan bayi kurang memuaskan atau pecah air ketuban.

Kandungan air ketuban dan degupan jantung bayi akan dipantau pada setiap lawatan susulan antenatal. Polisi kebanyakan hospital  untuk kehamilan postmatang adalah untuk melakukan prosedur ‘induce’ atau memaksa kelahiran pada minggu ke 41 atau paling lewat pada usia kandungan 41 minggu 2 hari. Hospital tidak akan  sesekali membenarkan kehamilan melebihi 42 minggu kerana ia boleh meningkatkan risiko kematian bayi dalam kandungan.

6 TIPS UNTUK IBU HAMIL POSTMATANG

  • Sentiasa aktif bergerak dan tidak hanya berbaring sahaja.
  • Lakukan senaman mudah dan tidak membahayakan seperti berjalan, yoga atau senaman Kegel .
  • Sentiasa peka dan pantau pergerakan bayi.
  • Jangan takut untuk menjalani hubungan intim! (Kajian klinikal menunjukkan air mani suami mengandungi prostaglandin yang menyebabkan kontraksi dan mencetuskan proses kelahiran)
  • Bertenang kerana stres menyebabkan badan ibu lebih tidak bersedia untuk bersalin.
  • Amalkan doa & zikir.
Published by
Azma ML