Tahukah ibu-ibu ada sejenis penyakit yang boleh membunuh ibu berpantang secara senyap. Wanita lepas bersalin dan masih dalam pantang memang mempunyai banyak risiko jika tidak menjaga kesihatan dengan betul.
Sebenarnya tak ramai ibu menyedari walaupun sudah selamat melahirkan bayi dan selesai menjalani tempoh berpantang tradisional iaitu 44 hari, ibu sudah bebas daripada sebarang masalah atau komplikasi penyakit.
Hakikatnya risiko komplikasi seperti penyakit darah beku dalam salur darah ke paru-paru atau nama saintifiknya pulmonary embolism yang boleh membawa maut kepada ibu tetap ada.
Jadi, ibu kena ambil tahu tentang hal ini dan segera bertindak jika ada tanda-tanda awal penyakit berbahaya ini.
Baca lebih lanjut penerangan tentang penyakit pulmonary embolism oleh Dr. Mardiana Kipli, Pakar Obsterik dan Ginekologi yang bertugas di Kuching dalam mmgazette.com
Darah lebih pekat
Penyakit pulmonary embolism (darah beku dalam saluran darah ke paru-paru) merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan kematian ibu mengandung dan ketika tempoh berpantang iaitu 6 minggu selepas bersalin. Kejadian ini jarang berlaku namun, ianya boleh menyebabkan kematian mangsa secara mengejut.
Kebanyakkan kes, hanya dapat disahkan oleh pihak forensik ketika autopsi post-mortem. Ia merupakan salah satu punca utama yang menyumbang kepada statistik maternal mortality (kematian ibu mengandung dan semasa berpantang) selain daripada kejadian tumpah darah selepas bersalin dan penyakit darah tinggi. Oleh yang demikian, mengenali tanda-tanda awal gejala ini sangat penting sebagai langkah pencegahan sebelum keadaan menjadi lebih parah dan berakhir dengan kematian.
Darah wanita sewaktu mengandung adalah lebih pekat daripada biasa. Selain itu, bayi yang membesar dalam kandungan akan menghimpit saluran darah utama di dalam badan ibu mengandung menyebabkan aliran darah kurang lancar.
Kebiasaannya, fenomena darah beku akan terbentuk di saluran darah kaki dahulu. Apabila darah beku berkumpul dengan lebih banyak dan besar di bahagian kaki, ianya akan menyebabkan penyakit deep vein thrombosis.
Mangsa akan mengalami bengkak kaki secara tiba-tiba dan mengadu sakit pada betis ketika berjalan. Sekiranya masalah ini tidak diberi rawatan awal, darah beku pada saluran darah kaki ini akan pecah pada bila-bila masa dan menyebabkan saluran darah ke paru-paru tersumbat akibat darah beku ini yang dipanggil pulmonary embolism. Selain itu, terdapat juga beberapa kes di mana darah beku itu berasal daripada injap jantung yang dihidapi oleh pesakit-pesakit jantung.
“Dulu saya bersalin, ok jer. Tak ada pun apa-apa masalah. Kenapa kali ini doktor kata saya berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini?’
Siapa yang berisiko?
Ads
Semua wanita yang mengandung dan juga dalam tempoh berpantang adalah terdedah untuk mendapat penyakit pulmonary embolism kerana darah anda lebih pekat daripada biasa. Namun begitu, risiko anda untuk mendapat pulmonary embolism semasa mengandung menjadi lebih tinggi sekiranya anda:
* Berumur lebih daripada 35 tahun
* Mempunyai anak lebih daripada 2 orang
* Lumpuh dan tidak boleh bergerak terus melebihi 3 hari
* Berat melebihi 80kg atau BMI lebih 30kg/m2
* Menjalani pembedahan caesarean
* Menaiki penerbangan jarak jauh melebihi 4 jam
* Dehidrasi
* Pernah mendapat penyakit darah beku sebelum mengandung atau pada kandungan dahulu
Ads
* Tumpah darah semasa bersalin (melebihi 1 liter)
* Mendapat transfusi darah semasa mengandung atau selepas bersalin
* Penyakit yang menyebabkan kelikatan darah seperti thrombophilia, protein S deficiency, anti phospholipid syndrome
* Apa-apa pembedahan yang dilakukan sepanjang tempoh mengandung atau semasa berpantang. Contohnya pembedahan appendicitis, pembedahan untuk patah tulang atau apa-apa pembedahan yang dilakukan semasa bersalin atau selepas bersalin.
* Kandungan kembar
* Penyakit pre-eklampsia (darah tinggi yang menyebabkan air kencing mengeluarkan protein)
Setakat ini, sukar untuk meramalkan penyakit ini bila ianya akan berlaku. Selalunya tanda-tanda awal akan diambil ringan oleh mangsa. Sekiranya keadaan ini tidak dirujuk kepada doktor terdekat, majoriti mangsa sudahpun pengsan di rumah.
Terdapat juga kes wanita datang ke hospital dalam keadaan koma atau tidak bernyawa lagi. Ini disebabkan darah beku yang pecah ini boleh menyumbat saluran darah paru-paru dengan cepat dan secara tiba-tiba. Akibatnya, mangsa akan berhenti bernafas dan jantung akan berhenti secara tiba-tiba.
Ads
Tanda-tanda awal adalah:
1. Kembang kaki dan sakit pada betis (kebiasaannya sebelah kaki sahaja)
2. Sukar untuk bernafas
3. Sakit dada
4. Batuk berdarah
5. Nadi sangat laju
Sekiranya anda mempunyai simptom sebegini, sila dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan. Doktor akan menjalani pemeriksaan kepada anda untuk melihat sama-ada anda berisiko tinggi atau tidak untuk mendapat pulmonary embolism.
Pemeriksaan lanjut seperti ECG (alat untuk memeriksa ritma jantung), X-ray, pemeriksaan darah atau pun CTPA (CT scan untuk melihat saluran darah ke paru-paru) mungkin perlu dilakukan segera. Sekiranya, semua keputusannya negative, barulah pihak doktor akan menarik masalah lega dan yakin bahawa anda mungkin mendapat simtom sebegini disebabkan penyakit lain.
Kalau berisiko apa patut buat?
‘Sekiranya saya tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi, apakah yang patut saya lakukan untuk mengelakkan pulmonary embolism?’
Ada beberapa langkah yang boleh anda amalkan untuk mengelakkan penyakit darah beku pada saluran darah atau pulmonary embolism sekiranya anda tergolong dlm kumpulan berisiko tinggi:
Minum air yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi
Aktif bergerak dan berjalan
Menggunakan thrombo embolic deterrent-TED stokin (stokin khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki) pada waktu malam atau semasa menaiki penerbangan jauh
Ubat suntikan pencair darah. Sesetengah hospital akan memberi anda suntikan ini semasa mengandung atau selepas bersalin untuk tempoh masa tertentu dan perlu disuntik setiap hari. Suntikan ini terbukti berkesan untuk mencegah pembentukan darah beku dalam saluran darah. Sila rujuk kepada doktor sakit puan anda sekiranya ada berisiko tinggi dan memerlukan suntikan ini .
Kebanyak orang awam kurang mendapat pengetahuan mengenai masalah pulmonary embolism kerana kes ini jarang diumumkan di dalam surat khabar, berita atau media sosial. Ini merupakan faktor mengapa isu ini selalu dipandang ringan oleh orang ramai. Tetapi anda perlu ingat, kebanyakan mangsa menemui maut sebelum sempat sampai ke hospital.
Dengan itu, sekiranya ada berisiko tinggi untuk mendapat penyakit darah beku atau pulmonary embolism, sila rujuk kepada doktor anda dengan segera terutamanya jika ada mengalami simtom awal seperti dinyatakan di atas. Pencegahan awal lebih baik daripada penyesalan. Jangan biarkan ibu kepada anak anda pergi dan tak akan kembali lagi.
Sumber: www.mmgazette.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebagai seorang ibu, tidak dapat menafikan terdapat cabaran dalam membesarkan seorang anak terutamanya apabila berkaitan dengan kesihatan. Nak suruh makan ubat pun susah apatah lagi untuk berjumpa doktor. Macam nak berperang setiap kali nak bawa berjumpa doktor atau nak bagi makan ubat. Anda sendiri pasti pernah berdepan dengan situasi sebegitu, bukan?
Jadi terdapatkah penyelesaian untuk mengatasi masalah anak yang takut jumpa doktor, khususnya doktor gigi? Jangan risau. Ada penyelesaiannya di sini. Teruskan membaca perkongsian artikel ini, semoga ia dapat membantu menyelesaikan masalah anda.
Tiada pendedahan awal
Temu bual bersama doktor dalam bidang Pemulihan dan Estetika Pergigian (Restorative and Aesthetic Dentistry), iaitu Dr Ibrahim Shahruddin.
Menurut beliau yang kini bertugas di iCare Dental Damansara Heights, punca utama menyebabkan ramai kanak-kanak takut untuk berjumpa dengan doktor gigi adalah kerana mereka tidak didedahkan untuk berjumpa dengan doktor gigi pada seawal tahun pertama kehidupan atau ketika gigi susu pertama muncul.
“Berjumpa dengan doktor gigi bukanlah satu perkara yang menjadi satu kebiasaan bagi rata-rata masyarakat Malaysia. Kanak-kanak biasanya hanya akan dibawa berjumpa doktor apabila sudah berdepan dengan masalah gigi seperti karies gigi,” jelas Dr Ibrahim.
Kejutan di sekolah
Terdapat juga kanak-kanak yang pertama kali mendapatkan rawatan pergigian ketika di sekolah. Dan lebih ‘memburukkan’ keadaan apabila mereka dirawat dengan jururawat pergigian yang garang. Ini sekali gus menambahkan lagi rasa takut mereka untuk berjumpa doktor gigi.
Bagi Dr Ibrahim, masalah ini sebenarnya boleh diatasi sekiranya tahap kesedaran dalam kalangan ibu bapa adalah tinggi dalam aspek penjagaan pergigian anak-anak. Beliau turut menambah, pada hakikatnya kos untuk mencegah itu adalah sesuatu yang lebih murah dan lebih baik daripada kos yang perlu dikeluarkan untuk merawat apabila sesuatu keadaan sudah menjadi lebih kronik dan serius.
Atasi masalah anak takut berjumpa doktor gigi
Bagi ibu bapa yang berdepan dengan isu anak takut untuk berjumpa doktor gigi, berikut adalah beberapa perkongsian tip yang boleh dicuba bagi mengatasi masalah ini:
-Mulakan pada awal usia
Biasakan anak untuk berjumpa dengan doktor. Tip ini boleh dilakukan pada seawal usia setahun atau ketika anak anda baru mendapat gigi susu yang pertamanya.
-Atasi Anak Takut Berjumpa Doktor Gigi (2)
Sekadar perjumpaan
Bagi kanak-kanak pula, ia mungkin sedikit sukar untuk membuang rasa takut berjumpa doktor. Tetapi jangan berputus asa. Langkah pertama, biasakan anak anda untuk bertemu dengan doktor. Mungkin pada kali pertamanya hanya sekadar berjumpa dan berbual. Ini adalah untuk membiasakan diri anak dengan doktor gigi.
-Elakkan paksaan
Sebaiknya hindari daripada menggunakan sebarang paksaan. Mungkin pada kali pertama anda membawa anak berjumpa doktor, ia hanya akan memakan masa tidak sampai 5 minit, apabila akhirnya anak anda meraung dan menangis. Kesabaran adalah kunci utama.
Ia mungkin akan mengambil masa dan memerlukan anda untuk membawa anak anda berjumpa doktor gigi untuk beberapa kali sebelum mereka benar-benar selesa dan tidak takut untuk berjumpa doktor gigi. Tetapi jangan putus asa.
-Kuatkan semangat
Sebenarnya masalah takut untuk berjumpa doktor gigi ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan kanak-kanak, tetapi wujud pada individu dewasa. Jika tidak, takkan muncul petua menggunakan minyak motor untuk merawat sakit gigi, bukan?
Jadi, jika anda merupakan antara individu yang mungkin mempunyai rasa takut mahupun trauma untuk berjumpa doktor gigi, cuba untuk beranikan diri dan kuatkan semangat. Seperti kata Dr. Ibrahim, anda tidak perlu terus untuk melakukan rawatan pada kali pertama, mungkin sekadar mendapatkan konsultasi. Lawanlah rasa takut anda, anda boleh melakukannya.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penggunaan pendingin hawa atau aircond tak boleh dielakkan terutamanya ketika dalam kenderaan atau di rumah. Tambahan lagi suhu persekitaran yang panas, memang tidak boleh dielakkan.
Tapi bagi mama papa yang mempunyai anak kecil khususnya yang berumur dua tahun ke bawah, sangat mustahak untuk memastikan udara persekitaran tidak mengandungi hama dan habuk.
Lazimnya pendingin hawa yang tidak diselenggara dengan baik menjadi punca habuk dan hama berkumpul di dalam kediaman. Apabila ia dihidupkan, ia berterbangan dan boleh memasuki sistem pernafasan. Inilah puncanya si kecil selalu selesema berpanjangan.
Perkongsian Dr Ezairy Salleh , Pakar Telinga, Hidung & Tekak (ENT) ini boleh dijadikan panduan. Selesema pada bayi tidak boleh diambil mudah. Bayi 14 bulan sakit tekak dan demam hingga gegendang telinga koyak dan telinga bernanah.
HAMPIR SEBULAN TELINGA BERAIR, DEMAM, SELESEMA & BERHINGUS
Siang tadi semasa saya periksa seorang pesakit ini, dalam diam Tan Sri Profesor Amin datang dari belakang. Dia duk perhati saya bersihkan telinga seorang bayi ini. Pesakit ini berumur satu tahun dua bulan. Sudah hampir sebulan telinganya berair.
Bermula dengan serangan sakit tekak dan demam. Kemudian selesema dan hidung berair yang susah nak berhenti. Pada masa sama telinga pun mulai keluar cecair.
TELINGA BERNANAH, RUPANYA GEGENDANG BOCOR
Hari ini ibu bapanya membawa beliau ke klinik kami di PPUM. Selepas saya periksa, saya keluarkan dan sedut semua nanah yang ada dalam telinganya, rupa-rupanya gegendang telinga beliau sudah bocor!
JANGKITAN TELINGA MUDAH BERLAKU PADA KANAK-KANAK
Keadaan ini boleh berlaku kepada mana-mana pesakit terutama pada usia kanak-kanak. Jangkitan ke telinga lebih mudah berlaku kepada anak-anak berbanding kita-kita yang dah ‘tua’ ini.
Saya berikan ubat titis antibiotik untuk diletak pada telinganya. InshaaAllah akan sembuh nanti.
MANDIKAN AIR SUAM WAKTU PAGI
Prof Amin sempat pesan kepada ibu pesakit ini, kalau boleh waktu pagi itu mandikanlah dengan air suam-suam. Supaya gejala selesema ini mudah terkawal. Suam bukan panas ya. Ini petua orang tua yang tak salah kalau nak amalkan.
HABUK & HAMA TERKUMPUL DALAM PENDINGIN HAWA ITU BAHAYA!
Penghawa dingin juga perlu berpada-pada untuk bayi dan kanak-kanak. Biasanya anak kita jadi selesema tak berhenti ini bukan sahaja sebab sejuknya aircond itu, tetapi juga sebab habuk dan hama yang terkumpul pada aircond tu melekat masuk pada hidung anak kita. Semoga keluarga kita diberi kesihatan berpanjangan.
Bagi ibu yang pertama kali nak menyusu anak, rasa ‘stress’ itu perasaan yang biasa. Kadang-kadang kita sendiri tertanya-tanya mampukah kita kerana menyusukan anak memerlukan ketabahan di tahap yang tertinggi.
Mungkin ada ibu-ibu yang hampir berputus asa, sebelum mama berputus asa ikutilah nasihat daripada Kaunselor Penyusuan, Puan Nad Masrom ini.
Dalam menyusu, untuk ibu yang pertama kali nak menyusukan bayi mereka, selalu rasa nak capai 2 tahun tu sesuatu yang mustahil atau perkara yang susah dicapai.
Raikanlah sekecil-kecil kejayaan yang dicapai. Kali pertama mungkin boleh letak target seminggu dahulu. Selepas berjaya, tambah jadi 2 minggu. Selepas berjaya, tambah jadi 1 bulan.
Seterusnya dah berjaya, tambah jadi 3 bulan. Rasa nak reward diri masa ni? Silakan.
Kalian berhak sebab 3 bulan juga bukan tempoh yang mudah nak dilalui bila bayi asyik menangis dan mulalah orang cakap sebab tak cukup susu dah sebagainya. Kemudian tambah jadi 6 bulan.
Maka ibu pun gigih print sijil sendiri sebab dah berjaya capai ‘diploma’ dalam penyusuan. Selepas 6 bulan ibu akan rasa, struggle tadi mula berkurang. Ibu dah tahu cara nak maintain hasil perahan. Bayi pula dah mula makan. Dah tak sesusah kali pertama tadi.
Pejam celik, eh dah setahun. Masa tu ibu rasa, mudahnya penyusuan sebab selepas setahun, susu ibu ini hanyalah ‘kudap-kudapan’ bayi di mana pemakanan lebih utama.
Tahu-tahu dah 2 tahun. Eh, dah dapat PHD dalam penyusuan. Harap ibu yang dah berjaya menyusu ni dijauhkan dari PERASAAN HASAD DENGKI dengan ibu-ibu lain yang belum berjaya.
Mereka bukan nak bersenang-senang. Mereka mungkin tiada ilmu. Dan tak tahu nak letak target dalam penyusuan bagaimana.
Jadi, bantulah mereka dengan berikan sumber penyusuan yang sahih. Jangan tak tahu, ada sahaja ajaran songsang dalam penyusuan susu ibu.
Kalau tak menyebabkan banyak mudarat, saya takkan kata mereka songsang. Tapi dah jadi banyak mudarat, sampaikan ada yang kena bengkak susu dan melarat,
Malah ada yang sampai kemurungan sebab anak tolak menyusu direct, maka saya tak boleh berkompromi dengan ‘mereka’.
Pastikan cari ilmu yang betul. Semoga kita semua dipermudahkan urusan oleh-Nya.