Kawal Kata-Kata Bila Marah Jika Tak Mahu Anak Nampak Kelemahan Diri Mak Ayah!

Share

Kawal kata-kata bila marah jika tak mahu anak nampak kelemahan kita sebagai mak ayah. Boleh dikatakan kita semua pernah marah, itu sifat manusia. Marah biar secara berakal dengan mengawal perasaan dan kata-kata yang diucap.

Usah biar kemarahan dikuasai emosi dan nafsu kerana akan terbit kata-kata yang tidak dapat dikawal, yang terbit dari nafsu marah bukan dari akal. Maki hamun, sumpah seranah itu kebiasaan orang marah, itulah senjata syaitan.

Jangan pandang remeh pada setiap perkataan yang keluar dari lidah anda. Ada ketikanya, apa yang kita sebut, tiba-tiba diperkenan Allah, maka terjadilah. Jika ia perkara yang buruk, maki hamun sumpah seranah, lalu termakbul, bagaimana?

Apa yang dibimbangkan ibu dan bapa apabila marah anak-anak, selalu terlajak kata, apa kata jika waktu itu Allah terima perkataannya.

Kawallah perkataan bila marah. Bagaimana jika saat itu Allah mengangkat perkataan kita yang bukan-bukan? Kalau marah pun, jangan berleter panjang, mengulas itu ini bagai ulasan selari pertandingan bola sepak kerana bimbang terlajak kata.

Ada ibu yang tersebut “Anak tak guna, memang betul tak dengar cakap ibu…..” Ada ayah termaki “Pergi sekolah tapi tetap tak pandai juga…”Kawallah marah dengan diam, kunci mulut.

Sebaliknya, marilah kita sentiasa melafazkan kata yang baik-baik sahaja  kepada anak, suami, isteri, ahli keluarga atau pun rakan-rakan dalam apa situasi moga akan terjadilah saat Allah menerima kata-kata tersebut.

Jika diamal dalam hidup, pasti akan kita temui di satu masa situasi Allah mengangkat kata-kata kita yang baik seperti dalam hadis yang disebut di atas. Bila sendirian, bisiklah pada diri kata yang baik, doa dan munajat mengadu kepada Allah dengan harapan saat Dia menerima kata-kata kita dipertemukan seperti yang nabi sebut.

Sebab itu kita disuruh terus berdoa, bermunajat tanpa jemu untuk kebaikan anak dan keluarga hingga ke akhir hayat kerana kita tidak tahu bila Allah menerima doa dan munajat kita, bila saat kata-kata kita diangkat Allah.

Berhentilah dari marah dengan cara berleter panjang kepada anak-anak, berpadalah sekadar menyatakan kemarahan kita dengan sepatah dua yang terkawal, jika panjang pun tidak membawa kebaikan, melainkan lebih melukakan dan bimbang kata-kata buruk kita dimakbul, bimbang kita kena menelan kembali setiap kata yang terbit waktu marah itu di akhirat.

Sumber: Perkongsian Amira Sulaiman

Published by
Wan Amy