Bagi ibu hamil, kontraksi dan menunggu bukaan servis serta proses meneran adalah fasa yang mencabar. 10 tip daripada doktor ini membantu.
Debaran makin terasa terutamanya bakal ibu yang menanti masa untuk melahirkan anak pertama tidak lama lagi.Perkongsian daripada Dr Mastura Mohd Mokhtar, Pakar Perbidanan & Sakit Puan KPJ Selangor Specialist Hospital memberikan 10 tip yang boleh membantu mengelakkan masa yang lama semasa proses bersalin nanti terutamanya proses meneran dan kontraksi.
Memang tidak dinafikan proses bersalin terutamanya proses meneran dan kesakitan kontraksi adalah satu perkara yang menakutkan bakal ibu. Kontraksi disebabkan oleh otot rahim yang mengecut secara beritma yang bermula dari bahagian atas atau fundus rahim dan menolak bayi ke bawah. Kontraksi juga penting untuk proses mengeluarkan uri.
Kontraksi adalah satu proses fisiologi yang sangat penting semasa proses bersalin untuk memastikan bukaan pangkal rahim dan kepala bayi dapat turun ke dalam pelvis dengan lancar dan seterusnya melahirkan bayi. Kontraksi boleh berlaku selama beberapa hari sebelum kelahiran tetapi biasanya kurang kuat dan tidak kerap.
Kontraksi merupakan tanda yang puan sudah hampir mahu bersalin ialah apabila ia menjadi semakin kerap, semakin lama dan semakin kuat. Kontraksi juga biasanya semakin kuat sekiranya air ketuban telah pecah atau dipecahkan oleh doktor. Selalunya saya akan menasihatkan pesakit untuk datang ke hospital apabila kontraksi berlaku setiap 10 minit.
Hanya kontraksi yang cukup kuat dan kerap boleh memastikan bukaan pangkal rahim dan kepala bayi turun, sebab itulah sekiranya kontraksi puan tidak mencapai kekuatan atau kekerapan yang sepatutnya semasa di bilik bersalin nanti, doktor akan memasukkan ubat Pitocin atau Oxytocin.
Antara tip untuk membantu memudahkan kelahiran:
Di dalam kelas antenatal, ceramah berkenaan proses kelahiran akan diberi oleh pakar perbidanan dan puan juga akan diajar teknik pernafasan dan posisi semasa kelahiran. Kelas antenatal ini telah terbukti secara saintifik dapat membantu untuk memudahkan proses kelahiran dan mengurangkan keperluan untuk ubat tahan sakit nanti.
Ubat tahan sakit semasa sakit bersalin seperti suntikan Pethidine atau Epidural dan metod-metod lain seperti Entonox dan mesin TENS bukan sahaja mengurangkan rasa sakit kontraksi tetapi dapat menenangkan emosi puan. Apabila ibu tenang, kontraksi akan lebih berkesan dan mempercepatkan proses bersalin.
Biasanya wanita yang aktif lebih mudah untuk bersalin terutama pekerjaan yang banyak memerlukan berjalan seperti jururawat atau guru. Semasa di wad bersalin atau bilik bersalin adalah lebih baik sekiranya puan kerap berjalan kerana boleh mempercepatkan proses bersalin dan ia juga mengurangkan rasa sakit.
Senaman Yoga dikatakan boleh membantu terutama untuk fokus, kawalan pernafasan dan senaman pelvis.
Urutan yang dilakukan semasa kehamilan dan semasa proses bersalin boleh membantu. Tetapi hendaklah dielakkan melakukan urutan pada rahim kerana boleh menyebabkan kontraksi awal atau abruptio sekiranya urutan yang kuat dilakukan.
Urutan pada bahagian badan yang lain tidak mendatangkan masalah dan boleh memberikan rasa tenang kepada ibu.
Walaupun senaman Kegel biasanya dinasihatkan untuk ibu-ibu selepas bersalin, ada pendapat dari pakar fitness yang mengatakan bahawa dengan melakukan senaman Kegel secara berterusan sekurang-kurangnya 20 kali sehari boleh menguatkan otot pelvis. Oleh itu otot pelvis yang kuat ini akan membantu wanita untuk meneran dengan lebih berkesan.
Urutan perineum boleh dilakukan seawal 12 minggu boleh membantu wanita belajar secara sedar untuk merehatkan otot perineum, oleh itu memudahkan laluan untuk bayi lahir.
Urutan ini juga menambahkan perjalanan darah kepada tisu di perineum yang membantu mempercepatkan ia cepat sembuh selepas bersalin terutama untuk wanita yang mempunyai luka episiotomi atau koyakan.
Ini kerana terdapat kajian mengatakan kedudukan seperti ruku’ dan sujud selama minima 10 minit 2 kali sehari selepas 37 minggu membantu memastikan kedudukan kepala bayi pada kedudukan paling optimum semasa bersalin nanti iaitu mukanya mengadap kepada tulang belakang ibu.
Kehadiran peneman terutama suami sangat-sangat membantu untuk memberikan semangat dan terbukti boleh mengurangkan sakit. Suami atau penaman juga boleh melakukan urutan dan membantu wanita untuk bergerak di dalam wad atau bilik bersalin.
Ini membolehkan wanita berada di dalam persekitaran yang dia rasa selesa dan kurang tertekan di rumah sendiri berbanding di hospital. Di rumah juga dia masih boleh minum, makan dan bergerak lagi sehinggalah kontraksi berlaku setiap 3 ke 5 minit sekali.
Semasa di bilik bersalin, biasanya puan masih boleh minum dan ambil makanan ringan seperti biskut atau kurma untuk memberikan tenaga. Pastikan puan membawa bekalan makanan yang cukup di hospital dan mengambil makanan secara normal sebelum dihantar ke bilik besalin untuk memastikan puan mempunyai tenaga yang cukup sepanjang proses bersalin.