Kebaikan bawa anak-anak ke taman permainan, bagus untuk perkembangan deria dan fizikal. Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk kita sentiasa membawa anak-anak ke taman permainan, sama ada indoor atau outdoor.
Ini kerana di situ, terdapat banyak rangsangan deria utama yang penting untuk perkembangan mereka. Elakkan daripada membiarkan anak-anak ‘hanyut’ dalam dunia sendiri dengan bermain gajet. Sebaliknya, rajin-rajinlah membawa mereka ke taman permainan untuk menggunakan segala rangsangan deria serta mengeluarkan peluh.
Saranan ini adalah perkongsian oleh Puan Liyana Raya, seorang Pakar Terapi Cara Kerja, sebagai rujukan untuk semua ibu bapa.
Berikut adalah antara perkongsian beliau:
Kepentingan Taman Permainan
Membawa anak ke taman permainan sekerap yang mungkin sangat penting kerana di situlah terdapat banyak rangsangan untuk deria utama dalam perkembangan anak-anak. Malah kita sendiri pun, semasa kecil, banyak menghabiskan masa di taman permainan. Ingat lagi tak, hampir setiap hari kita bermain di sana?
Di taman permainan, otot dan sendi anak-anak dirangsang. Ini menjadikan mereka kuat. Mereka boleh menulis dengan baik kerana ‘core muscles’ di bahagian dada, belakang, dan bahu mendapat ketahanan yang tinggi, sekaligus membantu menahan otot ini daripada mengganggu fungsi jari jemari ketika menulis.
Anak-anak zaman sekarang, apabila menulis dan menggunting, kebanyakan mereka tidak tahu menggunakan otot yang mana. Ini menyebabkan mereka suka mengangkat bahu dan siku ketika melakukan aktiviti penulisan dan menggunting. Penulisan bukan hanya tentang pen dan kertas semata-mata!
Masalah Kurang Rangsangan Otot dan Sendi
Kurangnya rangsangan terhadap otot dan sendi adalah punca masalah ini. Taman permainan juga membantu menyeimbangkan badan kerana ia merangsang deria keseimbangan badan (vestibular) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Keperluan Pergerakan Kanak-kanak
Kanak-kanak perlu bergerak. Kita dahulu pun tidak boleh duduk diam, bukan? Jadi mengapa sekarang kita mahu anak-anak duduk diam? Tidak ada gunanya memaksa anak-anak duduk diam kerana ia tidak merangsang deria keseimbangan badan mereka.
Akibat memaksa anak-anak duduk diam:
Anak akan sukar fokus.
Anak suka berlari ke sana ke mari di dalam kelas.
Anak kurang keyakinan diri.
Anak tidak boleh mengawal emosi.
Dengan adanya taman permainan, anak-anak boleh bergerak dan bebas melakukan apa yang mereka ingin lakukan. Mereka akan fokus terhadap pergerakan yang banyak boleh dilakukan di taman permainan.
Seterusnya, apabila tiba waktu belajar, mereka tidak mudah terganggu untuk melakukan pergerakan kerana mereka sudah puas bergerak. Ini meningkatkan keyakinan diri dan membentuk emosi yang seimbang.
Persepsi Salah Mengenai Taman Permainan
Takut Anak Jatuh
Kita terlalu risau mereka akan cedera! Takut anak jatuh, takut anak itu ini, sedangkan di tangan kita telefon 24 jam. Bila bawa anak ke taman permainan, kita pula sibuk bermain telefon! Anak-anak perlukan bimbingan untuk memanjat, memegang, masuk, dan keluar dari peralatan permainan.
Jadi peganglah anak itu jika takut mereka jatuh, bukan pegang telefon! Jatuh kerana bermain itu biasa. Apabila terbiasa jatuh dan menahan sakit, anak kita semakin kebal.
Takut Anak Sakit Berjangkit
Risau anak dapat penyakit berjangkit terutamanya di taman permainan indoor. Ada ibu bapa yang sudah tahu anak sakit, tetapi tetap bawa anak keluar. Jika anak tidak sihat, duduklah di rumah.
Kadang-kadang anak kita menjadi mangsa, tetapi kita harus ingat bahawa jangkitan ini tidaklah membawa maut. Jangkitan ini membuatkan kita renyah menjaga anak semasa sakit. Janganlah terlalu risau dengan perkara seperti ini.
Selalu Cakap ‘Jangan’
Selalu cakap “jangan panjat situ nanti jatuh!” juga menyebabkan anak-anak jatuh di taman permainan. Tukarlah minda dan perkataan kita. Daripada cakap “jangan jatuh,” lebih baik tolong anak dan bantu mereka mengelak daripada jatuh.
Anak-anak juga manusia seperti kita, bukan robot yang boleh diarahkan sesuka hati. Mereka juga mahu berseronok dan tidak suka diganggu ketika bermain. Bawalah anak bermain di taman permainan, sama ada indoor atau outdoor, sekerap mungkin. Jika boleh, bawa setiap hari. Namun, apabila saya melawat taman permainan, suasananya sunyi sepi.
Anak-anak saya pun lama-lama bosan kerana tiada kawan untuk bermain. Taman permainan tidak lagi menjadi tempat yang menyeronokkan seperti dahulu. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Ibu bapa, rajin-rajinlah membawa anak bermain di taman permainan untuk merangsang deria dan perkembangan mereka.
Sumber: Liyana Raya
Baca artikel lain juga: Elak Guna Taman Permainan Yang Tak Diselenggara, Banyak Kejadian Kemalangan Yang Dah Berlaku!
Asalnya Nak Bersuka Ria, Tapi Taman Permainan Boleh Jadi Tempat Bahaya Untuk Anak
Taman Permainan Boleh Jadi Tempat Merbahaya! Ikuti Tip Taman Permainan Yang Selamat Untuk Anak
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my