Kesihatan

Kekalkan Kebersihan Tapi Jangan Lupa Aspek Keselamatan. Anak Terminum Hand Sanitizer, Pusat Racun Negara Nasihat Orang Ramai Lebih Peka

Share

Penularan wabak pandemik Covid-19 semakin meruncing di seluruh dunia. justeru orang ramai disarankan untuk sentiasa membasuh tangan menggunakan air dan sabun selain menggunakan hand sanitizer.

Walaupun begitu, ibu dan ayah perlu sentiasa memantau penggunaan bahan kimia terutamanya yang terkandung di dalam hand sanitizer kepada anak-anak yang masih kecil.

Pusat Racun Negara dalam laman facebook berkongsi kebimbangan ini kerana sejak kes covid-19 mereka telah menerima 4 aduan berkenaan terminum hand sanitizer yang melibatkan bayi dan kanak-kanak berumur 5 bulan hingga 2 tahun. Badan ini menyeru orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil supaya terus mengamalkan kebersihan tapi dalam masa yang sama memantau keselamatan menggunakan bahan tersebut supaya tidak memudaratkan kepada anak-anak yang masih kecil.

COVID-19 & KERACUNAN ‘HAND SANITIZER’ 💦👏🏼

SOLD OUT!
“Harap maaf, kedai kami telah kehabisan stok hand sanitizer”

Begitulah penangan wabak Covid-19 yang telah diisytiharkan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam.

Lantaran kepanikan akibat penularan Covid-19 yang semakin meruncing ini, sampai habis stok produk sanitasi tangan atau lebih dikenali sebagai ‘hand sanitizer’ di kebanyakan premis yang menjualnya. Kini, hampir semua rumah mempunyai ‘hand sanitizer’, malahan ada yang memberikan pada anak-anak untuk dibawa ke sekolah.

Namun begitu, jangan dilupa bahawa ‘hand sanitizer’ juga mengandungi bahan kimia yang mungkin menyebabkan keracunan JIKA tidak disimpan dengan selamat.

Untuk memastikan sesuatu ‘hand sanitizer’ itu berkesan, ia perlu mempunyai kandungan alkohol yang tinggi (lebih 60%). Alkohol yang biasa digunakan adalah daripada jenis etanol atau pun isopropil alkohol. Jika tertelan dalam jumlah yang signifikan, keracunan alkohol boleh berlaku.

Keracunan alkohol yang sederhana boleh menyebabkan kesan khayal, perubahan tingkah laku, pergerakan otot dan anak mata tidak terkawal dan jantung berdegup kencang.

Manakala, keracunan yang teruk boleh mengakibatkan gangguan pada saraf pusat dan sistem pernafasan, suhu badan dan paras gula dalam darah menurun, sawan dan juga kekeliruan pemikiran.

Terima 4 kes terminum hand sanitizer

Semenjak kes Covid-19 ini berlaku, Pusat Racun Negara telah menerima 4 kes terminum ‘hand sanitizer’ melibatkan kanak-kanak berusia lingkungan 5 bulan hingga 2 tahun. Pihak kami berharap agar kes keracunan akibat kelalaian untuk menyimpan ‘hand sanitizer’ secara selamat ini tidak akan berulang lagi. Tambahan pula ia melibatkan anak-anak kecil.

Oleh itu, Pusat Racun Negara menasihatkan agar orang ramai untuk terus mengamalkan penjagaan kebersihan TANPA mengabaikan amalan keselamatan bahan kimia di sekeliling anda. Kami juga sama-sama mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia dan seluruh dunia diberi perlindungan dan kesembuhan daripada ancaman Covid-19 ini segera.

#simpancermatkeluargaselamat
#handsanitizer
#covid19

Sumber: Pusat Racun Negara

Published by
SAHR