Kekurangan Vitamin D Boleh Sebabkan Tulang Anak Rapuh Hingga Patah, Baca Penjelasan Doktor Ini

Share

Tahukah anda sekiranya anak mengalami masalah kekurangan vitamin D ia mungkin boleh menyebabkan tulang anak rapuh hingga patah.

Tak ramai daripada kita yang tahu tentang hal ini. Selepas tularnya kes bayi tiga bulan yang mengalami masalah tulang peha patah, ramai doktor dan pakar tampil berkongsi maklumat penting yang boleh dikaitkan dengan kes tersebut.

Dr Amirul Amzar menulis maklumat tentang kekurangan vitamin D ang boleh menyebabkan tulang anak rapuh hingga patah atau kemungknan penderaan kanak-kanak dalam kes bayi comel Hannah Khawlah.

Baby Hannah Khawlah ketika terima rawatan

Baru-baru ini viral satu kes seorang sahabat ditimpa musibah apabila anak beliau yang berusia 3 bulan patah tulang peha selepas diambil dari rumah pengasuh.

Sahabat ini yang juga kakitangan kesihatan sudah pasti mengesyaki penderaan atau “non accidental injury” (NAI) berlaku dan membuat laporan pada pihak berwajib.

Namun, apabila ada pendapat tiba-tiba mengatakan ada kemungkinan dalam kes ini kerapuhan tulang disebabkan kekurangan vitamin D berlaku, maka berbondong-bondonglah pengasuh membawang menyalahkan ibu bapa anak ini kononnya salah mereka yang menyebabkan tulang anak ini rapuh hingga patah.

Pada saya, ini adalah tidak adil. Akan saya jelaskan bagaimana NAI masih perlu disiasat tanpa mengira isu vitamin D dalam anak ini.

Pendapat berkaitan vitamin D itu mungkin betul, namun menyamakan kes ini dengan kes yang lain sebelum ini adalah tidak adil, apatah lagi bila pendapat dikeluarkan oleh orang yang tidak terlibat dalam merawat anak sahabat ini.

Memang benar anak-anak yang dimasukkan ke hospital akibat kepatahan tulang, kebanyakan dari mereka mempunyai masalah kekurangan vitamin D. Namun ini perlu disahkan dengan ujian makmal.

Walaupun sudah terbukti kalau anak yang mengalami kepatahan itu kurang vitamin D, kecederaan akibat penderaan masih tidak boleh ditolak tepi.

Kecederaan di tulang peha bagi anak sekecil ini yang berusia 3 bulan lebih menjurus kepada NAI. Anak berusia 3 bulan belum pun boleh mengengsot sendiri, takkan boleh jatuh dan patah sendiri.

Kajian global menunjukkan jika kepatahan berlaku pada usia kurang 1 tahun, 1 daripada 3 kes kepatahan itu adalah disebabkan oleh NAI (1). Bermakna dalam kes ini, kebarangkalian NAI adalah tinggi!

Walaupun kekurangan vitamin D membuatkan tulang lebih rapuh, namun ia tidak termasuk dalam risiko kepatahan akibat NAI. Bermakna, seorang anak yang mempunyai kekurangan vitamin D dan seorang anak yang normal, mempunyai risiko yang sama untuk kepatahan akibat NAI (2, 3).

Memang benar, masalah kerapuhan tulang sama ada disebabkan kekurangan vitamin D atau penyakit lain adalah “differential diagnosis” untuk kepatahan tulang pada kanak-kanak, namun, sebuah ulasan menyarankan penyakit tulang disyaki hanya selepas NAI benar-benar dipastikan tidak berlaku, ia disebut sebagai “diagnosis of exclusion” (4).

Saranan saya, kes kepatahan pada anak sekecil ini perlu disiasat sebagai NAI. Tindakan ayah anak ini membuat laporan polis atas sebab mengesyaki NAI adalah tepat.

Beliau berhak meminta ujian vitamin D dijalankan namun walaupun keputusan ujian menunjukkan tahap vitamin D anak ini rendah, ia masih tidak boleh dijadikan diagnosis tanpa siasatan rapi dari aspek penderaan kanak-kanak.

Syafakillah kepada Hannah Khawlah.

#JusticeforHannahMuhsin

Sumber: Dr Amirul Amzar
Medical Mythbusters Malaysia (M3)

1) A.M. Kemp, F. Dunstan, S. Harrison, S. Morris, M. Mann, K. Rolfe, et al. Patterns of skeletal fractures in child abuse: systematic review BMJ, 337 (2008), p. a1518

2) A. Fassier, P. Gaucherand, R. Kohler,
Fractures in children younger than 18months,
Orthopaedics & Traumatology: Surgery & Research, Volume 99, Issue 1, Supplement, 2013, S160-S170, ISSN 1877-0568,
https://doi.org/10.1016/j.otsr.2012.11.004.

3) Schilling S, Wood JN, Levine MA et al (2011) Vitamin D status in abuse and nonabused children younger than 2 years old with fractures. Pediatrics 127:835–841

4) Pandya NK, Baldwin K, Kamath AF, Wenger DR, Hosalkar HS. Unexplained Fractures: Child Abuse or Bone Disease? A Systematic Review. Clinical Orthopaedics and Related Research. 2011;469(3):805-812. doi:10.1007/s11999-010-1578-z.

Published by
Hasnita Sawal