Kehamilan

Kelas Antenatal Antara Persediaan Penting Sebelum Bersalin. Kena Tempah Awal, Takut Tempat Terhad

Share

Seawal usia kehamilan ada beberapa perkara penting yang perlu anda yang pertama kali bakal bersalin lakukan. Lebih-lebih lagi bila menjelang tarikh jangkaan bersalin.

Senarai ini dapat membantu anda melakukannya dengan lebih teratur lalu boleh berasa tenang dalam menghadapi proses bersalin.

Kenal pasti lokasi kelahiran

Perkara pertama yang harus dilakukan adalah mengenal pasti di mana anda ingin melahirkan bayi. Adakah lokasinya berdekatan dengan rumah atau tempat bekerja?

Bagaimana pula dengan keadaan lalu lintas? Adakah jalan ke sana selalu mengalami kesesakan?

Jika bekerja, cuba berbincang dengan majikan untuk bekerja dari rumah pada minggu-minggu terakhir kehamilan. Oleh itu kenal pasti hospital yang berdekatan dengan rumah. Kenal pasti juga jiran-jiran yang boleh membawa anda ke hospital jika pada saat penting itu, anda bersendirian di rumah.

Bajet bersalin

Adakah anda mempunyai peruntukan wang sendiri atau majikan boleh membiayai kos bersalin ?

Jika jawapannya salah satu daripadanya, anda tetap perlu menyediakan wang tambahan khusus untuk hal bersalin. Walaupun merancang untuk bersalin secara normal, tetapi anda tidak dapat menjangkakan sekiranya perlu menjalani pembedahan.

Pastikan anda bertanyakan tentang pakej-pakej bersalin yang disediakan oleh pihak hospital pilihan anda agar dapat mengatur kewangan yang mencukupi.

Kemudahan hospital

Pastikan hospital yang anda pilih menyediakan kemudahan lengkap jika berlaku kes kecemasan seperti kelahiran pramatang atau bayi lemas dalam kandungan.

Selain daripada itu anda juga perlu berikan perhatian kepada wad bersalin, bilik bayi, penyediaan makanan dan lain-lain. Jika harus bermalam, adakah anda boleh membawa sesiapa untuk menemani dan sebagainya.

Kelas antenatal

Jika boleh, ikutilah kelas antenatal di hospital pilihan anda. Hal ini kerana selalunya anda akan dibawa melawat tempat-tempat seperti wad bersalin dan bilik bayi selain berpeluang mengenali jururawat-jururawat dan doktor-doktor yang ada di hospital tersebut.

Di dalam kelas ini, anda akan didedahkan dengan topik-topik seperti cara pemakanan ketika hamil, cara senaman ibu hamil, penjagaan bayi baru lahir dan penjagaan ibu selepas bersalin.

Pastikan buat tempahan awal kerana tempat selalunya terhad.

Persediaan penyusuan susu ibu

Jika bercadang mahu menyusu susu ibu sepenuhnya, pastikan anda mencari maklumat secukupnya.

Penyusuan pada jam pertama amat penting kerana susu awal ataupun kolostrom penting untuk bayi. Penyusuan awal juga dapat meransang penghasilan susu ibu dengan lebih baik.

Sediakan barang-barang keperluan seperti pam payudara, botol penyimpanan susu, coli menyusu, pelapik payudara, baju menyusu dan lain-lain.

Lengkapkan diri dengan ilmu bersalin

Anda perlu mengetahui dengan lebih lanjut tentang tanda-tanda awal kelahiran supaya boleh bersedia daripada awal

Tanda-tanda awal kelahiran adalah seperti sakit yang teruk pada bahagian bawah belakang atau pada bahagian abdomen, seolah-olah senggugut.

Kontraksi berlaku pada jarak waktu yang lebih pendek dan kerap, dan menjadi lebih lama dan lebih sakit.

Kemungkinan, ketuban anda pecah tetapi proses kelahiran hanya berlaku jika disertai dengan kontraksi yang merangsang pelebaran pembukaan serviks.

Kelengkapan bayi

Apabila kandungan mencapai usia 7 bulan, maka anda boleh mula membeli barang keperluan yang bakal digunakan bayi.

Seelok-eloknya beli terlebih dahulu barangan yang diperlukan sebaik bayi dilahirkan. Kelengkapan yang lain boleh dibeli kemudian secara beransur-ansur.

Kelengkapan berpantang

Sebagai persediaan bersalin, kenal pasti siapa tukang urut yang mahir mengurut wanita selepas bersalin.

Jika anda ingin membeli set bersalin, dapatkan pandangan daripada yang berpengalaman. Selalunya harga set bersalin adalah dalam lingkungan RM200- RM300. Tetapi ada sesetengah jenama membenarkan anda memilih produk-produk tertentu nengikut keperluan diri.

Beg bersalin

Sediakan beg bersalin sebaik sahaja kandungan mencecah 7 bulan. Bawa keperluan yang penting sahaja.

Ada baiknya anda ketahui terlebih dahulu apa yang disediakan oleh pihak hospital. Barulah anda siapkan barang yang tidak disediakan dan letak di dalam but kereta agar mudah ia dicapai apabila perlu ke hospital kelak.

Published by
Intan Jastina