Kelas Online Ibu Hamil & Menyusu Oleh Pa&Ma Moms To Be

Share

Kelas online ibu hamil dan menyusu sangat sinonim dengan Pa&Ma. Membuka tirai tahun 2022, Pa&Ma Komuniti menganjurkan kelas secara online bersama doktor-doktor pakar jemputan terkenal.

Talk To Doctor Eksklusif Bersama Moms To Be berlangsung selama dua jam pada 8 Januari 2022 (Sabtu) dengan dua doktor pakar jemputan yang tidak asing bersama Pa&Ma iaitu Dr Maiza Tusimin, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Dr Hairin Anisa, Pakar Pediatrik.

Seramai 45 orang ibu hamil dan baru bersalin yang kebanyakan mereka merupakan ahli komuniti Pa&Ma Moms To Be dan Pa&Ma Support BF turut serta dalam kelas tersebut.

Kebanyakan mereka yang sedang hamil anak pertama dan baru melahirkan bayi sangat teruja menimba ilmu tanpa jemu.

Sesi pertama dimulakan dengan kupasan tajuk “Kisah Buku Pink” oleh Dr Maiza. Pelbagai kupasan ilmu kehamilan bermula dari trimester pertama hingga ketiga dirangkumkan bagi memberi kefahaman pada ibu-ibu yang pertama kali hamil.

Paling menarik apabila Dr Maiza yang bersiaran secara langsung dari kliniknya turut menunjukkan model rahim ibu hamil setiap kali memberi penjelasan mengenai tajuk yang dibincangkan.

Sepanjang sesi peserta boleh bertanya soalan yang menjadi kemusykilan sepanjang kehamilan mereka.

Peluang mendengar sendiri jawapan daripada doktor pakar memberi kelegaan kepada mereka.

Sesi kedua pula membentangkan tajuk “Cabaran Jaga Bayi Baharu Lahir” oleh Dr Hairin Anisa. Bagi ibu yang sedang hamil, penjelasan tentang tajuk ini sangat penting untuk mereka bersedia mental dan fizikal apabila bayi lahir kelak.

Sementara itu pelbagai soalan turut diajukan berkaitan pelbagai isu penjagaan bayi termasuk masalah ruam, jaundis, penyusuan susu ibu dan bermacam-macam lagi masalah biasa di kalangan bayi baharu lahir. Penjelasan Dr Hairin yang juga merupakan Pakar Laktasi bertauliah memberikan kepuasan kepada para ibu.

Di akhir kelas online, kesemua peserta berpuas hati dan memuji pembentangan tajuk oleh Dr Maiza dan Dr Hairin Anisa serta penganjuran acara oleh Pa&Ma.

Kelas Penyusuan Bersama Dr Nurhaya

Kelas Penyusuan Bersama Dr Nurhaya dianjurkan pada 9 Januari 2022 (Ahad) adalah eksklusif untuk komuniti Pa&Ma Support BF.

Dr Nurhaya Yacob merupakan Pakar Laktasi bertauliah International Board of Lactation Consultant (IBCLC) sememangnya kerap mengadakan pelbagai siri seminar/kelas secara online.

 

Jadi peluang menyertai Kelas Penyusuan Bersama Dr Nurhaya tidak dilepaskan oleh para ibu menyusu yang sangat gigih dan rajin menimba ilmu penyusuan.

Oleh kerana majoriti peserta Kelas Penyusuan yang bermula seawal 10 pagi Ahad di kalangan ibu bekerja, jadi Dr Nurhaya lebih memberi fokus kepada penyusuan susu ibu di kalangan mereka.

Segala tips, solusi masalah dan penjelasan segala pertanyaan yang diajukan oleh peserta sepanjang sesi kelas berlangsung selesai selama dua jam tanpa disedari.

Kebanyakan peserta berasa puas dan berterima kasih kepada Dr Nurhaya dan sudah tentu Pa&Ma Komuniti yang telah mengajurkan kelas online yang sangat bermanfaat dan dapat disertai oleh semua ibu menyusu di seluruh negara.

 

 

Published by
Hasnita Sawal