Kelonggaran peraturan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang juga dikenali sebagai sistem pengendalian kanak-kanak atau CRS – dalam kenderaan akan diberikan kepada keluarga yang memiliki anak ramai, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, kerajaan sedar agak sukar bagi keluarga besar menggunakan CRS dalam kenderaan mereka kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

“Berkaitan isu anak ramai dan tempat duduk yang mungkin tidak boleh memuatkan empat ke lima CRS kerusi keselamatan kanak-kanak, khususnya untuk keluarga yang besar, saya boleh katakan bahawa mereka diberikan pengecualian sekiranya di dalam sebuah kenderaan tersebut tidak membolehkan CRS dipasang.

“Jadi kelonggaran diberikan dalam pelaksanaan ini,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH- Rasah).

Cha dalam soalan tambahannya bertanya bagaimana pendirian kerajaan terhadap pelaksanaan CRS untuk keluarga yang memilik anak ramai.

Dengan mengambil contoh dirinya sebagai seorang bapa yang mempunyai anak ramai, walaupun bergelar wakil rakyat Cha berkata beliau tidak mampu untuk memiliki kereta mewah.

“Saya menghadapi masalah ini. Saya kena akui saya memohon satu pendekatan, kalau boleh anak-anak yang ketinggi 120cm hingga 135cm diberi kelonggaran.

“Saya setuju bawa 120cm ke bawah (diwajibkan), bayangkan kalau keluarga itu ada empat anak bawah kategori itu, kereta apa mereka hendak guna?

“Takkan keluarga semua hendak guna Toyota Alphard, saya sebagai wakil rakyat tiada Alphard, kalau kereta biasa empat orang anak penuh,” katanya ketika mengemukakan soalan tembahan.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, bagi memastikan CRS tidak membebankan, kerajaan mendapat pengecualian duti import bagi produk tersebut.

Begitu juga penjualan kerusi keselamatan itu. Menurut Kamarudin, ia hanya akan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekitar lima peratus saja.

“Kerajaan serius untuk menjadikannya sebagai satu kewajiban memandangkan 14 ke 15 peratus kanak-kanak meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya,” katanya.

Sumber: malaysiakini