Takdir Allah mendahului segalanya. Seorang pelajar semester akhir di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu, yang bercita-cita menjadi ustazah, pergi menghadap Ilahi dalam satu kemalangan tragis di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, pada pagi Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 6.45 pagi itu, Nur Alya Fatnin Mohd Mawardzi, 22, bersama tiga rakan lain sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke IPG. Malangnya, kenderaan jenis Proton X50 yang dinaiki Allahyarham dirempuh oleh sebuah treler, mengakibatkan kejadian yang meragut nyawanya.
“Seluruh warga IPG dan IPGMKSM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah Nurul Alya Fatnin, pelajar 10 PISMP PAI 2 yang kembalinya ke rahmatullah.
“Marilah kita mendoakan dan menyedekahkan al-Fatihah agar beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kongsi TikTok rasmi IPGMKSM.
HAFIZAH 30 JUZUK AL-QURAN
“Arwah seorang anak yang sangat baik dan dia adalah hafizah yang sudah menghabiskan hafazan 30 juzuk al-Quran,” kata ibu arwah
Menurut ibu Allahyarham, Azizah Harun, 63, anak bongsu daripada lima beradik itu sedang dalam perjalanan pulang ke IPG selepas menyertai lawatan ke Indonesia bersama pensyarah dan rakan-rakannya.
Azizah berkata, Allahyarham sempat membalas mesej WhatsApp bapanya, Mohd Mawardzi Akhir, 65, sekitar jam 6.29 pagi tadi, yang bertanya mengenai lokasi mereka ketika itu.
Azizah memaklumkan bahawa pada sekitar jam 7.58 pagi, mereka menerima panggilan daripada rakan Allahyarham yang memaklumkan tentang kemalangan yang berlaku. Setelah itu, keluarga segera bergegas ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Menurut Azizah lagi, anak bongsunya itu sepatutnya menduduki peperiksaan akhir pada keesokan harinya sebelum merancang untuk menghabiskan cuti bersama keluarga di rumah mereka di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan.
Meninjau di ruangan komen, rakan-rakan mengucapkan takziah dan mendoakan Allahyarham.
“Hafizah 30 juzuk al-Quran, orang yang baik. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman.”
“Tak sempat bergelar ustazah. ALLAH lebih menyayanginya. Takziah untuk keluarga.”
“Al-Fatihah buat arwah anak solehah Alya (al-hafizah). Semoga ditempatkan di syurga tertinggi, aamiin.”
@ipgmksm Seluruh warga IPGM dan IPGMKSM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Nurul Alya Fatnin, Pelajar 10 PISMP PAI 2 di atas kembalinya beliau ke Rahmatullah pada hari ini. Marilah kita bersama-sama mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah agar beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Alfatihah. #pelajaripg #takziah #pismp #MIZANIS #fyp ♬ original sound – Zee القرآن
TRELER GAGAL DIKAWAL
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati treler jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis, Pahang menuju ke Gua Musang semasa kejadian berlaku.
“Setibanya di lokasi, pemandu treler tersebut hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan, iaitu Perodua Axia dan Proton Saga.
“Treler itu kemudian melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Axia dan Proton X50 yang berada di bahu kiri jalan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa impak pelanggaran tersebut mengakibatkan pemandu Proton X50 cedera di bahagian kepala, manakala penumpang hadapan hanya mengalami kecederaan ringan.
Beliau menjelaskan bahawa penumpang belakang di sebelah kiri mengalami kecederaan pada bahagian pinggul, manakala seorang lagi penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan yang berlaku pada awal pagi itu melibatkan 13 individu, termasuk pemandu treler.
Superintenden Sik Choon Foo turut memaklumkan bahawa kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana pemanduan secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta untuk menghubungi talian 09-9121222 bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Plus , TikTok ipgmksm