Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa
melaksanakan inisiatif bersepadu dan mempelbagaikan pendekatan mesra pelanggan
untuk membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman.
Antaranya dengan mengadakan kempen-kempen yang memberi manfaat istimewa
kepada peminjam PTPTN.
PTPTN dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet)
menganjurkan Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat bertujuan untuk
menggalakkan peminjam membuat bayaran balik melalui saluran tanpa tunai sekaligus
dapat mendidik orang ramai mengenai kelebihan bayaran tanpa tunai yang lebih cepat,
mudah dan selamat melalui aplikasi myPTPTN.
Kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang menggunakan aplikasi myPTPTN.
Melalui kempen ini, PTPTN menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai
berjumlah RM120,000 untuk 120 orang pemenang. Setiap pemenang akan menerima
hadiah berjumlah RM1,000 dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN. Tempoh
kempen adalah selama tiga (3) bulan mulai 1 Julai 2024 sehingga 30 September 2024.
Peminjam PTPTN hanya perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum
RM100 dalam tempoh kempen untuk melayakkan peminjam mendapat 10 cabutan dan
penyertaan adalah secara automatik. Selain itu, pengguna myPTPTN yang baharu
mendaftar dalam tempoh kempen layak mendapat 20 cabutan.
Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, “Sebagai
peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN akan terus komited dalam agenda
pendigitalan untuk memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang terbaik.”
“Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat adalah kempen untuk
menggalakkan lebih ramai peminjam melaksanakan tanggungjawab mereka agar
kesinambungan pinjaman PTPTN dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
Selain itu, melalui kempen ini juga peminjam PTPTN yang memenangi hadiah wang tunai akan menerima tambahan kewangan yang secara tidak langsung membantu mereka
membayar balik pinjaman,” ujar beliau lagi.
PTPTN berharap dengan penganjuran kempen ini akan meningkatkan kesedaran
peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui aplikasi
myPTPTN.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen myPTPTN Mudah, Cepat &
Selamat layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau muat turun aplikasi
myPTPTN untuk mendapatkan notifikasi dan perkhidmatan PTPTN pada bila-bila dan di
mana sahaja dengan lebih mudah, cepat dan selamat.